Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Sabtu, 21 November 2009

Kubang Pasu : Hendak lari malu, nak hambat tak lalu

Oleh Afrar Yunus

Jika tiada halangan atau campur tangan pihak tertentu dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap permohonan Speaker DUN Kedah, dikira pilihanraya Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh akan diadakan dalam waktu terdekat ini.Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba datang khabar bahawa Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak mahu Johari Baharom dikekalkan di Parlimen Kubang Pasu.

Sumber dalaman pemudanya berbisik, "kita mahu Mukhriz Mahathir mewakili bapanya di parlimen berkenaan sebagai ketua bahagian"

Johari dikatakan sudah kurang aktif. Selepas isu rasuah RM5 juta yang dibabitkan sama Musa Hassan dan Polis Di Raja Malaysia tempoh hari, Johari seperti 'koma politik'.

Kata wakil pemuda itu, banyak majlis-majlis yang diadakan tidak mendapat sambutan. Wakil peribadinya di Jitra Hj Shuib juga sudah mandom.

Begitu juga dengan Cik Gu Zul yang menjadi wakilnya di Kementerian, seperti sudah tidak bertenaga dan kelihatan bersedia ke garisan untuk 'cabut'.

Apakah bisikan ini betul di saat UMNO Jerlun yang bersempadan dengan Kubang Pasu bersiap menghadapi pilihanraya Kota Siputeh ?

Jika betul, ia bakal merupakan 'advantage' pertama kepada PAS di Kota Siputeh. Keduanya, Abu Hassan Sarif ADUN sekarang dikatakan sudah bersedia untuk 'mencantas' calon penggantinya. Ketiganya, ramai pemimpin UMNO Kedah mahu Abu Hassan pergi meninggalkan DUN tersebut.

Keempatnya, banyak muka-muka baru ternganga mahu mereka dicalonkan di tempat itu. Sudah tentu akan berlaku perebutan.

Kelima, Shafie Apdal Pengerusi UMNO Kedah pula dihebohkan akan terlibat dalam rombakan kabinet.

Keenam, Ahmad Bashah Timbalan Pengerusi disifatkan oleh ahli UMNO ada serupa tiada.

Apapun, keputusan Suruhanjaya Pilihanraya pasti dinantikan biarpun Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah menjadi senjata pemusnah terakhir membersihkan Abu Hassan Sarif.

"Bersesak berundur-undur, hendak lari malu, hendak menghambat tak lalu"

Siapa ?

Orang Kedah kata, "siapa lagi jika bukan UMNO"

http://alkerohi.blogspot.com/
Baca Seterusnya......

Khamis, 12 November 2009

Cabaran Besar Buat Pemuda PAS

Oleh Al-Bakistani

Sebelum ini, aku sering bertanya kepada anak-anak muda yang aku temui di pelbagai tempat, apakah mereka mengenali tokoh-tokoh politik dari kalangan pemuda PAS? Menyedihkan, boleh dikatakan hampir semua tidak mengenali tokoh bernama Nasaruddin Tantawi, hatta bekas ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Itu sekadar pertemuan biasa yang apabila aku berjumpa dengan sebilangan anak muda, maka sengaja aku lontarkan soalan sebegitu. Ekoran itu, sebelum ini aku sering mengkritik pemuda agar melakukan perubahan dalam sudut mendekatkan dengan anak muda, seperti tidak bersifat menghentam program-program hiburan dan sebagainya, sebaliknya bersifat mencadangkan alternative demi meraih pengaruh anak muda kepada PAS.

Mungkin aku tidak mengulas lagi, bagaimana wujudnya sebilangan anak-anak muda yang menyebut PAS sebagai ’parti taliban’, dan yang paling sering kedengaran adalah ’parti surau dan masjid’ dan ’parti poyo’.

Aku secara peribadi pun, sudah mendapat maklumat dari beberapa kajian tentang penerimaan dan penolakan non-Muslim terhadap PAS, terutama selepas terwujudnya isu Kerajaan perpaduan dahulu. Perkara ini, telah aku nukilkan secara rambang dalam ruangan blog ini, tetapi dinafikan dan tidak mahu diambil serius oleh sebilangan kecil pembaca yang kononnnya sayangkan PAS.

Aku tidak memaksa mereka menerima tulisanku itu, kerana perkara yang wajib diimankan hanyalah al-Quran dan as-Sunnah sahaja. Pun begitu, padaku, PAS perlu melakukan satu tindakan yang bijak dan berhikmah dalam usaha hendak menarik pengaruh rakyat Malaysia untuk mereka menerima PAS dalam era Pakatan Rakyat ini, seterusnya PAS berjaya melaksanakan Islam yang menjadi dasar yang diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama.

