Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Sabtu, 16 Oktober 2010

“Bajet 2011 – membawa negara ke arah mana ?”

Oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Pertama pada tanggal 15 Oktober 2010 telah menjelaskan lagi bahawa agenda ekonomi dan transformasi yang dibawa oleh beliau sebenarnya berpusing ditakuk lama dengan diberi penjenamaan semula. Ianya ditaburkan dengan angka yang indah-indah bersifat kosmetik, dengan mengkesampingkan pembinaan manusia yang menjadi enjin melaksanakan agenda perubahan ekonomi berkenaan.

Akhirnya, akibat dari penyelewangan, pembaziran, rasuah yang bermaharajalela serta sistem pemerintahan yang tidak bersifat adil kepada rakyat teramai maka kesejahteraan rakyat tentunya akan berada di takuk lama.

Inilah yang ditekankan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bahawa asas terbesar ialah bahawa kerajaan yang dipacu oleh UMNO-BN telah gagal dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru setelah diberi peluang memerintah selama lebih 50 tahun, bagaimana mungkin kerajaan yang sama boleh melakukan perubahan dengan satu dasar lain pula sedangkan sistem pemerintahan dan politik peras ugut dan penyisihan komponen ekonomi terhadap rakyat di luar bandar terus berleluasa ?

Dalam masa yang sama, fokus kerajaan juga terus tersasar di atas sebab-sebab yang tidak masuk akal, umpamanya peruntukan untuk program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil pihak dan masih diperingkat percubaan menikmati dana sebanyak RM111 juta, berbanding dengan RM 100 juta untuk meningkatkan taraf hidup orang asli dan Peribumi, dan lebih parah lagi berbanding peruntukkan RM95 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Apa yang penting ialah bukannya jumlah angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa Pendapatan Per Kapita meningkat sebanyak 6.1 % kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5%; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini !. Inilah hakikatnya. Kita katakan bahawa kerajaan UMNO-BN lah sebenarnya yang menjadi “saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan” bahkan mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian. Projek-projek pelaburan juga dilihat gagal dalam melakukan anjakan terhadap taraf hidup rakyat luar bandar yang miskin dan memerlukan.

Kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM 5 billion, sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja. Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka. Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan UMNO-BN.

Agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini, kerana pimpinan UMNO-BN lah sebenarnya yang ‘bermimpikan projek’ lantas ‘memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat’.

PAS menekankan peningkatan taraf hidup rakyat miskin perlulah melalui fasa di mana rakyat teramai ini perlu merasakan bahawa mereka adalah menjadi sebahagian dari enjin aktiviti ekonomi bahkan mereka juga menjadi pemain dalam memperkasakan pembangunan negara.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

7 Zulkaedah 1431 bersamaan 15 Oktober 2010

Baca Seterusnya......

Khamis, 2 September 2010

Apabila Pemuda Jadi Budak-budak

Oleh Zolkharnain Abidin

Biasanya, seseorang itu menjadi pemuda selepas dia melalui usia remaja. Apa yang dipelajari di bangku sekolah semasa remaja adalah bekal untuk kehidupan semasa bergelar pemuda.

Selama mana seseorang itu berusia di bawah 40 tahun, biasanya dia masih dikategorikan sebagai pemuda.Namun, umur cuma angka. Angka itu tidak membawa apa-apa erti sekiranya perkembangan minda seseorang itu tidak selaras dengan peningkatan usianya.Maksudnya, dari segi angka umur, ada orang yang sudah menjadi pemuda tetapi dari segi cara berfikir dan bertindak, dia masih remaja

Malah, ada yang lebuh teruk lagi, ada pemuda yang masih bermentaliti budak-budak. Alam remaja yang sepatutnya diisi dengan ilmu, kesedaran dan kebijaksanaan sebagai bekal untuk menempuh alam pemuda dilangkau begitu sahaja.

