Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Jumaat, 16 Julai 2010

Diari Sasau Seorang Yb (1)

Oleh Azizi Abdullah

Sungguh-sungguh saya tidak dapat bayangkan sekiranyalah saya ini seorang YB yang telah melompat parti menjadi calon bebas, lalu hendak turun ke kawasan menemui pengundi saya.

Apa mukadimahnya hendak saya berkata jika saya bertemu dengan pengundi saya, sama ada di kedai kopi atau di masjid atau di dewan. Takkan saya akan bertemu pengundi hanya ketika Pak Husin balik dari menoreh? Takkan saya nak temui Mak Minah yang sedang cari ubi kayu di belukar? Takkan saya nak bertemu Husin yang sedang jual air tebu?

Tiga bulan dulu ada saya telefon menyampaikan hasrat kepada Seman, JKK parti dulu. Seman terkejut dan berkata:

“YB jangan balik!”
“Kenapa?”
“Saya dengan khabar, ada dua tiga orang nak cempung campak ke dalam parit kalau YB balik!”

Memang pun patut mereka buat macam itu kepada saya. Saya sedar saya memang celakakan diri. Tapi haram jadah punya tawaran, menyebabkan saya naik mabuk kepayang. Cup-cup, habuk pun tarak.

“Kalau saya tak balik, apa sudahnya dengan pengundi saya. Itu kawasan saya. Saya masih jadi YB mereka,” saya berkata kepada Seman.

“Siapa kata YB mereka? Dulu mereka pilih bukan YB, mereka pilih calon parti.”

Seman seorang pekerja saya yang suka bertegang leher. Saya diam begitu saja. Akhirnya saya minta pandangannya, apa cara saya mesti buktikan saya ini YB kawasan itu?

Maka Seman pun cepat menjawab: “Senang saja. Kan sekarang ada blog, ada Facebook. Gunakan itu saja. Satu dunia tahu yang YB cergas!”

Sungguh, mengapa saya tidak pernah terfikir tentang ini. Bukankah ‘blog’ satu-satunya medium yang sangat berkesan. Saya boleh pembohong dan saya boleh berdusta. Dunia pasti tahu walaupun di kawasan saya pengundi meludah atau pun maki-maki.

Membina blog tidaklah sukar. Upah RM100, tiga jam siaplah. Gambar di logo saya masukkan saya dengan seekur kambing besar. Saya simbolkan, saya YB dan kambing adalah pengundi.

Pertama kali saya menulis menceritakan saya berada di Moscow. Saya siar gambar untuk memberitahu pengundi bahawa inilah YB kamu. YB kamu bukan sekadar pegi melawat kolam ikan keli tapi ke Moscow.

Tapi pengundi saya sebenarnya tak tahu. Saya yang terpilih itu pun jenuh saya gabus pungkur mereka, saya cium tangan mereka, saya jilat jubur mereka dan saya menangis beritahu saya menyesal.

Esok saya keluar menyataan hentam ketua parti saya dulu. Lusa saya dapat tiket percuma melancong ke Moscow.

Balik dari Moscow saya tulis isu umat Islam sudah nipis iman dan akidah. Untuk membuktikan saya kuat sokong Islam, saya beritahu saya sudah membuat wakaf sepuluh buah ‘muqaddam’ kepada sepuluh orang yang buta qur`an berusia 65 tahun.

Tiba-tiba meletup pula pasal kerajaan nak beri lesen judi kepada satu syarikat. Saya naik pening. Mana boleh saya bantah walaupun itu perkara benar. Tapi mujurlah dalam masa yang sama timbul isu ketua parti saya dulu keluar negara. Sayapun tulis berulang kali hentam sungguh-sungguh untuk menunjukakan saya tidak setuju. Mana tahu lain kali dapat pula sponsor ke Afrika Selatan untuk Piala Dunia.

Bagaimana pun saya sebenarnya diserang fobia. Saya sebenarnya sangat tidak tenteram. Bukan kerana saya kesal lompat parti dan jadi bebas tetapi saya fobia tentang pengundi kawasan saya. Saya sepatutnya isytihar keluar parti dan sekaligus terus letak jawatan YB. Ini yang sewajarnya. Tapi apakan daya. Masakan saya boleh lepas elaun dan taitel YB begitu saja. Ini kerja bodoh. Bukan senang nak dapat jadi YB.

Saya berazam mahu mempertahankan sebutan YB ini untuk penggal ini saja. Penggal akan datang saya tidak ada peluang lagi. Saya sedar Umno pun tak akan mahukan saya. Kalau mahu pun saya akan jadi kuda tua. Nak masuk balik parti asal, weekkkk, muntah hijau pun mereka tak terima. Nak masuk Pas, itulah…Pas pun macam cerdik pelanduk. Saya telah ