Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 17 November 2011

Catatan cemerlang Audit Kedah digelapkan TV3

Oleh Zulkifli Yahaya

BULETIN Utama TV3 melaporkan kononnya Ketua Audit Negara telah menegur Kerajaan Negeri Kelantan kerana amalan perbelanjaan yang tidak berhemah. Siaran berita yhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9hLqaB8icqYk3YWpcSuXYI5Q5e9tJ3bUhxPgf9F5LI_ffuUKRLCnUHTtHperkeZ1IVtaWHapKtL-rLWSJqWchlzxXDQ0gAUtLDzpaJTFe1waZs-5l_YQpJ0P5ZdRPi9SEGdugGnWkrJht/s1600/logo+buletin+utama+baru.JPGang sama juga mengecam Kerajaan Negeri Selangor kerana berdasarkan laporan audit itu juga, hasil negeri Selangor merosot sebanyak 20 peratus dari sebelumnya.

Banyak juga pendedahan kepincangan dalam pengurusan kewangan oleh agensi kerajaan Pusat yang berlaku tetapi TV3 tidak menyiarkannya. Itulah kaedah penyiaran berat sebelah dan penuh propaganda oleh siaran televisyen yang bekerja keras untuk menyelamatkan kuasa kerajaan BN di pusat.

Cuma ramai yang tertanyatanya, apa pula halnya dengan laporan audit berhubung pengurusan kewangan di Kedah?

Jika wujud mustahil TV3 serta media-media talibarut BN akan mendiamkan saja. Rupanya semakan terhadap laporan audit tersebut mendapati tiada kepincangan yang boleh dimanipulasi oleh BN.

Tentulah BN Kedah sangat kecewa kerana siang malam mereka ‘mendedahkan penyelewengan’ di media kononnya kerajaan negeri menyalahgunakan wang peruntukan Pusat berhubung penyelenggaraan jalan, tetapi tiada pula dalam laporan audit.

Maka terserlahlah kejahilan mereka selama ini yang telah bertindak membuat lapora polis dan SPRM.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) amat berbangga dengan Laporan Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan Kerajaan Negeri Kedah untuk tahun 2010.

Walaupun Ketua Audit Negara mengatakan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah memuaskan, namun bagi DPPNK, dengan usia ‘setahun jagung’ iaitu baru tiga tahun memerintah, pencapaian tersebut adalah sangat cemerlang,” ujar Ketua Penerangan DPPNK yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria.

Katanya, DPPNK akan terus bekerja keras bagi terus mempertahankan dan mengajak seluruh rakyat terus menyokong dan mendukung pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Di sebalik segala kepincangan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional, DPPNK menyeru seluruh rakyat Negeri Kedah untuk membuat perbandingan dan membuat pilihan yang tepat.

Ahli Parlimen Padang Terap itu telah membuat kajian terhadap laporan audit, khususnya terhadap pentadbiran di Kedah. Banyak catatan cemerlang yang direkodkan.

Antaranya, Kerajaan Negeri Kedah telah mengalami peningkatan hasil sejumlah 23.9 peratus atau RM87.94 juta pada tahun 2010 berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus RM2.55 juta atau RM 0.6 peratus. Hasil kerajaan negeri pada tahun 2010 berjumlah RM456.21 juta berbanding 2009 sebanyak RM368.27 juta.

Pencapaian ini yang terbaik di dalam masa lima tahun. Kerajaan Negeri Kedah juga telah mencatatkan surplus atau lebihan pada tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta.

Peningkatan ini sangat ketara dan sangat membanggakan. Ia adalah defisit tertinggi dalam masa 5 tahun dan merupakan surplus kali kedua dalam tempoh tersebut. Berbanding dengan defisit tahun 2009 yang berjumlah RM62.89 juta, ia menjadikan peningkatan sejumlah RM85.39 juta iaitu sebanyak 135.8 peratus.

Ketua Audit Negara juga telah memperakui pengurusan kewangan di Jabatan/Agensi Negeri telah bertambah baik berbanding 2009. Pihak Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 17 Jabatan/Agensi Negeri.