Akibatnya, dunia budak-budak terus mempengaruhi kehidupan orang muda itu. Lantas jadilah dia berumur pemuda tetapi ‘bermentaliti’ budak-budak.

Kita kagum jika ada budak-budak yang berfikir seperti orang muda. Tetapi, apa kita nak kata kepada pemuda yang berfikir, berperangai, bergaya seperti budak-budak?

Kita kagum apabila sejarah merakamkan bahawa Abdullah bin Abbas dilantik oleh Saidina Omar untuk menganggotai kabinetnya. Ketika itu beliau masih remaja tetapi kefahamannya tentang al-Quran dan kebijaksanaannya berfikir setanding malah mengatasi sesetengah para sahabat ulung lebih berusia yang sezaman dengannya.

Ini dibuktikan apabila Saidina Umar bertanya para sahabat mengenai tafsiran surah an-Nasr. Para sahabat yang lain menjawab dengan jawapan biasa, tetapi Abdullah bin Abbas berkata, penurunan surah itu adalah tanda bahawa waktu kefawatan nabi sudah hampir.

Itu contoh, ‘budak-budak’ berfikiran dewasa. Dia bukan sekadar mampu berfikir seperti orang muda malah seperti orang tua.

Dalam masyarakat Melayu ada watak Pak Pandir, Mat Jenin dan Luncai. Watak-watak itu digambarkan sebagai orang dewasa tetapi bermentaliti budak-budak.

Kisah Pak Pandir menanam pisang misalnya. Mak Andih menanam bahagian berakar. Pak Pandir pula memotang bahagian tengah pokok pisang dan menanam bahagian pucuk dengan alasan lebih cepat berbuah dan lebih mudah dipetik kerana rendah.

Logik Pak Pandir adalah logik budak-budak walau pun dia sudah dewasa.

Orang muda bercakap, bertindak, berhujah, berdasarkan fakta dan angka. Orang muda bersikap realisitk dan berani, bukan menikam dari belakang. Orang muda sedia bersemuka, bukan baling batu sembunyi tangan. Orang muda tidak tangkap muat tetapi menyelidik dan mengkaji.

Tetapi, kalau ada orang muda, bahkan pemimpin pemuda bercakap tidak berdasarkan fakta, baling batu sembunyi tangan, menikam dari belakang, takut bersemuka, menumpang berani dengan orang lain, pemudakah begitu?

Oh ya, benar dia adalah pemuda tetapi cuma angka umurnya sahaja. Mentalitinya, adalah mentaliti budak-budak. Pemuda tapi budak-budak atau pemuda yang jadi budak-budak. Bolehkah pemuda yang jadi budak-budak memimpin?

Budak-budak ada keistimewaan tersendiri. Mereka pandai memujuk, merayu dan merengek. Orang dewasa mudah sekali mengalah dan cair dengan rayuan, pujukan dan rengekan budak-budak. Silap perhitungan, habis duit sepoket melayani kerenah budak-budak.

Demikian halnya dengan pemuda yang jadi budak-budak. Jika budak-budak pandai merengek, pemuda yang jadi budak-budak pula pandai membodek. Jika budak-budak pandai merayu, pemuda yang jadi budak-budak pula pandai mengampu.

Pendek cakap, pemuda boleh menjadi budak-budak apabila berperangai, bertindak, bercakap macam budak-budak.

Pemuda adalah harapan umat, namun apakah harapan yang dapat umat letakkan di bahu pemuda yang menjadi budak-budak?
Baca Seterusnya......

Khamis, 26 Ogos 2010

Elok MCA keluar BN masuk Pakatan Rakyat

Oleh Mohd Rashidi Hasan

SEJAK akhir-akhir ini kelihatan Umno dan MCA sering bercakaran sesama sendiri, bersengketa dalam hal-hal perkauman sempit, kata-mengata antara satu sama lain.

