Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Jumaat, 29 Januari 2010

Mana Lebih Teruk , Kencing Manis Atau Kena Kencing ?

Oleh: Shirzad Lifeboat

Maka berkatalah para Marang Perapu Kepunden Parang Sekeper yang terdiri daripada menteri UMNO, ahli-ekonomi tertentu dan juga mereka dari profesion lain bahawasanya penarikan kesemua subsidi secara sekali gus akan menguntungkan negara ini.

Tidaklah pasti apakah yang dimaksudkan dengan ‘menguntungkan’. Cakap-cakap tentang untung ini biasanya dikaitkan dengan dunia perniagaan. Apakah kerajaan UMNO-BN tiba-tiba telah mengorientasikan falsafah pentadbirannya dengan mengubah tanggungjawab membantu rakyat kepada mencari untung daripada rakyat?

Sekiranya ia bermaksud kerajaan yang ditadbir oleh UMNO-BN akan mempunyai lebihan wang tunai sebanyak RM50 bilion (nilai pelbagai subsidi yang diberikan kepada rakyat), maka itu bermakna ‘penjimatan’ wang awam dan bukannya ‘untung’.

Tidak dapat dinafikan ada di antara para Marang Perapu Kepunden Parang Sekeper itu yang menganggap penarikan semula sekali gus semua subsidi itu menjimatkan awam dan kerajaan boleh menggunakan lebihan wang berkenaan untuk membiayai pelbagai projek yang akan secara langsung merangsang ekonomi.

Rakyat sudah tentu akan marah sekiranya semua subsidi yang mereka nikmati selama ini ditarik balik oleh kerajaan. Tapi itu perkara lain.

Soalan cepu emas perlu dijawab kini ialah projek infrastuktur macam mana yang dikatakan boleh secara langsung merangsang ekonomi?

Barangkali perkataan ‘ekonomi’ sebagaimana yang difahami oleh rakyat biasa tidak sama dengan makna ‘ekonomi’ sebagaimana yang dilihat oleh para menteri UMNO dan juga ahli ekonomi berminda kapitalis.

‘Ekonomi’ bagi kebanyakan rakyat biasa bermaksud, ‘upah yang anda dapati setiap bulan memadai untuk melunaskan semua keperluan dan masih boleh hidup secara sederhana tetapi selesa sambil mampu menabung sedikit wang untuk keperluan hari muka.”

Bagi ahli ekonomi berminda kapitalis, bersorak-sorailah mereka mendengar durian runtuh dalam skala RM50 bilion kerana wang tunai sebanyak itu sudah barang tentu boleh dipermodalkan semula bagi menimbal-balas kemerosotan perolehan dan keuntungan berkurangan kapitalis lain.

Sementara ada di antara ahli ekonomi yang menjadi penasihat atau malah bekerja dengan golongan kapitalis berkenaan dan juga menjadi pemanis kata-kata (sweet-talkers) kepada kerajaan UMNO-BN, namun rata-rata ahli ekonomi berminda kapitalis lebih seronok bercerita perkara baik-baik tentang ekonomi.

Begitupun, dalam keadaan di mana eksport negara merosot ke paras melebihi 28% dan eksport komoditi seperti gas mentah dan minyak sawit pula mengalami kejatuhan besar harga di sepanjang tahun 2009 dan dijangka berterusan untuk tahun semasa, mengakibat sukar bagi para ahli ekonomi berkenaan memintal cerita-cerita yang seronok di dengar.

Juga, kemerosotan berterusan pelaburan asing di sebalik langkah liberalisasi (alasan kerajaan UMNO-BN adalah kelemesetan ekonomi global dan bukannya kemerosotan indeks utama sebagaiman terkandung dalam Global Competitiveness Report 2009-2010, Forum Ekonomi Dunia) dan prestasi buruk Bursa Malaysia yang memberi kesan dan sentimen negatif kepada pelabur dan pengguna (menurut ahli ekonomi disebabkan kecairan pasaran ekuiti global dan bukannya disebabkan tadbir-urus korporat yang lemah serta regularisasi yang dipersoalkan), menyulitkan lagi para ahli ekonomi Marang Perapu Kepundeng Parang Sekeper membuat ramalan yang boleh menyebabkan golongan tertentu tersenyum ‘dari-telinga-ke-telinga’.

Dan bagi kerajaan UMNO-BN pula, ‘ekonomi’ bermaksud wang sebanyak itu sudah tentu, sebagaimana yang disebut, boleh membiayai projek infratruktur kerajaan yang bakal merangsang ekonomi secara langsung.

Tentu sekali dengan wang sebanyak itu rakyat akan dapat melihat, jubin siar-kaki yang baru diganti beberapa tahun dikopek dan diganti dengan jubin baru, bangunan kerajaan termasuk sekolah klinik dan sebagainya dicat semula walaupun cat lama masih lagi belum bertukar menjadi koloni lumut, jalan-jalan raya diturap semula sementara jalan berlubang ditutup ala kadar, sekadar menyebut beberapa contoh.

Jika tidak ada projek, maka projek diwujudkan bagi memberi kerja kepada golongan tertentu dengan harapan mereka akhirnya akan kembali menyokong UMNO.

Amalan politik penaungan (patronage politics) dan politik main bagi-bagi hadiah projek ini sudah menjadi darah daging dan permainan UMNO sama ada dalam situasi kempen pilihan raya atau pun di luar situasi sedemikian. Cuma dalam keadaan kantong kerajaan yang semakin kering ia tidak dapat dipraktikkan lagi.

Oleh itu cara terbaik bagi mewujudkan semula lebihan tunai bagi mewujudkan pula projek infrastuktur ialah dengan merampas semula bantuan yang telah diberikan kepada rakyat selama ini. Justeru, tak payahlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlawak bahawa matlamat penarikan subsidi gula ialah mengurangkan kadar pengidap penyakit kencing manis di negara ini yang mana turut disokong oleh Persatuan Diabetes Malaysia.

Sampai bila nak kencingkan rakyat?

Tiada ulasan:

Pengikut