Laporan tersebut telah memperakui peningkatan penerimaan hasil cukai tanah sebanyak RM18.69 juta iaitu peningkatan sebanyak 21.9 peratus. Kerajaan negeri berjaya mengutip RM104.06 juta berbanding 2009 hanya RM85.37 juta. Walaupun dasar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang menurunkan cukai sebanyak 25 hingga 75 peratus di awal usia pemerintahan, namun bagi DPPNK telah berlaku kecekapan dalam kutipan hasil tanah walaupun berlaku penurunan selama dua tahun berturut-turut.

Kutipan ini yang kedua tertinggi di dalam tempoh lima tahun. Peningkatan ketara iaitu 125.2 peratus atau RM19.71 juta juga berlaku dalam pungutan tunggakan cukai tanah. Hasil kutipan berjumlah RM35.45 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya RM15.74 juta. Kutipan ini adalah tertinggi dalam masa lima tahun.

Sekali lagi premium hutan berjaya ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Peningkatan sejumlah 46.9 peratus atau RM15.49 juta.

Berbanding tahun 2009 sebanyak RM33.05 juta, kerajaan berjaya memungut RM48.54 juta. Jumlah ini adalah yang tertinggi dalam masa lima tahun. Sebagai catatan juga peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2007, hampir 400 peratus.

Kerajaan juga berjaya membuat kutipan premium tanah tertinggi dalam masa lima tahun terakhir. Berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak RM 26.63 juta, sebanyak RM58.12 juta atau peningkatan sebanyak 118.3 peratus.

Baca Seterusnya......

Khamis, 26 Mei 2011

Ingat ,Jangan Ada Politik Cantas Di Kalangan Kita!

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

Selagi PAS dilanda gelora dan kini isu berkait dengan politik cantas atau "cas keting" . Dalam erti kata lain ialah politik saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain dari kalangan anggota sepasukan atau s ejamaah .

Ianya jelas kelihatan sangat negatif malah bertentangan dengan disiplin dan akhlak berjamaah justeru intima' [ penyertaan ] kita ke dalam jamaah Islam ini adalah untuk mencari keredhaan Allah swt. bukan nama , kedudukan , pangkat dan jawatan .

3. Jawatan hanyalah amanah yang mesti dipikul dengan penuh tanggngjawab . Tiada kebanggaan dari jawatan yang disandang melainkan beban yang akan dipersoal oleh Allah swt kelak . Memahami realiti ini , sewajarnya politik cantas mencantas sesama sendiri tidak berlaku sebaliknya apa yang selayaknya ialah Fastabiqul khairat [ berlumba - lumba membuat kebajikan ] .

4. Tindakan saling jatuh menjatuhkan sesama anggota jamaah Islam adalah satu pelanggaran disiplin dan akhlak jamaah yang serius . Ianya dibayangi oleh nafsu yang tidak baik dan dipengaruhi pula oleh unsur yang negatif [ mazmumah ] seperti hubbu Jaah [ gila kemasyhuran ] dan hubbu Riyasah [ gila jawatan ] .

5. Apa yang mahu dikejar dalam perjuangan ini sehingga sanggup cantas mencantas ? sedang tugas dan tanggungjawab terlalu banyak untuk dilaksanakan . Gerakan Islam bukan medan untuk mencari kemasyhuran dan bukan pula medan memburu kekayaan . Sayugianya kita bahu membahu bukan siku menyiku dan kita kuat menguat antara satu sama lain bukan cantas mencantas .

6. Jangan kita terpengaruh dengan cara musuh berpolitik dan jangan biarkan nafsu menguasai diri . Berjuanglah dengan tenang dan ikhlas . Hiasi diri dan jamaah ini dengan disiplin , akhlak dan adab berjamaah sebagaimana yang dikehendaki oleh sunnah perjuangan yang diasaskan oleh baginda Rasul saw .

7. Suka saya tegaskan sekali lagi bahawa jawatan adalah beban yang mesti dipikul bukan direbut dan tanggungjawab adalah amanah yang mesti ditunai bukan untuk dibanggakan . Jangan lihat sahabat seperjuangan seperti menjeling ke arah musuh . Jangan biarkan pra sangka mendahului husnu zaan ketika kita menilai sahabat seperjuangan . Kalau hanya berbeza pandangan dan pendapat , tidak seharusnya dibaca sebagai permusuhan sehinggakan mewajarkan kita mencantas atau menjatuhkannya .