Persengketaan kedua-dua parti utama komponen Barisan Nasional ini mengheret kepada pertikaman lidah antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek



Apa yang dibangkitkan MCA, dalam usaha mereka untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina yang sudah beralih kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP, mungkin dilihat relevan untuk survival MCA.

Namun Umno melihatnya pada perspektif yang berbeza. Umno mendakwa MCA sudah terlalu rasis, menjejak langkah DAP. Sehinggakan TPM sering memberi amaran kepada MCA supaya jangan sesekali menggugat persefahaman BN dengan pelbagai kenyataan yang menghiris hati orang-orang Melayu dalam Umno.

Persengketaan ini berlaku sehingga wujud pertikaian di kalangan BN bahawa MCA sudah tidak setia dan tidak boleh dipercayai lagi.

Pertelagahan Umno-MCA bukannya baru. Hampir setiap kali Perhimpunan Agung Umno atau MCA, masing-masing sering mengeluarkan ucapan dan usul yang berbaur rasis.

Apa pun, di sebalik pertelagahan Umno-MCA, ada yang kata persengketaan ini sebagai sandiwara. Ada yang kata, cetusan api perkauman Umno-MCA boleh berulang seperti peristiwa perbalahan bekas Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai dengan Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tahun 1987 sehingga membawa tangkapan ISA.

Jika MIC sudah dikambing hitamkan oleh Umno, sehingga ditubuhkan parti Makkal Sakhti, barangkali pemimpin Umno boleh berfikir untuk mewujudkan parti baru untuk menggantikan MCA.

Sebenarnya masalah MCA sama dengan masalah Umno, sama dengan masalah Gerakan dan MIC. Masing-masing tengah meroyan kerana kekecewaan ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13, sampai sekarang masih terkesan.

Umno terpaksa menukar Presiden. Umno terpaksa memperbetulkan arah tuju perjuangan. Umno mahu jadi lebih Melayu pada Melayu. MCA juga begitu, mahu jadi lebih Cina dari Cina dan MIC mahu jadi lebih India dari India.

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana perjuangan mereka, teras dan asasnya adalah perkauman. Semua parti ini asasnya adalah rasis. Mereka tegak dan disokong selama ini oleh bangsa masing-masing.

Asal tujuan mereka ialah Umno diguna untuk menjaga Melayu. MCA untuk jaga Cina dan MIC untuk jaga kepentingan kaum India.

Masalahnya ialah kini Umno-MCA-MIC sudah ditolak bangsa mereka sendiri. Sebab apa Melayu tolak Umno? Sebab apa Cina tolak MCA? Sebab apa India tolak MIC? Ini yang harus dikaji sebenarnya.

Sebabnya yang pertama Umno, MCA dan MIC tidak menjaga kepentingan bangsa masing-masing. Jika ada pun hanyalah pada kadar peratusan yang rendah.

Yang Umno, MCA dan MIC jaga adalah kepentingan pemimpin, keluarga dan kroni. Selama ini tidak ada perkongsian pintar dalam BN untuk memperjuang dan menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

Yang ada hanyalah perkongsian pintar Umno, MCA dan MIC untuk 'menyapu' sebanyak mana harta negara untuk kepentingan anak-beranak dan juak-juak mereka.

Sebab itu hari ini kita dapat lihat puluhan kes dalam siasatan, segelintir yang dihadapkan mahkamah, yang membabitkan penyelewengan, skandal dan salah laku pemimpin BN.

Ini isu sebenar. Isu utama kepada rakyat bahawa pemimpin Umno, MCA dan MIC from no where, sekarang ini sudah terlalu kaya raya dan hidup mewah kerana kuasa politik yang mereka ada.

Sebab kedua ialah, rakyat Malaysia sudah semakin terbuka dan matang. Mereka sudah tidak menerima perjuangan berasaskan perkauman yang sempit.

Rakyat Malaysia sama ada tua muda, mahukan kehidupan yang harmoni dan rasional. Bagi rakyat yang penting adalah keadilan dalam pemerintahan, meliputi semua kaum, tanpa dibatasi atas nama Melayu, Cina, India atau sebagainya.

