Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 10 Januari 2011

Umno terjerat: Pindaan Perlembagaan 1994, dedah tembelang kemelut di Selangor -

Ketika Umno anti Raja-raja Melayu suatu ketika dahulu, dan mahu kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dikurangkan, presidennya, Tun Mahathir Mohamad telah melakukan pindaan terhadap Perlembagaan dan kini tindakan memerangkap Umno sendiri.

Menegaskan perkara ini, pakar Perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Umno terlupa bahawa Perlembagaan telah dipinda oleh pentadbiran Mahathir pada 1994 apabila melalui pindaan itu mempertimbangkan "nasihat" hendaklah difaham sebagai "menerima nasihat".


Beliau berkata, Umno sebenarnya sudah lupa perlembagaan telah mereka pinda dan usaha untuk mensabotaj Kerajaan Selangor akan gagal kerana jalannya sudah ditutup oleh mereka sendiri dahulu.

Kata Aziz, isu penting dalam kontroversi pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor ialah cara perlantikan dan ini perlu ditangani dengan cara yang telah ditetapkan.

Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri Selangor jelas memperuntukkan bahawa Sultan diberi tanggung jawab melantik ahli ex-officio Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) termasuk Setiausaha Kerajaan, tegasnya.

Bagaimana pun, kata beliau, baginda Sultan diminta mempertimbangkan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan sebelum itu mempertimbangkan nasihat Menteri Besar.

Jelas Aziz, nasihat itu mesti dipatuhi oleh sultan.

Aziz berkata Kerajaan Selangor boleh membawa isu ini ke mahkamah untuk mendapat penjelasan, dan bila ditanya tentang kebebasan mahkamah beliau menegaskan itu soal lain.

"Apa yang penting ialah kita ada masalah; yakni pertikaian tentang siapa yang benar dan ini perlu diselesaikan melalui tafsiran undang-undang oleh mahkamah.

"Memang selama ini mahkamah sentiasa mengikut telunjuk Umno. Jadi kita nak tengok kali ini apa mahkamah nak buat. Ke mana hakim nak pergi", jelasnya.

Pensyarah kanan UIAM itu berkata, apa pun keputusan mahkamah Umno tetap dalam dilema dan malu.

Sekiranya mahkamah hendak menyebelahi Umno dalam isu SUK Selangor ini ia terpaksa mengisytiharkan bahawa Pindaan 1994 yang dibuat oleh pentadbiran Mahathir itu tidak sah, dan ini mempunyai kesan yang mendalam selain memalukan Umno sendiri khususnya Mahathir yang sekarang memainkan peranan penting dalam politik Umno, tegasnya.

Dengan kata lain untuk mempertahankan kedudukannya di Selangor, ujar Aziz, Umno perlu mengorbankan ego dan maruah Mahathir.
Ditanya mengenai upacara angkat sumpah SUK di depan Sultan Selangor beliau berkata ia tidak dikehendaki oleh Perlembagaan kerana ia menetapkan bahawa upacara itu perlu dibuat di depan Menteri Besar.

"Walau apa pun angkat sumpah soal kedua, ia tidak berguna sekiranya pelantikannya sudah tidak sah. Yang penting pelantikan itu mesti dibuat dengan betul; yakni mengikut ketetapan Perlembagaan," tegas beliau.

Dalam soal ini Kerajaan Persekutuan, melalui Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, telah melanggar Perlembagaan kerana mereka tidak ada peranan dan kuasa langsung dalam soal perlantikan SUK di Selangor dan negeri-negeri lain.

Kalau ada pun hanyalah bersifat pentadbiran dan ini perlu dibuat di dalam kerangka undang-undang yang begitu jelas sebagai mana yang dinyatakan tadi, ujarnya lagi.

Aziz juga mempersoalkan mengapa pelantikan SUK itu dibuat dengan tergesa-gesa.

"SUK tidak penting sangat. Lagipun penyandang yang ada boleh berkhidmat sehingga bulan Mac 2011. Mengapa dengan tiba-tiba beliau berhenti?