8. Sewajarnya kita memperkayakan jamaah ini dengan semangat kasih sayang [ ukhuwwah filah ] , hormat menghormati , harga menghargai , faham memahami malah percaya mempercayai antara anggota sesama anggota demikian juga pimpinan sesama pimpinan . Katakan tidak kepada curiga mencurigai dan hasad dengki atas kejayaan , kemajuan dan kehebatan sahabat seperjuangan yang lain .

9. Andai terdapat sesuatu tindakan anggota yang dianggap membawa kerosakan dan kebinasaan kepada jamaah , kita mempunyai Jawatan kuasa Disiplin parti yang menilai dan menguruskannya . Kita juga ada muktamar di semua peringkat parti untuk mengukur prestasi dan reputasi anggota . Kita juga ada majlis mesyuarat dipelbagai peringkat untuk membuat keputusan . Asaskan segala tindakan melalui prinsip amal Islami yang meletakkan syura sebagai satu mekanisme membuat keputusan dan mengawal parti .

10. Jadilah anggota atau pimpinan jamaah yang baik dan soleh .

a] Suburkan Amal Tarbawi di dalam organisasi jamaah
b] Cernakan kemurnian spiritual sebagai seorang pejuang .
c] Tutup segala ruang buat syaithan menguasai minda
d] Pelihara adab dan akhlak berjamaah .
e] Patuhi peraturan dan tatacara jamaah .
f] Dengar dan taat arahan pimpinan .
g] Utamakan jamaah mengatasi kepentingan diri .
h] Hormati pandangan sahabat seperjuangan
i ] Urus konflik dengan bijak , adil , telus dan jujur .
Baca Seterusnya......

Sabtu, 7 Mei 2011

Anak syarikat kerajaan Kedah tanggung Puteri Umno

Oleh Mohd Shubihi Muhamad Zain

Sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) didakwa telah menymbangkan dana tetap kepada Puteri Umno ketika Kewdah ditadbir oleh BN sebelum ini.Ia melibatkan sumbangan dana syarikat milik kerajaan (GLC) itu kepada Pergerakan Puteri Umno Kedah yang berjumlah RM30,250 bagi tempoh Julai 2003 hingga Februari 2004

Pendedahan ini dibuat melalui laman blog prokerajaan 'Kedah La Ni' dan turut disebarkan melalui laman sosial 'facebook' penyokong-penyokong kerajaan termasuk Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Turut disenaraikan adalah butiran lengkap sumbangan syarikat kepada sayap Umno itu yang menyalahi matlamat penubuhan syarikat dan dikategorikan sebagai perbelanjaan tidak berkepentingan ketika pergerakan tersebut diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaakub (gambar).

Mengikut rekod perbelanjaan syarikat 2003, pergerakan itu menerima sumbangan cek berjumlah RM1,000 (27 Julai), RM7,000 (5 Ogos) dan RM1,000 (22 Disember). Manakala pada 2004 pula, mereka menerima RM7,000 (5 Januari), RM4,250 (24 Februari) dan RM10,000 (25 Februari).

Sidang Dun Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan pendedahan penyelewengan dana GLC berjumlah hampir RM8 juta oleh pengurusan terdahulu hingga mengakibatkan STDC mengalami kerugian.

Susulan pendedahan itu Pemuda PAS Alor Setar telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 April lalu dan menyerahkan dokumen berkaitan penyelewengan bagi membantu siasatan.
Baca Seterusnya......

Memilih pemimpin semasa muktamar

Oleh Khalid Samad

Ada yang bertanya saya berhubung pemilihan yang akan diadakan semasa Muktamar tahun ini. Mereka bertanya, “atas dasar apa perlu kami memilih dan siapa patut kami sokong?” Saya menjawab secara umum, “pilih yang boleh menunaikan tanggungjawab yang datang bersama jawatan tersebut”.

Seperti yang sering diingatkan, jawatan adalah tanggungjawab dan bukan penghormatan. Atau dalam istilah yang digunakan Ketua Pemuda PAS Pusat, ‘takhlif laa tasyrif’. Ini bermakna, kita pilih seseorang itu dengan tujuan utama supaya dia memainkan sesuatu peranan, bukan sebagai pengiktirafan terhadap kehebatan dirinya. Ini adalah lebih-lebih lagi sekiranya jawatan tersebut bersifat ‘eksekutif’ atau untuk ‘execute’ iaitu melaksanakan sesuatu tugas atau peranan.