Maka dengan sebab itu permasalahan yang dihadapi Umno, MCA, Gerakan dan MIC sekarang ini adalah amat kronik.

Selepas dua tahun, sebenarnya mereka masih gagal memulihkan sokongan rakyat, malah yang lebih teruk lagi gagal memperbetulkan struktur dalaman parti masing-masing.

Mereka beruntung kerana mereka masih berkuasa di peringkat Pusat. Mereka boleh melindungi kepincangan dan penyakit dalaman mereka dengan bantuan media talibarut BN.

Dalam konteks MCA, apa yang dibangkitkan oleh Soi Lek, sama ada soal Islam dan Melayu, soal kouta dan sebagainya, hanyalah untuk mencuri perhatian umum, bahawa MCA masih wujud dan bernyawa.

Barangkali beliau menyangka, dengan berbuat demikian dapat mengalihkan perhatian rakyat kepada MCA, sekali gus memberitahu MCA masih relevan dalam politik negara.

Tetapi Soi Lek dan rakan-rakan pemimpin dalam MCA harus sedar bahawa kedudukan mereka dalam BN sudah tidak lagi relevan. Mereka sering dibuli pemimpin Umno.

Ramai pemimpin MCA dijangka akan menuruti jejak langkah bekas Presiden, Tun Ling Liong Sik yang didakwa terbabit dalam penyelewengan PKFZ. MCA pun tahu ramai pemimpin Umno yang terbabit dalam pelbagai skandal, tetapi didiamkan kerana mereka Umno.

Jelas, kedudukan MCA dalam BN bukan lagi berasaskan smart partnership, sebaliknya mereka sudah jadi second class partner. Dalam kata mudah, MCA bagi Umno, hanyalah 'parti cap ayam'.

Kesimpulannya pertelagahan Umno-MCA menunjukkan bahawa konsep 1Malaysia gagal. Rakyat terfikir, bagaimana BN hendak promote 1Malaysia sedangkan hendak menjaga 1BN pun huru hara.

Oleh kerana itu rakyat tidak sesekali mahu menyokong parti yang sering bermasalah dan gabungan yang tidak stabil.

Justeru MCA tidak ada pilihan, jika mereka masih dalam BN, mereka akan 'close shop.' Kepimpinan MCA sudah beberapa kali membincangkan sama ada mereka harus kekal atau keluar dari BN dan inilah masa yang terbaik bagi mereka untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.

Baca Seterusnya......

Khamis, 19 Ogos 2010

Mufti Perak Perlu Dedahkan Perlembagaan Baru!

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Semalaysia Pas terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Pas mendesak supaya beliau mendedahkan kandungan Perlembagaan baru dan melaporkan kepada pihak polis untuk disiasat.

Pas dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan.

Malahan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama 19/12/2009 di Shah Alam telah bersepakat

  • Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai

  • Melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153

  • Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan

  • Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum

Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama.

Pas berpandangan sekiranya Tan Sri Harussani Zakaria tidak segera mendedahkan siapakah yang memberi dan isi kandungannya, maka ia akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di negara ini. Sebagai seorang tokoh agama mesti bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan yang dibuat supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap institusi mufti.

Pas mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis

Baca Seterusnya......

Rabu, 18 Ogos 2010

Akibat Umno yang suka perlekeh Islam, kini MCA pula dirundung Islamofobia

Oleh Wan Nik Wan Yussof

Persoalan Islamofobia biasanya dikaitkan dengan kesan-kesan yang timbul akibat sikap dan tindakan strategi musuh Islam, terutamanya golongan Yahudi yang sengaja melakukan serangan psikologi terhadap Islam.

Justeru, Islamofobia difahami sebagai prasangka terhadap Islam atau Muslim. Berdasarkan takrif British Runnymede Trust (1997), Islamofobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap Islam dan kerana itu timbul rasa takut dan tidak suka terhadap semua orang Islam.


