Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Jumaat, 16 Julai 2010

Ambil wang rakyat untuk bayar APCO - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan tindakan menaikkan harga barangan termasuk petrol seolah-olah Perdana Menteri sanggup mengambil wang rakyat untuk membayar bil APCO bagi memulihkan imej beliau.

"Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU)," kata Anwar.

Beliau mengulas kenaikan pelbagai jenis barangan mulai hari ini berikutan penarikan balik subsidi untuk rakyat oleh kerajaan.

Anwar mengecam tindakan itu kerana walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, namun pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu.

Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia.

Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam kenyataan bertulis yang dikeluarnya hari ini.

Bagi beliau, tindakan ini dibuat kerana Datuk Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat, katanya.

Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.

Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan.

Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Bagi Anwar, bekas Menteri Kewangan itu, sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional.

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010.

Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, katanya, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

"Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera," tegas beliau.

"Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan.

Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga,tambah Anwar.

"Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat.

"Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat," katanya.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat.

Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

"Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata," katanya.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Sehubungan itu Anwar menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni, tegasnya.

Baca Seterusnya......

Umno sentiasa sibuk minta tolong PAS

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 tidak pernah meminta pertolongan Umno, tetapi sebaliknya Umno sentiasa sibuk meminta pertolongan dari PAS.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas dakwaan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan kritikal terutama dalam usaha meraih undi Melayu dan sokongan bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sehingga terpaksa mempelawa PAS menyertai Umno walau pun pada satu pihak menuduh PAS sesat.

“Kelemahan yang berlaku dalam Umno kini adalah masalah dalaman parti itu, tetapi kenapa dicampur dengan PAS. Kalau dia lemah, maka lemahlah, itu kelemahan dia.

“PAS ni sejak diwujudkan pada 1951 lagi tidak pernah meminta pertolongan Umno (tetapi sebaliknya), Umno duk sibuk nak minta tolong dengan PAS,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi ini.

Ditanya mengenai penafian Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa tercetus semula isu usaha kerjasama Umno dan PAS menunjukkan Umno kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa menjalin kerjasama dengan PAS, beliau berkata, “itu terserah kepada dia”.

Bagaimana pun beliau memberi kesanggupan untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mana-mana platform termasuk di luar Kelantan sekiranya beliau berada dalam keadaan sihat.

“Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.

“Saya bagi tahu dah, kalau hendak berjumpa dengan saya hendak berunding persoalan PAS dengan Umno, tidak boleh sama sekali. Ini kerana barang yang sudah pun selesai. Sepuluh tahun lalu, dah selesai.

“Itu keputusan parti, bukan keputusan saya, tetapi kalau hendak berunding benda lain, petroleum atau masalah apa saja, boleh,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa isu ‘perpaduan Islam’ tidak boleh dirundingkan, terutama apabila Umno menolak Islam dan mengambil ‘kebangsaan’.

Oleh itu, tegasnya, Umno perlu menukar ‘kebangsaan’ itu kepada ‘Islam’ dan akan boleh menyesaikan persoalan tanpa rundingan.

“Islam adalah ‘pasport’ untuk ke syurga, ‘Melayu’ tidak boleh ke syurga.

“Usahkan Melayu, bahkan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, Abu Lahab, seperti firman Allah (dalam Surah Al-Masad, ayat 1-6) binasa.

“Sedangkan Abu Lahab itu bapa saudara Nabi sendiri, orang Arab dan baka Quraisy, tok syed, tetapi rekod nama dia digazet dalam Al-Quran sebagai ahli neraka. Oleh itu, usahkan Melayu, bangsa Arab pun tidak boleh,” katanya.
Baca Seterusnya......

Protes rancang turun ke jalan raya

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak menolak kemungkinan akan mengajak rakyat ke turun ke jalan raya ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) mulai tengah malam tadi.

Penyelaras Protes, Dr. Mohd Hatta Ramli ketika memberitahu perkara itu berkata, tindakan itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada meyuarat Protes yang dijadualkan Ahad ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan turun ke jalan raya dalam masa terdekat. Pengalaman kita yang lepas bila rakyat tunjukkan kemarahan, baru kerajaan sedar dan akur dengan kesusahan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai ketika dihubungi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen manakala RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Menurut Najib, dengan kenaikan yang didakwa sebagai 'penyelarasan harga' tersebut, kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM750 juta perbelanjaan negara tahun ini.