Walaubagaimana pun, dalam seminar Khas yang dianjurkan oleh PAS baru-baru ini, memberikan satu ’getaran jiwa’ bagi pendokong-pendokong PAS, terutama pemuda. Ini kerana, data kajian yang dikemukakan oleh Dr Abu Hasan Hasbullah itu, menggambarkan betapa PAS terlalu kurang diterima oleh anak-anak muda.

Dr Abu Hasan Hasbullah menyebut, PAS disokong oleh golongan muda dari umur 21-30 adalah 63 orang, berbanding yang melawan PAS seramai 633 orang; umur 31-40 pula yang menyokong PAS adalah 181 orang, berbanding yang melawan PAS seramai 519 orang.

Tidak mengapa untuk menafikan data ini, tetapi jangan menyesal jika PAS kalah dalam PRU akan datang. Ataupun, jangan sekali-kali menyalahkan tuhan secara mutlak, dikala terbukti PAS kalah dalam mana-mana PRU.

Justeru, data yang dibentangkan oleh Dr Abu Hasan Hasbullah ini, sepatutnya menjadi satu peringatan bagi pemuda PAS agar bertindak lebih berhikmah dalam menarik minat anak muda kepada PAS.

Dalam keadaan sebegini pula, aku amat pelik apabila ada kenyataan sebilangan pemimpin PAS yang mahu melakukan kajian lain untuk memastikan kebenaran data Dr Abu Hasan Hasbullah tersebut. Apakah tujuan dilakukan kajian lain itu? apakah untuk menutup kelemahan?

Jika tidak berpuas hati dengan kajian Dr Abu Hasan Hasbullah, apa perlunya melakukan kajian lain, bagi memastikan kebenaran data Dr Abu Hasan tersebut? Bukankah itu, membanyakkan kerja? Bukankah lebih baik, kalau terus merancang dan wujudkan plan tindakan dalam usaha hendak menarik minat pengundi kepada PAS. Jika, mahu dilakukan kajian sekali lagi, dibimbangi sebuk dengan kajian itu, sehingga terlalai terus dari bertindak untuk menarik minat pengundi?

Selalunya, orang yang sibuk dengan satu kerja, mereka akan terlalai dengan kerja yang lain. Perkara ini sebenarnya wujud dalam budaya PAS.

Aku bimbang, kerana PRU hanya tinggal 2 tahun sahaja. Malah, mungkin tidak sampai 2 tahun lagi. Kalau tidak bertindak dari sekarang, kemungkinan besar, sejarah 2004 berulang kembali.

Jika kita menjengok sekejap sejarah kejatuhan PAS pada tahun 2004, kita dapat melihat isu negara Islam dan perlaksanaan hudud terbukti menjadikan PAS gagal mempertahankan pemerintahan di Terengganu. Ekoran itu, bekas Menteri besar Terengganu ketika itu berucap;

”Justeru itu, isu negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syariah menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan besar dan ijtihad besar untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat federal. Peruntukan mengenai islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan seperti yang diamal kini di peringkat federal

”seandai menang dalam Pilihanraya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat federal atau pusat yang mendukung perlembagaan persekutuan yang ada” (buku Sejarah Sebagai hakim muktamad : 122)

Mungkin ketika itu, tidak ada mana-mana pakar atau ahli akademik pun yang menegur PAS atas kesilapan yang berlaku, menyebabkan PAS kalah teruk, seterusnya melahirkan ucapan sebegini.

Pun begitu, diharapkan ucapan yang beraliran sebegini tidak terpancul pula pada kali kedua, iaitu setelah kita tidak mahu mendengar luahan dan kajian yang telah diberikan oleh ahli akademik, ataupun kita ego dalam menerima kritikan orang bawahan atau orang luaran dalam mempertahankan kemenangan yang ada.

Padaku, sekarang bukan masanya untuk kita buat kajian kali kedua, bagi memastikan kebenaran data Dr Abu hasan hasbullah, sebaliknya, bermula dari sekarang PAS perlu merancang program-program mesra rakyat, disamping membina balik kepercayaan rakyat terhadap PAS demi melihat kemenangan PAS dalam PRU akan datang.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

http://g-82.blogspot.com/

Baca Seterusnya......

Selasa, 3 November 2009

Jangan Terperangkap Dengan Agenda Musuh

Seluruh petugas parti diingatkan agar jangan terperangkap dengan agenda musuh dengan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang remeh temeh dengan menimbulkan polimik sesama sendiri, sehingga mengabaikan tangungjawab kepada usaha memenangi pilihanraya ke 13.Kita mesti ingat bahawa selepas PRU ke 12 dan beberapa PRK yang kita lalui menyebabkan UMNO/BN berada pada tahap yang sangat kritikal.