"Kalau itu tidak dapat dielakkan sekalipun, bukankah ada dua orang Timbalan SUK yang boleh memangku dan menjalankan kerja-kerja SUK?" soal beliau sambil menegaskan perlantikan itu boleh ditangguh dan tidak perlu dibuat dengan pantas.

Beliau menambah, perlembagaan negeri tidak menetapkan tempoh tertentu dan adalah tidak betul apabila Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato' Munir Bani menyalahkan kerajaan negeri yang didakwanya lambat menghantar calon untuk SUK.

Aziz mengimbau perletakan jawatan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 1997 selepas ditahan di Australia.

"Menteri Besar amat penting kerana beliau adalah tonggak kerajaan. Dalam kes Muhammad itu, Selangor ketika itu sebenarnya tidak ada kerajaan kerana apabila Menteri Besar meletakkan jawatan, semua Exco secara automatik juga meletakkan jawatan bersamanya.

Bagaimanapun Almarhum Sultan ketika itu menyerahkan kepada Mahathir untuk memberi calon baru dan ini mengambil masa beberapa bulan, ujar beliau.

Aziz mempersoalkan sekiranya Selangor boleh bergerak tanpa kerajaan selama beberapa bulan apalah sangat dengan SUK; apatah lagi apabila jawatan itu boleh dipangku oleh pegawai lain.
Baca Seterusnya......

Isnin, 3 Januari 2011

Ranjau Politik Sepanjang 2010

Oleh: Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Jumaat, 31hb. Disember, 2010 hari terakhir tahun 2010 dan penutup tirai sedekad pada berada pada alaf baru ini. Lebih menarik lagi, hari ini juga diistiharkan cuti umum oleh kerajaan Persekutuan ekoran pasukan bolasepak Harimau Malaya menjadi johan AFF Suzuki Cup 2010 buat julung kalinya.

Ketika selesai menghantar anak mendaftar di sekolah berhampiran kediaman, Mohd Sayuti Omar (MSO) Ketua Pengarang Siasah menghubungi saya bertanyakan pandangan berhubung dengan edisi terbaru Siasah (bil. 0246; 31 Dis 2010 -06 Jan 2011) dan mengundang menjadi kolumnis akhbar ini seperti sebelum ini.

Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada pembaca Siasah dan juga selamat bertemu semula kepada peminat kolum Kalam Perantau ini. Rasanya hampir 3 bulan saya tidak menulis untuk kolum ini menyebabkan ada rasa kekok untuk menulis semula bagi kolum ini.

Ranjau Politik Sepanjang 2010

Buat permulaan, rasanya ada baik saya mencatatkan sepintas lalu pergolakkan politik tanahair sepanjang tahun 2010 yang penuh penuh warna warni. Seawal 2hb. Januari, 2010 lagi ADUN Tanah Rata (Bebas), Pahang menyertai parti Gerakan setelah gagal untuk menyertai MCA. Kemudian Datuk Sallehuddin Hashim pula meletakkan jawatan Setiausaha Agung PKR pada 7hb. Januari, 2010 dan seterusnya keluar parti tersebut beberapa hari kemudian.

Belum pun reda kekalutan pengunduran Setiuasaha Agong PKR secara mengejut, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail pula melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi PKR Pahang tetapi kekal sebagai ahli parti tersebut dan juga tidak mengosongkan kerusi parlimen Indera Mahkota.

Kekalutan dalam PKR berterusan bila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengumumkan keluar PKR dan meletak semua jawatan dalam parti berkenaan untuk menjadi Wakil Rakyat (Bebas) pada 12hb. Februari, 2010. Turut menyertai Zahrain menjadi Ahli Parlimen (Bebas) adalah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang Tan Tee Beng (1 Mac, 2010), Ahli Parlimen Bagan Serai, Perak, Mohsin Fadhil Samsuri (3 Mac, 2010), Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin (dipecat PKR; 6hb. Mac, 2010) dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan (14hb. Mei, 2010) bagi membentuk Kaukus Ahli Parlimen Bebas menyokong BN.

Tamparan kepada PKR menjadi lebih parah lagi bila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin keluar PKR untuk sertai Umno pada 28hb. Februari, 2010. Turut menyertai UMNO adalah ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah selepas lima (5) bulan keluar PKR dan menjadi Wakil Rakyat (Bebas) pro BN Selangor.