Dalam PAS, semua jawatan AJK PAS Pusat adalah bersifat ‘executive’. Mungkin itu sebabnya ianya disebut sebagai Jawatankuasa KERJA PAS Pusat. Penekanan diberi kepada perkataan KERJA! Maknanya, seseorang yang dipilih untuk menyandang mana-mana jawatan dipilih kerana dipercayai dia boleh membuat kerja yang perlu dibuat oleh seseorang yang menyandang jawatan tersebut. Sekiranya kemudiannya dia didapati tidak mampu atau tidak sesuai untuk kerja berkenaan, maka dia boleh ditukar.

Ini sebenarnya semangat disebalik kata-kata ‘takhlif laa tasyrif’. Sekiranya atas dasar penghormatan, atau ‘tasyrif’, ianya penganugerahan atas sebab kehebatan seseorang dalam bidang tertentu. Maka anugerah itu adalah atas sebab apa yang telah dan sedang dilakukan dan ianya tidak menuntut sesuatu prestasi atau perlaksanaan selain dari apa yang telah dicapai. Sebagai contoh, tokoh perniagaan untuk tahun 2011 adalah berdasarkan pencapaian seseorang peniaga pada tahun berkenaan dan walau apa sekalipun yang berlaku selepas itu, beliau yang dianugerah tokoh perniagaan 2011 tetap merupakan tokoh pada tahun tersebut, walaupun pada 2015 katakan, dia bankrupt! Dalam erti kata lain penganugerahan itu tidak mewajibkan beliau melakukan sesuatu, termasuk meneruskan prestasi cemerlang dalam perniagaan beliau.

Pemilihan atas dasar ‘takhlif’ pula mengambil kira kerja yang perlu dilakukan dan orang yang dianggap paling mampu untuk melakukannya. Oleh itu, dua aspek penting perlu diambil kira semasa membuat pilihan. Yang pertama kerja atau tanggung jawabnya dan yang kedua kemampuan calon-calon yang dicadangkan.

Dalam soal kerja untuk setiap jawatan, ianya dijelaskan secara umum di dalam perlembagaan. Sebagai contohnya, kerja atau tanggung jawab Presiden dinyatakan dengan jelas sebagai 5 tugas utama, iaitu, secara ringkas:

1. Melaksana pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan
2. Bertanggung jawab atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas JK PAS Pusat
3. Melantik SUA, Penolong SUA, Bendahari dan lain-lain di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat JK PAS Pusat.
4. Mengambil apa-apa jua langkah demi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli JK PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing
5. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat JK PAS Pusat dan Jk Harian PAS Pusat.

Adalah jelas dari yang di atas bahawa jawatan Presiden menuntut peranan tertentu dan bukan sekadar anugerah atas kehebatan atau ketokohan seseorang. Ianya adalah jawatan yang bersifat eksekutif atau untuk membuat kerja tertentu.

Begitu juga semua jawatan yang terdapat di dalam JK PAS Pusat!

Setelah dipilih maka prestasi mereka yang dipilih dipantau selama tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, apa-apa kekurangan dan kelebihan perlu disuarakan dengan ikhlas dan terbuka dalam muktamar tahunan atau apa-apa program muhasabah parti yang diadakan. Teguran dan kritikan ini tidak wajar dianggap sebagai bersifat tidak hormat atau tidak wala’ kerana seperti yang dijelaskan, mereka dipilih untuk melaksanakan sesuatu tugas, bukan sebagai penganugerahan sesuatu penghormatan atau darjat. Maka sekiranya perwakilan beranggapan tugas tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh mana-mana pemimpin, maka perwakilan berhak untuk menegurnya.

Sekiranya selepas segala teguran dan nasihat, prestasi tidak berubah atau tidak mampu ditingkatkan, maka pada Muktamar tahun kedua, pejawat-pejawat yang tidak menyerlah dan tidak berprestasi baik boleh ditukar. Pengguguran dari jawatan tidak bererti seseorang itu tidak baik, tidak mantap imannya atau kurang ‘alim, tetapi hanya bererti bahawa dia tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.