Lebih mempengaruhi lagi, apabila peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas menara kembar World Trade Center (WTC) di New York City, Amerika Syarikat telah dikaitkan dengan aktiviti pengganas puak Islam.

Sehubungan itu, Islamofobia secara khusus ditujukan kepada amalan diskriminasi ke atas umat Islam yang melibatkan tindakan mendiskriminasi ekonomi, sosial dan kehidupan mereka dalam sebuah negara.

Akibat diskriminasi itu maka tercetusnya persepsi negatif tentang ajaran Islam dan umat Islam bahawa Islam tidak mempunyai nilai-nilai yang dapat dikongsi dengan budaya penganut dan ajaran agama-agama lain.

Malah paling malang lagi apabila Islamofobia itu dijadikan senjata politik pihak-pihak yang memusuhi perjuangan politik Islam, apabila secara sengaja Islamofobia itu semacam dukungan gerakan Islam merencanakan ideologi politik kekerasan sebagai suatu cabang dalam ajaran agama Islam.

Islamofobia juga dilhat sebagai satu terma dan fenomena yang berpanjangan, dipopularkan oleh Francis *****uyama dan Samuel Huntington yang menghujahkan tentang pertembungan peradaban antara Islam dan Barat. Oleh itu kuasa Barat seringkali menjadikan Islam sebagai mangsa untuk bertembung.

Akibatnya, negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Peranchis telah melakukan serangan psikologi ke atas umat Islam dan bukan Islam. Sebagai contoh, melarang pemakaian purdah kalangan wanita Islam sebagai langkah kononnya mengawal ancaman dan kemungkinan keganasan oleh puak Islam.

Islamofobia dan taktik Umno-BN

Atas asas yang sama, pihak Umno-BN turut menggunakan terma Barat, lalu menjadikan Islamofobia sebagai taktik untuk menyerang PAS semasa pilihan raya kecil Indera Kayangan, Perlis pada Disember 2001.

Pihak Umno-BN secara jelek telah mengaitkan PAS sebagai parti pengganas telah berkawan dengan KeADILan dan DAP. Latar belakang serangan 11 September ke atas WTC di New York City itu telah dijadikan senario untuk mengatakan PAS yang dipimpin ulama’ sebagai parti pengganas.

Maka, PAS telah menjadi mangsa pertama taktik politik Umno-BN yang telah memperalatkan Islam untuk memfobiakan orang bukan Islam terhadap PAS.

Lanjutan daripada itulah, maka kenyataan terbaru Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai negara Islam turut menyerlahkan sentimen Islamofobia yang bersarang di dalam pemikiran politik perkauman para pemimpin yang diasuh oleh Umno-BN.

MCA merencana taktik Umno

Secara totok, Chua telah berucap pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star (Malaysiakini, 8 Ogos 2010) ada memberikan tanggapan negatif, kononnya negara-negara Islam itu "tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang." Malah beliau turut membidas kononnya Umno dan PAS telah menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Kenyataan itu disusuli pula dengan analisis dangkal dalam menilai persaingan antara Umno dengan PAS yang dikatakan telah membawa kepada wujudnya dasar-dasar tidak progresif sehingga menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun. Maka, serangan Islamofobia Chua bukan sekadar terhadap PAS malah turut menghentam Umno yang telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Lalu Chua mencucuk jarum politik terhadap masyarakat Cina agar jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Tanpa asas rasional Chua menghujahkan ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Pada persepsi umumnya, Presiden MCA itu sedang menghadapi tekanan kemerosotan pengaruh politik kalangan masyarakat Cina. Beliau sudah tentu mencari sesuatu formula untuk meraih semula sokongan. Namun, pendekatannya itu agak kasar apabila Umno sebagai idola permuafakatan politik MCA selama ini turut dikasari dengan hujah-hujah berbau Islamofobia. Pendekatannya itu, tidak akan menjadi jelek jika ia semata-mata ditujukan kepada Islam dan PAS.