Begitu juga dengan bekas calon PKR diHulu Selangor, Dr. Halili Rahmat keluar PKR dan menyertai UMNO pada 19hb. April, 2010 menjelang pilihanraya kecil Hulu Selangor yang diadakan ekoran kematian Ahli Parlimen (PKR), Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia pada 25hb. Mac, 2010. PKR tewas dalam mempertahankan kerusi tersebut kepada calon BN (MIC) P. Kamalanathan.

Kegembiraan BN merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor tidak kekal lama bila calon DAP, Wong Ho Leng pula merampas kerusi Parlimen Sibu dari BN (SUPP) dalam satu pilihanraya kecil yang diadakan pada 16hb. Mei, 2010 ekoran kematian penyandang Datuk Robert Lau, Timbalan Menteri Pengangkutan.

Kegembiraan DAP tidak kekal lama bila parti tersebut juga turut kehilangan ADUN Malim Nawar, Perak Keshvinder Singh setelah beliau meletakkan semua jawatan dalam parti dan keluar DAP pada 15hb. Jun, 2010.

Begitu juga dengan PAS turut menghadapi kemuraman pada tahun 2010 bila calonnya Dr. Zulkifli Mohamad gagal mempertahankan kerusi DUN Galas kepada musuh tradisinya UMNO/BN pada pilihanraya kecil yang diadakan pada 4hb. November lalu.

Dalam satu lagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah pada hari yang sama, calon BN (PBS) Datin Linda Tsen menang mengalahkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan calon PKR Ansari Abdullah.

Selain kemelut dalaman parti-parti Pakatan Rakyat, parti komponen BN juga tidak sunyi dari kontroversi perebutan kuasa. Selain UMNO yang tak pernah sunyi dengan kemelut dalaman, beberapa parti komponen BN lain juga menghadapi kemelut yang berpanjangan terutama MCA, MIC, PPP dan Gerakan.

Kemelut MCA yang berpecah kepada 3 kumpulan dilihat berkahir setelah Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada bulan Oktober 2010 dimenangi oleh Chua Soi Lek, Timbalan Presiden yang bertanding kerusi Presiden mengalahkan dua bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat (penyandang) dan Ong Ka Ting (mantan Presiden). Kemenangan Chua Soi Lek mengakibatkan, Ketua Wanita MCA melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

Krisis MIC memuncak bila Setiusaha Agung MIC, S Murugesan dipecat dari jawatannya dimana bekas Timbalan ketua Pemuda MIC, V. Mugelan melancarkan Gerakan Anti Samy (GAS) yang berakhir persaraan Samy pada akhirnya letak jawatan pada 6hb. Disember, 2010 setelah 31 tahun memimpin parti tersebut.

Kemelut parti PPP berakhir setelah Murugiah, Timbalan Menteri yang mendakwa turut menjadi Presiden parti berkenaan akhirnya keluar parti tersebut dan menyertai MIC. Kemelut dalam parti Gerakan menyebabkan bekas presiden, Lim Kheng Yeik mengambil tindakan melepaskan jawatan Penasihat Gerakan menjelang Mesyuarat Agung parti berkenaan pada bulan Oktober, 2010.

Selain itu, parti-parti yang berpangkalan di Sabah dan Sarawak juga tidak sunyi dari pergolakan. Bekas naib Presiden Parti Demokratik (LDP), Yun Fah telah berhijrah kepada parti Gerakan pada 14hb. Jun, 2010. Ianya diikuti oleh seorang lagi Naib Presiden LDP, Peter Phang yang turut menyertai Gerakan pada 1hb. September, 2010.

Di Sarawak pula, bekas ADUN Engkili, Teoh Heng Sang keluar dari parti SUPP pada 2hb. November, 2010. Sebelum itu UMNO turut kehilangan seorang pengasasnya di Sabah, Karim Ghani yang mengumum keluar parti tersebut pada 18hb. Oktober, 2010.