Sokongan rakyat kepada PR menyebabkan mereka beralih kepada strategi baru iaitu menimbulkan pergolakan dalaman parti-parti dalam gabungan PR dan mencetuskan agenda perbezaan pandangan dalaman parti PR. Strategi ini ternyata berkesan sehingga tiba-tiba sahaja muncul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza sehinga mencetuskan kegawatan dalaman berlaku pada semua parti dalam PR. Sedangkan isu sebenar ialah pergolakan dalaman BN.

Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya. Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan.

Kita mesti kembali kepada landsasan kerja persiapan menghadapi pilihanraya:

Berapa ramai pengundi baru yang kita sasarkan dapat dicapai,
Bagaimana persiapan bilik gerakan,
Semakan daftar pemilih terkini
Semakan rang yang dibentangkan,
Bantahan yang perlu dibuat
Cadangan persempadanan pilihanraya, jawatankuasa persempadanan pilihanraya,
Permasalahan kewangan setiap dun, parlimen, dan UPU.

Apa tidakan kita untuk memastikan segalanya berjalan dengan cukup lancar? Ini yang perlu diberi tumpuan. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita. Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah.

Dulu ada satu kisah enam orang pelabur berbincang untuk menjalankan ternakan kambing, cadangan sangat baik. Tetapi bila sampai kepada bagaimana pembahagiaan keuntungan, suasana mula tegang. Masing-masing rasa dia sepatutnya mendapat lebih banyak berbanding yang lain. Keadaan makin tak terkawal sehinggalah seorang yang lebih banyak berdiam diri dalam mesyuarat sejak awal berkata:

“Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi”.

Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja.

Sekarang kita perlu sedar sebelum terlewat. Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang ‘musuh’ kita sebenar. Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita. Saya yakin tanpa kita sedar sebenarnya kita sedikit demi sedikit telah termasuk dalam perangkap musuh.
Baca Seterusnya......

Jumaat, 30 Oktober 2009

Kita Berbeza............


Oleh Aris Awang

Pemuda dan pemudi ku,
Kita berbeza, yang aku maksudkan 'kita' ialah, jamaah kita, perjuangan kita, halatuj u kita, pembawaan kita, cara berfikir kita berbanding dengan organisasi lain, lebih-lebih lagi parti politik lain di atas muka bumi Malaysia ini.

Ini penting ditekankan semula kepada aku dan kamu semua pemuda dan pemudi ku agar kita tidak terjebak dengan penafsiran yang dilakukan oleh berbagai pihak sehingga kita berfikir bahawa perjuangan kita ini adalah sama seperti parti-parti politik lain yang tidak ada apa-apa tujuan melain untuk tujuan keduniaan dan paling tinggi ialah untuk tujuan kemanusiaan semata-mata.

Ingin aku tegaskan bahawa kita tidak begitu perjuangan kita ialah akan membawa merentasi dari dunia ini sehinggalah ke alam kehidupan selepas kematian yang kekal abadi.

Pemimpin boleh datang dan boleh pergi, tetapi perjuangan yang telah di gariskan didalam perlembagaan kita, yang kita yakini ia disusun dan di bina tanpa ada tujuan lain selain dari menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Kesalahan, keganjilan, kefasadan adalah dilakukan oleh manusia yang memimpin atau manusia yang menyertai sesebuah jamaah ini, jamaah tetap mulia dan dihormati selagi perlembagaannya meletakkan asas utama itu.

Pemuda dan pemudiku, rujuklah perlembagaan jamaah, bertanyalah kepada diri sendiri adakah kita masih berada dilandasan yang telah ditetapkan oleh perlembagaan ataupun kita telah turun dari landasan perlembagaan. Apakah usaha-usaha yang diarahkan oleh perlembagaan telah dilaksanakan oleh kita dengan penuh kesungguhan demi mencapai matlamatnya.

Lihat sahaja usaha yang pertama: Fasal 6. (1) Menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. dan (2) Memperjuangankan Islam sebagai aqidah dan syari'ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Renungilah diri kita sendiri secara sedar dan insaf, setakat manakah 2 usaha diatas telah kita lakukan secara yang maksimum berdasarkan kemampuan kita? Pepatah Melayu mengatakan, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Apakah kita masih bertahan untuk hidup seratus tahun lagi, atau seribu tahun lagi untuk mengelak dari berhadapan dengan Rabul Jalil dan akan ditanya tentang usaha yang telah disepakati bersama sejak 1951, tetapi ianya hanya terabai didalam perlembagaan jamaah seperti terabai ayat-ayat suci Al-Quran di mushafnya sejak penjajahan dunia barat ke atas negara umat Islam, dengan hancurnya tamadun Islam.

