Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 17 April 2008

BN Kedah, Selangor hilangkan fail sebelum Pakatan Rakyat ambil alih kerajaan

Oleh Intan Abdullah
Isu pejabat kerajaan negeri yang kosong sebaik diterajui kerajaan Pakatan Rakyat pernah hangat seketika seawal keputusan pilihan raya umum diketahui.

Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak berkata pejabat kerajaan-kerajaan negeri telah pun dikosongkan sebelum pilihan raya umum lagi.

"Bahkan saya mendapat maklumat bahawa proses pemindahan fail di pejabat Wisma Darul Aman berlaku sejak 4 Mac iaitu beberapa hari sebelum pilihan raya umum," ujarnya ketika Himpunan Pakatan Rakyat dan Ceramah Perdana 5 Menteri Besar di Stadium Perak 14 April lalu.

Tambahnya, bukan sahaja fail-fail hilang di pejabat bahkan meja, kerusi dan permaidani juga turut dicabut daripada pejabat-pejabat kerajaan negeri.

"Bila karpet pun dicabut, tidak hairanlah jika tiada sehelai kertas pun yang ditinggalkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Ini perangai yang pelik," ujarnya sambil disambut sorakan orang ramai yang hadir.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr Hassan Ali turut mendakwa situasi yang hampir sama berlaku di Selangor sebaik ia diambil alih oleh Pakatan Rakyat.

"Sebaik kita mengambil alih kerajaan Selangor, tiada satu fail pun yang ditinggalkan di pejabat kerajaan negeri," katanya.

Beliau menyelar tindakan pihak kerajaan negeri di bawah teraju kepimpinan BN sebelum ini yang bersikap tidak profesional.

"Apa makna kepada semua tindakan mereka ini? Apa kesimpulan yang boleh dibuat dengan sikap yang diambil pihak BN?

"Ia seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu daripada kita," katanya kepada kira-kira 50,000 penyokong Pakatan Rakyat.

Program tersebut yang dimulai dengan solat maghrib, Isya' dan solat sunat Hajat diimamkan oleh AJK PAS Perak, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

Malah, rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum juga turut sama hadir bagi mengenali Menteri-menteri Besar kerajaan Pakatan Rakyat dengan lebih dekat.
"Kita belum pernah lihat dia secara dekat, jadi hari ini kita mahu melihat dan dengar apa yang ingin disampaikan selepas dilantik menggantikan Menteri Besar sebelum ini, Dato' Seri Tajol Rosli,"ujar Rajeswary, 47 yang juga merupakan penduduk kawasan sekitar Ipoh.

Sementara itu, temannya Jaya Letchumi, 47, yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan kelibat pemimpin utama negeri itu, turut teruja dengan sambutan rakyat pada ceramah tersebut yang mengalahkan kemeriahan pesta bola sepak.

Beliau juga meletakkan keyakinan bahawa Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin akan dapat menjalankan amanahnya sesuai dengan pendekatan beliau yang disenangi rakyat.

"Beliau telah turun menemui orang bukan Islam di beberapa buah kuil dan gereja sebelum ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, Exco Kerajaan Selangor, Dato' Dr Hasan Ali yang mewakili Menteri Besar Selangor, Ketua Pemuda DAP Pusat, Ngo Kor Ming, yang mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa yang mewakili Menteri Besar Kelantan.
Turut sama, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Parti Keadlan Rakyat Negeri Perak, Ustaz Zulkifli Ibrahim dan Pengerusi DAP Perak, yang juga Adun Sitiawan, Nge Ko Ham. - mr

Tiada ulasan:

Pengikut