Datuk Zaid Ibrahim bekas calon PKR Hulu Selangor yang bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR turut meletakkan semua jawatan dalam PKR dan keluar PKR pada 16hb. Disember, 2010 dan kemudiannya menyertai parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan mengubahnya kepada parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) setelah mengambilalih parti AKIM dari kepimpinan terdahulu dalam satu Mesyuarat Agong Luar Biasa.

Sebelum mengakhiri tahun 2010, PR berjaya menganjurkan konvensyen ke-2 di Kepala Batas, Pulau Pinang dengan tema, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia. Sebelum itu, pada 5hb. Disember, 2010, BN turut mengadakan konvensyen BN di Wisma MCA, Kuala Lumpur untuk menerima keahlian bersekutu BN, tanpa menyertai mana-mana parti komponen.

http://kalamperantau.wordpress.com/



Baca Seterusnya......

Jumaat, 17 Disember 2010

Jangan Berpihak Kepada Sesiapa- Speaker DUN Kedah

SHAH ALAM 17 DIS : Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah(DUN), Datuk Dr Abdul Isa Ismail percaya tanggungjawab yang dipikul oleh seorang Speaker adalah berat.

Namun, sikap utama yang harus ada pada pemegang amanah itu ialah kesabaran yang tinggi dan tidak berpihak kepada sesiapa.

"Kalau sikap kita sebagai Speaker dipertikai, sikap kita dipandang serong, maka sukarlah untuk kita untuk mengendalikan persidangan-persidangan dalam suasana yang baik," ujar Isa, mengulas persidangan Dewan Rakyat yang berantakan semalam.

Dewan menjadi kecoh apabila Speaker Dewan Rakyat enggan menarik diri dari mempengerusikan Dewan kerana dikatakan tidak adil apabila Speaker juga terlibat dalam Jawatakuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang menghukum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa keperluan membela diri dalam isu Apco.

Akibat itu Speaker meluluskan usul menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Menurut Isa, Dewan Rakyat dan DUN merupakan tempat amalan demokrasi disuburkan.

Justeru penting untuk nakhodanya bersikap sabar dalam mengemudi bahtera agar selamat tiba ke destinasi yang dituju.

"Speaker haruslah lebih bersikap sabar. Itu yang pertama. Dan yang kedua, dia perlu dilihat tidak memihak kepada mana-mana," jelas Isa.

Menurut Isa lagi, amalan demokrasi di Parlimen kelihatan dipinggirkan apabila usul untuk menggantung tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat itu dibawa tanpa sebarang notis.

Ia sekaligus katanya, mencalarkan imej institusi yang sewajarnya mengaplikasikan prinsip keadilan asasi apabila mereka yang diusul untuk digantung, berhak membela diri.

"Setiap usul mesti ada tempoh kecuali usul tergempar itu hanya perlu diberitahu kepada Speaker sebelum mula dewan.

"Saya nampak dalam banyak hal, kadang-kadang kita dapat melihat Speaker tidak menunjukkan kesabaran yang tinggi.

"Sebaik-baiknya benda (usul) itu eloklah dibahaskan. Apa salahnya. Lebih-lebih lagi kalau usul yang dibawa itu usul-usul yang menyentuh perkara hak asasi dan menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan kebebasan dan hal-hal yang menyentuh tentang prinsip demokrasi. Jadi saya rasa eloklah dibahaskan," jelas Isa lagi.

Semalam menyaksikan sejarah baru dalam pentadbiran negara dicatatkan apabila empat ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung selama enam bulan dari Dewan Rakyat.

Paling tragis, keempat-empat mereka tidak diberikan hak dan ruang untuk membela diri dan Speaker yang mengendalikan persidangan menyalahgunakan kuasa apabila meluluskan usul penggantungan tanpa dibahaskan.
Baca Seterusnya......

Naik harga barang, BN gali kubur sendiri

Oleh MOHD ALHADI ZAINUN

Akhir-akhir ini kita lihat pelbagai provokasi dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai fitnah dilemparkan melalui saluran media massa kepada Pakatan Rakyat.