Apakah MCA sudah dirundum malang di bawah kepimpinan baru sekarang? Apa yang jelas, MCA kini sudah mencalarkan nilai-nilai keharmonian yang sekian lama dirasai. Apakah ia tanda kegagalan pendekatan Umno dalam mengasuh rakan permuafakatan BN untuk menghormati beberapa nilai yang dikira sensitif untuk dikomen secara terbuka.

Islam Agama Persekutuan

Presiden MCA itu, tidak sepatutnya mengaitkan segala aspek buruk (seperti rasuah, miskin dan sebagainya) itu dengan Islam. Islam telah diterima secara harmoni oleh pelbagai kaum ketika merangka kemerdekaan negara. Malah telah lebih 1,400 tahun Islam telah dibuktikan penyelamat umat oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru itu, dalam perlembagaan negara kedudukan Islam dirakam dan disepakati di bawah Perkara 3, iaitu "agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan."

Maksud tersebut diperjelaskan oleh arwah Prof. Dr. Ahmad Ibrahim bahawa Perkara 3 hendaklah difahami sebagai memberi kebebasan yang meluas untuk penganut-penganut agama lain mengamalkan agama mereja secara aman tanpa apa-apa gangguan. Jika perkataan 'agama' merangkumi bukan sahaja aspek kepercayaan dan amalan keagamaan tetapi termasuk juga undang-undang yang terpakai kepada penganutpenganut agama tersebut, maka makna yang sama juga sepatutnya diberi kepada 'agama Islam'.

Islam bukan sahaja satu kepercayaan keagamaan dan upacara agama, tetapi satu cara hidup yang merangkumi semua aspek termasuklah undang-undang. Di atas maksud tersebut, tidak sepatutnya wujud Islamofobia kalangan pemimpin MCA termasuk Datuk Seri Chua Soi Lek dan masyarakat Cina amnya.

Tangani dengan baik, bukan memfitnah

Lebih harmoni lagi, apabila pihak Yang Dipertuan Agung sendiri menyeru agar memberi perhatian dan menangani isu Isamofobia. Apa yang penting titah baginda semasa merasmikan Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang lalu (berlangsung 27 Julai hingga 4 Ogos 2010) baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila umat Islam diancam dengan pelbagai serangan fizikal mahupun spiritual dalam dunia pasca moden ini.

Mengambi kira titah baginda itu, isu Islamofobia yang meracuni masyarakat dunia terutama di kalangan masyarakat Islam perlu ditangani dengan segera. Sekiranya umat Islam sedar keunikan, keindahan dan maksud keseluruhan al-Quran sebagai perlembagaan hidup, maka ajaran Islam bakal menjadi ikutan bukannya fobia berterusan.

Chua dipengaruhi Umno?

Sebaliknya, amat jelas Chua sengaja mengungkit suatu natijah Islamofobia dan bunyinya bercanggah dengan titah baginda itu. Kenapa jadi begitu, apakah Chua terpengaruh dengan sebahagian pemimpin Umno yang dilihat gagal mengilmukan pemimpin MCA itu dengan kebaikan Islam?

Ataukah, sememangnya sebahagian pemimpin Umno itu telah lali dengan cara MCA dan sanggup membiarkan mereka terperangkap dengan salah faham terhadap Islam? Lalu terperosok dalam ugutan Islamofobia. Namun, kedua persoalan ini adalah bukti kegagalan Umno menjadi pemudahcara Islam kepada rakan-rakan permuafakatan dalam BN.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggapkan, "titah baginda itu betul-betul serupa dengan apa yang kita lalui di Kelantan dan apa yang PAS telah buat selama ini." Maksudnya, lebih 50 tahun PAS sudah bergelumang dengan pelbagai cabaran untuk membuka pekung masyarakat di negara ini kepada kebaikan Islam.

Justeru perjuangan PAS sering disalahtafsirkan sehingga ada kalangan pemimpin Umno (yang mengaku berjuang Islam) tergamak memfobiakan masyarakat terhadap perjuangan Islam sehingga merendah-rendah hukum Allah SWT. Mungkin niat mereka untuk menyerang dan memburukkan PAS.

Namun, dari segi agama ia tidak begitu. Akibatnya, terukirnya kalimah-kalimah negatif terhadap PAS yang dikaitkan dengan Islam seperti "hudud PAS, PAS bukan Islam-Islam bukan PAS, PAS-Parti Ajaran Sesat dan negara Islam alaPAS."

Walau apapun, PAS sudah berjaya merungkai sebahagian isu-isu Islamofobia. Apa yang Chua sungutkan itu sudah tidak berlaku di Kelantan. Realiti Kelantan sudah membangun, kemiskinan rakyat sudah di paras terendah dan kemakmuran negeri dan rakyatnya sedang meningkat maju.

Selayaknya, warga Kelantan terus bersyukur kerana setakat ini PAS terus utuh dan pemimpinnya terus cekal dan tegas menghayun pendayung, meskipun sering difobiakan dengan pelbagai cara. Justeru itu tapak PAS di Kelantan sudah dibina kukuh sejak 20 tahun lampau, maka Islam kini sedang melalui pemartabatan.

Oleh itu, "orang lain kena tiru kita (PAS dan kerajaan negeri) dalam menangkis Islamofobia", tegas Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, Menteri Besar yang sudah mencipta jasa di persada politik dakwah dalam mengembalikan maruah Islam.

Penegasan Pakatan Rakyat

Dalam suatu kenyataan akhbar (Harakahdaily, 9 Ogos 2010) Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mentintakan seruan "Tinggalkan Umno" sebagai penegasan bahawa segala kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan adalah berpunca daripada salah laku Umno terhadap orang Melayu, sehingga berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri.

Ia termasuklah tindakan diskriminasi jahat yang merampas royalti minyak pada masa pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan. Sedangkan Terengganu dan Kelantan adalah penduduknya lebih dari 95 peratus terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

Apa pun, kenyataan Presiden PAS itu secara tidak langsung menzahirkan penilaian, betapa atas kepentingan persaingan politik Umno yang mengaku berjuang Islam telah sanggup menganiaya umat di negeri-negeri yang seagama dengannya.

Maka, hal itu cukup menggerunkan masyarakat bukan Islam terhadap pucuk pimpinan Islam yang memiliki tampuk kuasa. Realiti itu sebenarnya telah diperbaiki di Kelantan dan sedang diubah oleh PAS bersama Pakatan Rakyat sekarang dalam rangka memartabatkan hak Islam, rakyat dan tanah air. Sehubungan itu, Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggapkan komen Chua itu sebagai keterlaluan dan begitu jahil berhubung situasi sebenar masyarakat Islam.

Atas asas itu, Anwar berkata Malaysia perlu diselamatkan bagi memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain. Atas nada yang sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (Malaysiakini, 7 Ogos 2010) menganggap Chua sebagai mengarut dalam menggambarkan negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan mengamalkan rasuah.

Bagi Lim, pihak Chua perlu mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi. Jika demikian, penampilan kepimpinan nombor satu MCA sekarang, jelas parti MCA sudah menyanggahi hasrat dan keharmonian rakyat Malaysia yang bertersakan kepelbagaian kaum dan agama.

Di sini, Presiden MCA telah menyimpang dari nilai-nilai kesepakatan Malaysia yang turut didukung oleh parti MCA sebelum ini. Sudah tentu rakyat akan mengadili salah laku itu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Apa yang utama, rakyat selaku pengundi sewajarnya menilai penegasan Pakatan Rakyat dalam membina keyakinan baru politik negara yang mengutamakan kesepakatan antara pelbagai kaum dan agama. -


Baca Seterusnya......

Pengikut