Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 27 Oktober 2009

Media Blog Mengatasi Media Konvensional?

Tidak dinafikan blog, sebahagian daripada media baru, mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia dan mempunyai pengaruh yang agak besar terhadap rakyat Malaysia.Atas sebab tertentu secara perlahan ia menafikan pengaruh media konvensional seperti televisyen, radio dan akhbar sebagai sumber utama maklumat.

Kehadiran media baru memupuk proses ketamadunan sesuatu negara melalui pengwujudan masyarakat yang peka dan berinformasi, namun ia juga membuka ruang manipulasi oleh pihak tertentu.

Situasi ini menimbulkan persoalan sejauh mana cabaran media baru kepada masyarakat dan negara dan apakah impaknya terhadap pemikiran masyarakat dan masa depan negara.

Pensyarah Fakulti Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata media baru ialah satu bentuk “kepercayaan baru” yang merentasi sempadan politik, ekonomi, budaya, kaum dan agama.

“Ia dianuti hampir semua masyarakat dunia,” katanya kepada Bernama di sini.

Media baru amat berpengaruh dalam kalangan generasi muda kerana mereka rata-ratanya celik IT dan memiliki sikap ingin tahu yang tinggi.

Atas fakta ini, wujud kebimbangan dalam kalangan pemerintah sekiranya media baru itu dimanipulasi dan dijadikan alat subversif oleh kelompok berkepentingan.

Contoh paling dekat ialah bagaimana blog tertentu digunakan untuk mengeruhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia berhubung beberapa isu berbangkit baru-baru ini.

Sekalipun perkara ini tidak dipaparkan di media tempatan, mereka yang aktif dalam dunia siber tahu mengenainya.

Dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat multietnik, cabaran media baru dilihat lebih kritikal.

BUKAN BEBAS MUTLAK

Di Malaysia media baru berpusat kepada Internet ini tidak ditapis.

Rakyat di negara ini diberikan hak untuk mengakses apa saja maklumat dan memaparkan pandangan mereka sama ada di blog dan portal berita online mengikut garis panduan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Akta ini turut memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta polis mengambil tindakan sewajarnya jika pengamal media baru ini melampaui undang-undang ditetapkan.

Antara peruntukan terbabit ialah Seksyen 211 dan Seksyen 233 AKM 1998 terhadap pemberian kandungan jelek dan mengenai penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Antara yang dilarang mengikut seksyen di atas ialah komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Sehingga Julai tahun ini, 52 kes disiasat di bawah Seksyen 233/211 melibatkan emel dan laman web.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, sebanyak 11 kes didakwa di mahkamah antarnya kes membabitkan lapan individu yang menghantar komen menghina Sultan Perak.

Malah di Amerika Syarikat, terdapat penulis blog didakwa di mahkamah kerana melanggari undang-undang negara itu.

ANCAMAN SIBER

Di Malaysia, ancaman siber dilihat semakin berbahaya dan hakikat itu juga diakui Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Malah Dr Rais menyifatkan “ancaman” siber itu sebagai amat berbahaya daripada musuh nyata seperti komunis kerana ia boleh memasuki kamar serta pemikiran generasi muda tanpa disedari.

Hakikat itu turut disokong Prof Dr Musa Abu Hassan yang berkata generasi muda mudah terpengaruh kerana mereka tidak dapat membezakan antara fakta, maklumat dan fitnah.

“Akses kepada Internet luas. Kalau dulu sebuah TV setiap rumah tetapi Internet ada pada setiap orang,” kata profesor Teknologi Maklumat dan Komunikasi ICT) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang itu.

“Blog buat orang rasa bebas dan tidak terikat. Mereka lebih percaya media baru ini berbanding media konvensional yang ada kekangannya sendiri,” kata Prof Musa.

Beliau berkata proses “media convergence” (contohnya Youtube.com) yang menggabungkan teks dan visual) juga menyebabkan kenapa golongan muda meminati media baru yang lebih dinamik.

“Apa yang bermula sebagai blog yang bersifat peribadi menjadi perkongsian sosial,” kata Prof Musa sambil berhujah media baru lebih diminati generasi muda selepas televisyen, radio dan akhbar dianggap mereka sebagai mewakili suara kelompok tertentu sahaja.

Saiful Nujaimi Abdul Rahman dalam buku “Kewartawan Malaysia: Praktis dan Cabaran” menulis bahawa antara dilema dalam blog ialah pembaca tidak dapat membezakan antara maklumat dan fakta.

Pensyarah komunikasi daripada UPM itu menyatakan bahawa maklumat, asasnya ialah perkhabaran benar, palsu dan keliru dan bergumpal bersama manakala fakta ialah maklumat yang melalui beberapa proses saringan.

“Logiknya, bolehkah kita mempercayai keseluruhan maklumat yang datang dari sumber yang tiada lesen penerbitan, tiada kewibawaan pemberitaan yang jelas, dan tiada agensi yang dapat dipertanggungjawab atas maklumat dipaparkan?,” kata Saiful Nujaimi dalam bukunya itu.

PENGARUH KEPADA REMAJA

Kemunculan media baru juga dikaitkan dengan golongan remaja, di mana menurut satu kajian baru-baru ini, golongan itu menghabiskan masa selama 16 jam seminggu untuk melayari Internet, dengan atau tanpa disedari ibu bapa masing-masing.

Ruang inilah yang membuka kepada pornografi di Internet yang kini menjadi tumpuan kerajaan menerusi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Namun apa yang penting keterbukaan kerajaan kepada pengamal media seharusnya tidak dijadikan lesen untuk menabur dakyah dan fitnah kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Dalam konteks ini generasi muda harus bijak memilih apa yang disaji di Internet, sekalipuan kajian umum menunjukkan hanya 23 peratus pembaca blog yang percaya bulat-bulat dengan apa yang mereka dapati secara online.

“Kita perlu sedar sensitiviti pihak terlibat ketika memberi komen atau berhujah,” kata Prof Musa sambil berkata akta sedia ada sudah memadai untuk memantau dunia siber di negara ini.

Sepertimana kata Dr Abu Hassan, “media adalah etika ibarat irama dan lagu ia tidak boleh dipisahkan”, kerana itu ia seharusnya dimanfaat ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya.

– BERNAMA

Tiada ulasan:

Pengikut