Ya, kita berbeza dari organisasi politik lain, jangan hiraukan cubaaan mereka-mereka yang ingin menyamakan perjuangan kita dengan perjuangan parti-parti politik lain, jangan hiraukan mereka yang cuba melunakkan agar kita meninggalkan perjuangan asasi ini, iaitu perjuangan menyambung tugas para nabi dan rasul a.s yang tercatat dalam sejarah amat sedikit bilangan mereka ini yang berjaya memerintah di atas muka bumi ini. Ada yang digergaji sehingga terbelah kepalanya, ada yang dihalau dari negeri asal, ada yang dibunuh mati, ada yang dihina, dicerca dituduh gila, bodoh, tidak bijaksana dan sebagainya.

Dasar PAS ialah Islam, seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR. teruskan perjuangan walaupun kita dilihat berbeza dari mereka dengan suatu pandangan anih serta ganjil!

http://arisawang.blogspot.com/
Baca Seterusnya......

Selasa, 27 Oktober 2009

Pemuda Mesti Ada "umph"

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi
Sejak sekian lama , kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph" . Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan . Dulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerakkerja amal jamaei , amal fardi dan amal ijtimaei .. Masih saya ingat , selain usrah saban minggu , jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhaiyyam , namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis . Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi .

4. Ukhuwwah cukup erat dan intim . Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan " Ana Uhibbuka fillah Ya akhi " sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi - pipi merah yang menahan getir perjuangan ini . Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah . Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah .


5. Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan . Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap . Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita . Manakan tidak ..... Makan setalam , tidur sebantal dan musafir sekenderaan , bersulam doa rabitah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang .
6. Buku - buku haraki senantiasa di tangan , sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah . Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan - pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan .


7. Semangat jihad berkobar - kobar , merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala . Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya barulah disudahi dengan perkembangan isu semasa . Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan .


8. Timbul masaalah , segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing - masing menutup masaalah dan aib saudara masing - masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar . Cepat melupakannya serta segera memaafkan . Masaalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah islamiyyah yang tebal segera merawatnya .


9. Mesyuarat dengan penuh mesra . Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza . Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata . Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri , tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri . Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti - nanti . Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan .


10. Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini . Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan . Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat .


11. Sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang . Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif . Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api . Nak bercakap rasa tak kena , tak bercakap rasa salah . Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala , kalau sempat pun sekadar bersalam tangan . Rasa sukar untuk mendekap pipi , sebab masing - masing sibuk memburu waktu entah nak kemana .... kalau peluk semua ahli mesyuarat , terpaksa mengambil masa yang agak lama . Ada yang rasa janggal dan geli geleman .....


12. Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan . Memandang sahabat seperti musuh . Ya ... musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik . Menyertai PAS bukan lagi menyertai Gerakan Islam tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam .

13. Hadhir mesyuarat seperti menghadhiri parlimen untuk berdebat dengan musuh . Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti diparlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang . Tidak lagi bermula dengan al mathurat dan doa rabitah . Asmaul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras . Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa .

14. Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini . Nak baca macam mana , usrah pun sudah 5 tahun tidak hadhir . Terma - terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri , wehdatul amal dan sebagainya .

15. Mesyuarat sebelum mesyuarat , mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin . Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus . Sebab , sebelum masuk mesyuarat , perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komiti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan . Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu , ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi .

16. Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini . Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain . Suasana senantiasa tegang dan panas . Bila - bila masa boleh mencetus perbalahan . Masing - masing dok tunggu tuning point sebagai masa nak bertindak .

17. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat . Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra . Seperti merenung musuh , kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita . Ada sahaja yang tidak kena dan hati senantiasa tidak puas .

18. Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur . Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja . Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa , kalau pun masih terasa hanya sekadar manis - manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka .

19. Terma - terma asas perjuangan Islam seperti jihad , negara Islam , hudud , mukhayyam tarbawi , usrah , harakah Islamiyyah , naqib , ukhuwwah fillah dan lain - lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum . Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak , tidak kena timing , keterlaluan , non muslim tidak akan mengundi kita , kolot dan macam - macam lagi sms akan masuk menempelak .

20. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi . Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah . Habis semangkuk , perut boleh kenyang tetapi umphnya tiada . Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula umph dalam perjuangan ini ?

Harapan saya , agar pemuda dapat menikmati semula umph tersebut . Untuk itu , pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat [ UMPH ] .
Baca Seterusnya......

Pengikut