Inilah sebabnya mengapa pilihan tidak wajar dilakukan semata-mata atas dasar menghormati ketokohan seseorang tanpa mengambil kira kemampuannya untuk memainkan peranan seperti yang diperlukan bagi jawatan tersebut. Sekiranya dia tidak berprestasi dengan baik, maka dia tidak akan ditukar atau ditegur disebabkan dia dipilih atas sebab ketokohan tertentu yang tetap dimilikkinya. Ketokohan seorang pemidato, ulama’, professional atau penulis tidak hilang di atas sebab dia bukan seorang pelaksana (executive) yang baik. Ketokohan tersebut tetap kekal pada dirinya tetapi dia tidak merupakan orang yang sesuai untuk jawatan pelaksana yang diinginkan dan diperlukan parti.

Orang yang dipilih dibebankan dengan tanggungjawab yang berat dan oleh itu, tidak wajar kita menzalimi seseorang yang kita tahu tidak mampu tetapi oleh kerana suka dan hormat, kita meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas bahunya. Itu bukan ‘suka’ atau ‘hormat’ pada seseorang. Sebaliknya ianya sesuatu penganiayaan. Namun, lebih zalim lagi, setelah kita membebannya dengan tanggungjawab sebegitu berat, kita tidak pula membantunya.

Oleh itu saya menyeru kepada semua yang akan ke Muktamar PAS tahun ini untuk memahami apa yang kita lakukan semasa kita membuat pilihan. Semoga pilihan itu adalah yang terbaik bagi jawatan berkenaan dengan kita memberikan amanah itu kepada yang ahli padanya atau yang mampu melaksanakannya. Kedua saya menyeru semua untuk menerima keputusan Muktamar dengan hati terbuka dan siapa sahaja yang terpilih, mereka hendaklah diberi sokongan yang padu dan tidak berbelah-bagi. Namun sekiranya walaupun dengan sokongan ini ada yang gagal menunjukkan prestasi yang diinginkan, maka ditukarnya selepas 2 tahun!

Selamat bermesyuarat Agung Tahunan dan seterusnya bermuktamar.

---------------------------------------------------------

Penulis adalah anggota Parlimen Shah Alam dan juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat
Baca Seterusnya......

Isnin, 4 April 2011

Fitnah: Senjata Tertua di Dunia

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi


Meskipun senjata ini adalah senjata yang paling tua dan klasik, namun ia adalah senjata yang bahaya dan berbisa malah kesan radiasinya lebih dahsyat membawa kemusnahan berbanding letupan loji nuklear. Ia bukan sahaja mampu membunuh jasad manusia bahkan fitnah adalah senjata yang mampu membunuh jiwa manusia dan peradabannya. Firman Allah swt :


و الفتنة أكبر من القتل و لا يزالون يقاتلونكم حتى يردوكم عن دينكم إن استطاعوا

dan fitnah itu adalah suatu yang sangat besar [ dahsyat dosa dan akibatnya ] dari membunuh dan senantiasalah mereka memerangi kamu sehingga mereka boleh memalingkan kamu dari agama kamu jika sekiranya mereka mampu melakukannya.

Surah Al Baqarah Ayat : 217

Bermula dari zaman pertarungan antara Qabil dan Habil yang bermula dengan api fitnah merebut seorang perempuan untuk dicintai akhirnya meletus satu kesan radiasi yang membawa kepada berlakunya pembunuhan dan itu adalah pembunuhan manusia pertama direkodkan di atas muka bumi dan ianya bermula dari fitnah serta dendam. [boleh rujuk kisahnya di dalam surah al Maaidah ayat 27 hingga 32].


3. Nabi Yusuf as terpaksa meringkuk di dalam penjara angkara fitnah. Nabi Yusuf as dituduh bermukah dengan Zulaikha, isteri kepada seorang pembesar istana. Plot dan drama fitnah itu dirancang selicik mungkin oleh orang - orang dalam istana yang bermula dari api fitnah Zulaikha akhirnya Nabi Yusuf as diseret ke penjara sementara Nabi Yusuf as sedia ke penjara demi mempertahankan maruah dan kesucian dirinya. Firman Allah : [boleh rujuk kisahnya di dalam surah Yusuf ayat 21 - 36]

قال رب السجن أحب إلي مما يدعونني إليه

Ia [ nabi Yusuf as ] telah berkata : Tuhanku , Penjara lebih aku suka berbanding apa yang mereka suruh aku lakukanya