Saban hari semakin kuat pula pukulan gendang BN dipalu dengan memutar-belitkan fakta untuk menyakinkan rakyat supaya menyampah kepada Pakatan Rakyat dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kuasa BN. BN memang terlalu naif dalam mengenal erti perjuangan dan kesilapan lalu

Padah dulu dengan tersungkurnya lima negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat adalah kerana akibat sifat durjana BN yang selalu berat sebelah.

Penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan, dilihat signal jelas PRU-13 akan menjelang tidak lama lagi. Kenaikan harga air, minyak dan gula pula dilihat sebagai BN menggali kubur sendiri.
Baca Seterusnya......

Isnin, 6 Disember 2010

PRU 13:Selagi Dana Politik Umno Belum Terisi

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Tarikh pilihan raya umum akan datang, menurut seorang teman, tidak perlu didebatkan. Memang selamanya, selagi sistem sedia ada dikekalkan, ia menjadi kelebihan buat parti pemerintah, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Dan prosedur itu sebenarnya tidaklah sangat mencacatkan proses demokrasi, malah dalam keadaan tertentu boleh menguntungkan rakyat. Hayat sesebuah kerajaan boleh dipendekkan tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu.


"Yang penting, parti-parti politik harus sentiasa mengkoreksi diri, menilai prestasi, mengambil berat persepsi pengundi. Dan sebaik-baiknya, terutama ketika penggal pemerintahan sudah melewati separuh masa kedua, lakukanlah kajian separuh penggal.

"Jangan remehkan kritikan pesaing, ambil berat rasa tak puas hati rakyat walaupun dalam isu yang nampak kecil, dan cuba selesaikan," tambahnya, mengulas kolum saya sebelum ini.

"Usah lupa menghidu dan mengesan strategi licik-jahat Umno, yang akan mengerah dan mengeksploitasi apa juga sumber dan kemudahan kerajaan. Taktik lama memperalatkan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak mustahil akan digunakan kembali, mungkin dalam pendekatan berbeda," tegasnya, dengan nada serius dan bersungguh-sungguh.

Beliau ternyata risau jika pengalaman lampau, terutama membabitkan senarai daftar pemilih, yang memeritkan pembangkang tidak diambil iktibar.

Rakan saya itu, bekas wartawan berpengalaman, sempat menegur: "Masih ada pemimpin Pakatan Rakyat, malah yang bertaraf ahli Parlimen mahupun Adun, apatah lagi di peringkat ketua kawasan atau bahagian parti, seperti bermentaliti pembangkang lagi. Pembabitan mereka dalam komuniti setempat kurang menonjol. Ada yang semacam malu-malu lagi untuk ke depan menggerakkan masyarakat."

Membicarakan hal sama, seorang lagi kawan, yang mempunyai hubungan rapat dengan kelompok Umno Selangor, menelefon saya: "Aku yakin, Najib Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Dana atau tabung Umno masih kosong. Belum diisi secukupnya bagi membeli undi rakyat. Mereka perlu masa lebih panjang untuk lancar projek besar dan raih wang panas."

"Mudah saja," katanya, "Umno-BN perlukan duit sehingga ribuan juta ringgit untuk gerakkan jentera kempennya. Duit itu ada dalam projek-projek kerajaan yang kosnya sengaja ditinggikan berkali ganda."

"Bukankah sekarang banyak projek dibuat secara tender terbuka?" pintas saya, nampak sangat macam soalan bodoh.

"Bila pula Najib jadi bodoh macam tu? Semenjak zaman Pak Lah, yang janjikan ketelusan itu pun, banyak projek mega diuruskan secara rundingan terus. Lutfi, bukankah kau juga yang selalu sebut, Umno dan rasuah itu kembar siam yang tak boleh dipisahkan? Hang masih ingat kes Hasbie Satar, bekas Setiausaha Politik Tan Sri Nor Mohamed Yackob? Masa SPRM serbu pangsapuri dia di Butterworth, ada wang tunai lebih RM2 juta," jawabnya lancar.

"Itu kes kecil yang kebetulan terbongkar. Banyak lagi duit politik Umno yang terkumpul secara senyap dan diuruskan dengan begitu sistematik, tetapi tidak pernah dikesan," tambah beliau, sambil berjanji akan menjelaskan modus operandinya kepada saya.