Namun bagi Protes, strategi kerajaan itu akan terus membebankan rakyat biarpun kerajaan mendakwa kenaikan itu kecil dan tidak membebankan.

Menurut Hatta lagi, kenaikan tersebut mencerminkan bahawa senario ekonomi negara gagal dipulihkan seperti yang dicanangkan Najib melalui Dasar Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini.

"Kononnya akan tumbuh 6 peratus, tetapi kenaikan ini tentunya memberi jawapan sebaliknya," ujar beliau yang juga Bendahari PAS Pusat.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

"RM570 juta (subsidi) mahu diselamatkan, sedangkan kerajaan sanggup berpelanja lebih 800 juta untuk buat istana negara yang baru," ujarnya lagi sambil menganggap bahawa fizikal istana negara yang sedia ada masih dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, katanya lagi, tindakan yang dianggap bijak oleh Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I itu bakal meninggalkan kesan berantai pada rakyat.

"Najib mungkin anggap langkah itu bijak dan menguntungkan kerajaan, sedangkan kenaikan harga barang-barang ini sudah tentu memberi kesan berantai (seperti) inflasi dan kos hidup melambong naik," tegasnya lagi.

Mengulas dakwaan kerajaan bahawa pemotongan subsidi ini bagi menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia, Hatta berkata ianya sangat tidak wajar kerana Klinik 1Malaysia bersifat program politik Umno BN.

Semalam, Najib di depan perwakilan Umno Kedah menegaskan bahawa kenaikan harga barang-barang keperluan rakyat itu sebagai langkah mengurangkan subsidi yang selama ini ditanggung kerajaan.

Namun, beliau tidak pula menjelaskan langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu rasuah, ketirisan serta pembaziran dalam urus tadbir kewangan negara yang sebelum ini dipercayai umum lebih besar dari angka RM570 juta subsidi yang telahpun dirampas balik daripada rakyat.
Baca Seterusnya......

Diari Sasau Seorang Yb (1)

Oleh Azizi Abdullah

Sungguh-sungguh saya tidak dapat bayangkan sekiranyalah saya ini seorang YB yang telah melompat parti menjadi calon bebas, lalu hendak turun ke kawasan menemui pengundi saya.

Apa mukadimahnya hendak saya berkata jika saya bertemu dengan pengundi saya, sama ada di kedai kopi atau di masjid atau di dewan. Takkan saya akan bertemu pengundi hanya ketika Pak Husin balik dari menoreh? Takkan saya nak temui Mak Minah yang sedang cari ubi kayu di belukar? Takkan saya nak bertemu Husin yang sedang jual air tebu?

Tiga bulan dulu ada saya telefon menyampaikan hasrat kepada Seman, JKK parti dulu. Seman terkejut dan berkata:

“YB jangan balik!”
“Kenapa?”
“Saya dengan khabar, ada dua tiga orang nak cempung campak ke dalam parit kalau YB balik!”

Memang pun patut mereka buat macam itu kepada saya. Saya sedar saya memang celakakan diri. Tapi haram jadah punya tawaran, menyebabkan saya naik mabuk kepayang. Cup-cup, habuk pun tarak.

“Kalau saya tak balik, apa sudahnya dengan pengundi saya. Itu kawasan saya. Saya masih jadi YB mereka,” saya berkata kepada Seman.

“Siapa kata YB mereka? Dulu mereka pilih bukan YB, mereka pilih calon parti.”

Seman seorang pekerja saya yang suka bertegang leher. Saya diam begitu saja. Akhirnya saya minta pandangannya, apa cara saya mesti buktikan saya ini YB kawasan itu?

Maka Seman pun cepat menjawab: “Senang saja. Kan sekarang ada blog, ada Facebook. Gunakan itu saja. Satu dunia tahu yang YB cergas!”

Sungguh, mengapa saya tidak pernah terfikir tentang ini. Bukankah ‘blog’ satu-satunya medium yang sangat berkesan. Saya boleh pembohong dan saya boleh berdusta. Dunia pasti tahu walaupun di kawasan saya pengundi meludah atau pun maki-maki.