Surah Yusuf. Ayat 33

4. Senjata fitnah sebagai senjata yang tiada nombor siri ini terus digunakan secara berleluasa di sepanjang zaman sehinggalah ke zaman Nabi kita Muhammad saw. Apabila Isteri Nabi saw, Aisyah rha. difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mua'attal al Sulami. Plot cerita yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin Salul cukup meyakinkan sehingga sebahagian sahabat Rasulullah saw mencadangkan agar Nabi saw menceraikan sahaja Aisyah rha sementara sebahagian yang lain mempertahankannya. Malah Nabi saw diam tidak terkata, tambahan pula wahyu terhenti kira - kira sebulan lamanya. Sehinggalah akhirnya turun wahyu membebaskan keluarga Rasulullah saw dari belenggu fitnah yang direka.

5. Allah swt berfirman di dalam surah an Nuur ayat 11, bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.

6. Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap menggunakan senjata tanpa nombor siri [fitnah] ini untuk menjatuhkan lawan mereka samaada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam pergolakan politik.

7. Malah kuasa besar dunia sekalipun lengkap dengan segala kekuatan tentera dan senjata, demi menjayakan misi penaklukan mereka ke atas negara - negara lain turut menggunakan fitnah bagi mencetus huru hara dan perang saudara serta pergolakan politik dalaman sebelum mereka menjadi "super hero" yang datang kononnya untuk misi menyelamat dan damai.

8. Dunia disepanjang zaman diletakkan dalam persaingan dan pertarungan fitnah. Manusia walaupun baik, lebih - lebih lagi manusia buruk memang berpotensi untuk menjadi mangsa senjata fitnah ini. Namun kebiasaannya manusia yang jahat [faajir] akan menggunakan senjata ini untuk diacu kepada lawannya. Justeru manusia yang baik [soleh] sekali - kali tidak akan bermain dengan senjata tanpa tuan ini.

9. Bukan sahaja individu akan derita sebaik sahaja terkena kesan radiasi fitnah ini, malah rumahtangga akan runtuh, masyarakat akan huru hara, negara akan binasa malah dunia hilang pertimbangan. Jika dunia mengutuk sekeras - kerasnya mana - mana negara yang membina dan menggunakan senjata nuklear kerana menyedari kesan buruknya, maka saya kira dunia wajar mengutuk berganda kali penggunaan senjata fitnah yang membawa kesan buruk dan dahsyat berlipat ganda.

10. Bagi kita ummat Islam malah juga perlu diambil iktibar [pengajaran] oleh non muslim akan nasihat dan panduan nabi kita Muhammad saw dalam menghadapi zaman penuh fitnah, krisis dan konflik ini. Terutama kepada mereka yang sering menjadi mangsa fitnah tanpa mengira apa tujuan atau objektifnya, wajar sekali menghayati wasiat dan pedoman Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw :

أوصيكم بتقوى الله عزوجل و السمع و الطاعة و إن تأمر عليكم عبد فأنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين عضوا عليها بالنواجذ و أياكم و محدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

Maksudnya : Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah swt dan dengar serta taat sekalipun yang dilantik pemimpin ke atas kamu hanyalah seorang hamba. maka sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup dari kalangan kamu, nescaya ia akan melihat berlakunya ikhtilaf [ krisis, konflik dan fitnah ] yang begitu berleluasa , maka wajiblah ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar Rasyidin yang mendapat petunjuk dari Allah swt dan hendaklah genggam sunnah itu seerat - eratnya dengan geraham kamu. Waspadalah akan perkara yang direka cipta maka sesungguhnya setiap perkara baru yang direka cipta [ dalam urusan agama kamu ] adalah sesat.

Hadis riwayat : Abu Dawud dan at Turmuzi dan katanya Hadis ini Hasanun Sohih.

Penutup : Hanya taqwa serta keiltizaman kita kepada syariat dan sunnah Rasulullah saw akan menjadi perisai berkesan dalam menghadapi peluru fitnah dan kesan radiasinya. Meskipun fitnah itu melanda diri dan keluarga kita, insyaallah ketaqwaan akan menjadikan kita mendapat lindungan Allah swt dan kita berjaya mengatasinya dengan jaya.

Bersabarlah insan yang terfitnah dan semoga mereka yang menabur fitnah mendapat petunjuk Allah swt untuk kembali ke jalan yang benar, memohon ampun dan diredhai Allah swt.
Baca Seterusnya......

Pengikut