"Kau tahu, kebanyakan dana politik Umno ini diuruskan secara rasmi, bukan lagi
di bawah meja? Malah dalam proses rundingan tender dan penentuan harga, peruntukan untuk dana politik Umno ini disebut secara jelas!" sambungnya.

Pakatan Rakyat, meskipun turut menguasai sumber dan kemudahan di empat negeri, tentunya tidak bersedia terjebak dalam perangkap politik wang yang terbukti telah menjerumuskan Umno-BN selama ini.

Rasuah politik jika sudah dimulakan pasti tidak akan menemui titik nokhtahnya. Ia terkepung dalam "lingkaran syaitan", wabaknya segera berjangkit dan boleh menikam diri.

Dipercayai majoriti rakyat tidak mudah lagi tersilau dengan umpan murahan itu. Tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Najib Razak, seperti terkejut mengapa bantuan kerajaan pusat yang dihulurkan kepada golongan tidak berkemampuan jarang dihargai sedangkan pakej bantuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lebih kecil nilainya sering disebut-sebut.

Najib dan pemimpin BN tidak perlu pening kepala mencari jawapannya. Kunci kata adalah keikhlasan dan ketelusan. Bersainglah secara sihat untuk menabur bakti dan jangan rendahkan daya intelektual rakyat.

Saya sukar melupakan dialog seorang pemandu teksi warga emas, dalam perjalanan mendapatkan rawatan susulan di HUKM, Cheras. "Pilihan raya akan datang, jangan sokong BN tau! Mereka rampas duit kita RM1,000, tapi dia derma hanya RM10 dan sembang kuat untuk beritahu semua orang," ujarnya, dalam nada sedikit lucu tetapi jelas bukan bergurau.

Selang beberapa minggu kemudian, pemandu teksi lain turut berkongsi idea yang hampir sama!

Rakyat dapat memahami bagaimana sesebuah kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dilihat gagal menjalankan tugas memenuhi amanah dengan lebih efektif kerana kekangan yang dikenakan kerajaan pusat, terutama dari segi peruntukan kewangan dan projek pembangunan.

Konsep federalisme memang menggariskan dengan jelas dalam Perlembagaan tentang senarai negeri dan pusat, namun ada sebahagiannya tidak dihormati pemimpin kerajaan pusat, atau dilaksanakan secara tidak adil kepada negeri yang diperintah Pakatan.

Namun demikian, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan usaha berterusan mengotakan janji seperti diungkapkan dalam manifesto pilihan raya. Wakil rakyat bersama pemimpin parti mesti bersikap proaktif di tengah masyarakat, menjadi penggerak di medan depan.

Rakyat mahu melihat perbedaan dan nasib mereka dibela. Mereka sudah muak dan jelak dengan stail kehidupan majoriti YB Umno-BN. Elemen politik baru perlu dipraktikkan.

Gaya politik baru yang muncul pada 1999 dan menyerlah ketika pilihan raya umum ke-12 bukan lagi fenomena sementara atau sekadar bermusim. Ia semakin merata dan mula menyelinap ke segala pelosok tanahair.

Peningkatan tahap pendidikan dan perkembangan teknologi maklumat, terutama dengan pembudayaan ruang siber di kalangan masyarakat, telah mempercepatkan lagi proses pendemokrasian dan kematangan berpolitik rakyatnya, termasuk di negara kita.

Terdapat pengkaji yang melihat gaya politik baru ini "tenggelam dan timbul" dalam tiga pilihan raya umum terdekat, iaitu muncul pada 1999, tenggelam pada 2004 dan kembali timbul pada 2008.

Justeru, ada yang bimbang, dalam pilihan raya seterusnya ia akan tenggelam semula. Mungkin gaya lama yang sarat dengan sentimen perkauman, politik adu-domba, retorik "keselamatan dan pembangunan" dominan kembali?

Soalnya, apakah aktivis dan penggerak Pakatan Rakyat hanya menunggu "nasib baik" dalam pusingan seterusnya itu, tanpa berusaha keras dan tersusun bagi mempengaruhi budaya politik masyarakat Malaysia?

Ini berikutan budaya dan tradisi masyarakat bukanlah sesuatu yang bersifat tegar, sebaliknya ia adalah lebih bersifat fleksibel iaitu ia boleh dicipta, diubahsuai, diubahsuai semula dan malah boleh dihapuskan.

Menurut Kamus Sains Politik (DBP), istilah budaya politik ditakrifkan sebagai: "Sifat dan oreintasi politik yang diamalkan dalam sesebuah negara yang mengandungi elemen seperti kepercayaan, simbol dan sistem nilai. Semua tindakan politik dalam masyarakat berasaskan kepada elemen ini. Budaya politik juga boleh mengalami perubahan melalui proses sosialisasi, tetapi mengambil masa yang panjang."

Manakala ada sarjana yang mendefinisikan sosialisasi politik sebagai cara atau kaedah kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan. Ia suatu proses yang berterusan, bermula apabila masyarakat belajar mengenai politik dan kerajaan dengan melalui putaran hidup, bermula dengan zaman kanak-kanak, dewasa dan zaman tua.

Proses sosialisasi politik dicorakkan oleh peranan keluarga dan juga masyarakat dari pelbagai status dan kelas, selain alam pendidikan yang mempunyai impak besar. Kuasa baru dalam dunia sosialisasi politik ialah media alternatif atau ruang siber. Ia seterusnya mencetuskan ruang awam yang membuka laluan kepada perdebatan sihat tanpa saringan yang mengongkong. Media tradisi sudah kehilangan sengatnya. Kawalan maklumat tidak berkesan lagi.

Saya mahu menekankan bahawa persaingan politik dan gerakan mengembangkan pengaruh semakin terbuka di negara ini. Sepatutnya tiada pihak yang berasa rendah diri dan tertinggal jauh di belakang.

Fenomena BN menang percuma sebelum bertanding sudah berlalu. "Padang permainan" menjadi semakin rata. Meskipun proses pilihan raya masih tempang dan perlu dilakukan perubahan menyeluruh melalui tuntutan lebih agresif, namun penguasaan BN tidak sekebal mana. Sentimen perkauman bukan lagi senjata ajaib untuk menumpaskan pembangkang.

Terpulang kepada setiap "peserta" untuk melakukan persiapan sebaiknya. Jika ada masalah menghimpit, pasti tersedia jalan keluar. Yang penting adalah daya kreatif dan tekun mencari formula penyelesaian.

Harus diingat, propaganda keterlaluan media yang memperbodohkan audien, seperti terbukti menimpa BN pada 2008, hanya memakan tuan. Promosi berlebihan, yang cuba menutup salahlaku dan penyelewengan, boleh menimbulkan dampak negatif.

Namun begitu, media baru masih terbatas jangkauannya, lagipun ia bukan lagi monopoli golongan "reformasi". Mendemokrasikan maklumat perlu melalui pelbagai kaedah yang inovatif. Amat malang jika segalanya tersangkut dan terbantut pada sistem penyampaian yang bercelaru dan tidak efisyen. Dengan itu persepsi rakyat terus gagal untuk diperbetulkan.

Tidak seperti jentera Umno-BN yang cukup bergantung kepada wang, sehingga Najib tidak akan mencadangkan pembubaran Parlimen selagi dana politik belum terisi sepenuhnya, bagaimanapun bagi Pakatan, tanpa peruntukan yang memadai, ia juga boleh merencatkan laluan ke Putrajaya.

Misi menggantikan sebuah kerajaan yang bertapak lebih 50 tahun - apatah lagi dalam kedudukan yang hegemonik seperti BN - menuntut persiapan serapinya. Pengalaman perit memerintah beberapa kerajaan negeri, yang sentiasa ditindas kerajaan pusat, sudah cukup untuk menggerakkan persediaan itu.

Yang lebih diharapkan ialah perubahan pada sikap, mentaliti, tanggapan dan budaya politik setiap pendokong Pakatan bagi memikul tanggungjawab lebih besar menjelang pilihan raya umum akan datang.

Baca Seterusnya......

Pengikut