Membina blog tidaklah sukar. Upah RM100, tiga jam siaplah. Gambar di logo saya masukkan saya dengan seekur kambing besar. Saya simbolkan, saya YB dan kambing adalah pengundi.

Pertama kali saya menulis menceritakan saya berada di Moscow. Saya siar gambar untuk memberitahu pengundi bahawa inilah YB kamu. YB kamu bukan sekadar pegi melawat kolam ikan keli tapi ke Moscow.

Tapi pengundi saya sebenarnya tak tahu. Saya yang terpilih itu pun jenuh saya gabus pungkur mereka, saya cium tangan mereka, saya jilat jubur mereka dan saya menangis beritahu saya menyesal.

Esok saya keluar menyataan hentam ketua parti saya dulu. Lusa saya dapat tiket percuma melancong ke Moscow.

Balik dari Moscow saya tulis isu umat Islam sudah nipis iman dan akidah. Untuk membuktikan saya kuat sokong Islam, saya beritahu saya sudah membuat wakaf sepuluh buah ‘muqaddam’ kepada sepuluh orang yang buta qur`an berusia 65 tahun.

Tiba-tiba meletup pula pasal kerajaan nak beri lesen judi kepada satu syarikat. Saya naik pening. Mana boleh saya bantah walaupun itu perkara benar. Tapi mujurlah dalam masa yang sama timbul isu ketua parti saya dulu keluar negara. Sayapun tulis berulang kali hentam sungguh-sungguh untuk menunjukakan saya tidak setuju. Mana tahu lain kali dapat pula sponsor ke Afrika Selatan untuk Piala Dunia.

Bagaimana pun saya sebenarnya diserang fobia. Saya sebenarnya sangat tidak tenteram. Bukan kerana saya kesal lompat parti dan jadi bebas tetapi saya fobia tentang pengundi kawasan saya. Saya sepatutnya isytihar keluar parti dan sekaligus terus letak jawatan YB. Ini yang sewajarnya. Tapi apakan daya. Masakan saya boleh lepas elaun dan taitel YB begitu saja. Ini kerja bodoh. Bukan senang nak dapat jadi YB.

Saya berazam mahu mempertahankan sebutan YB ini untuk penggal ini saja. Penggal akan datang saya tidak ada peluang lagi. Saya sedar Umno pun tak akan mahukan saya. Kalau mahu pun saya akan jadi kuda tua. Nak masuk balik parti asal, weekkkk, muntah hijau pun mereka tak terima. Nak masuk Pas, itulah…Pas pun macam cerdik pelanduk. Saya telah ‘test’ dua tiga kali. Saya puji Pas, saya puji Tok Guru tapi Pas nampaknya buat dono saja.

Saya memang menyesalkan. Rupa-rupanya barulah saya sedar, orang macam saya berlambak-lambak tak berguna.

Atas asas agama yang ada pada saya, bulan Ramadan ini mahu rasanya saya kembali ke kawasan, mahu memohon maaf. Saya sedar saya sangat bersalah kepada pengundi, kepada pekerja dulu. Saya banyak berhutang: berhutang wang dan berhutang budi, berhutang tenaga. Dengan apa saya hendak membalasnya, melainkan dengan memohon maaf.

Mahukah mereka terima saya? Inilah persoalannya.

Saya cuba memejam mata dan cuba membayangkan: saya ke warung tepi sungai. Saya sua tangan nak bersalam, tak seorang pun sambut. Saya semawa ramai-ramai minum kopi, tak seorang pun datang.

Saya singgah di masjid, saya pura-pura ke saf depan. Tapi tak ada siapa pun yang tolak jadi imam. Kalau dulu, sila Yb, sila YB, sila YB.

Selepas solat, saya minta sepuluh minit nak beri tazkirah, betapa pentingnya umat Islam bersatu menentang Zionis. Tapi tiga empat orang batuk-batuk dan terkam keluar buang kahak.

Waahhh, rupa-rupanya pengundi saya sudah pandai berfikitr. Mereka rupanya bukan lagi pak turut.

Taka apa…tak apa…khabarnya pilihanraya bulan September ini. Kalau cepat lagi bagus. Akan cepatlah hilang kemaluan saya dan akan cepatlah terpadam taitel YB yang sangat menggelisahkan saya. Saya sekarang malu nak balik kawasan. Khabarnya kawan-kawansaya pun, sudah jadi macam ayam berak kapur.
Baca Seterusnya......

Kenapa zalimi akhbar alternatif?

Oleh Mohd Rashidi Hasan

Sejak akhir-akhir ini akhbar-akhbar alternatif, kembali menjadi sasaran tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di atas dakwaan melanggar syarat-syarat permit penerbitan.

Terbaru akhbar Suara Keadilan (SK) milik Parti KeADILan Rakyat, digantung permitnya kerana menyentuh isu sensitif berkaitan Felda yang didakwa mereka sudah bangkrap.

Jelasnya isu berkaitan Felda adalah isu yang amat sensitif. Ia menaikkan kemarahan Umno-Barisan Nasional kerana Felda begitu sinonim dengan perjuangan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menyentuh isu-isu berkaitan Felda, seolah-olahnya dilihat sebagai menyentuh keperibadian Najib.

Persoalannya di sini, atas apakah justifikasi tindakan KDN sehingga menggantung permit SK, hanya kerana membuat laporan mengenai Felda?

Atas apakah justifikasi dari sudut keselamatan negara, mahupun ketenteraman awam, bahawa isu Felda ini akan menggugat keamanan negara?

Yang dipersoalkan oleh SK dan akhbar alternatif seperti Harakah, adalah pendedahan soal penyelewengan, salah gunakuasa dan salah urus Felda oleh pemerintah.

Jika sekiranya SK ataupun Harakah membuat laporan dengan fakta yang tidak tepat, KDN boleh menegur dan memberi amaran.

Jika sekiranya Felda merasakan mereka menjadi mangsa fitnah, mereka boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Felda dan kerajaan Umno-BN tidak langsung menjawab segala dakwaan dan fakta-fakta yang dikemukakan.

Sebaliknya mereka membuat tindakan yang tidak realistik dengan menyerbu pejabat SK, mengambil tindakan keras terhadap SK dan menggunakan kuasa kerajaan untuk menggantung penerbitan SK.

Isunya di sini bukan soal SK sahaja. Isu yang besar adalah soal kebebasan media. Mengapa Umno-BN begitu takut dengan akhbar alternatif, sedangkan mereka mempunyai begitu banyak akhbar arus perdana yang menyokong?

Hanya dua tiga akhbar tabloid sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat. Itu pun secara berkala, bukan harian.

Umno-BN menguasai media elektronik dengan siaran 24 jam sehari dan mempunyai media cetak yang diterbitkan setiap hari.

Media-media pro Umno-BN ini, setiap hari ada sahaja bahan yang dipaparkan buat mengkritik, menghentam dan berusaha memporak perandakan Pakatan Rakyat serta kerajaan negeri pimpinannya.

Tidakkanlah puluhan media pro Umno-BN ini, tidak mampu berhadapan dengan hanya dua tiga akhbar tabloid yang kecil, yang jualannya amat terhad?

Jika hendak dipertikaikan soal sensitiviti isu dan provokasi, begitu banyak media pro Umno-BN yang melanggar syarat permit kerana membawa isu rasis yang boleh menggugat keselamatan negara.

Jelas di sini kerajaan tidak adil. KDN jangan sesekali mengambil tindakan yang berat sebelah.

Mereka seolah-olah tidak tahu membezakan antara isu yang menggugat kestabilan Umno-BN dengan isu yang mengancam keselamatan negara.

Dalam keadaan Umno-BN yang terdesak dengan pelbagai isu dalaman dan luaran yang memungkinkan mereka tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, langkah menekan akhbar alternatif merupakan suatu langkah yang tidak bijak.

Langkah ini hanya akan merosakkan sistem demokrasi dan mencalarkan kemurnian amalan demokrasi dalam negara.

Demokrasi yang sebenar adalah dengan memberi ruang sepenuhnya kepada rakyat untuk bersuara, dan pihak yang berkuasa mempunyai peluang untuk memperbetulkan segala tanggapan secara terbuka.

Menutup pintu demokrasi, hanya akan mempercepatkan jalan Umno-BN untuk bersemadi di muzium.

Baca Seterusnya......

Pengikut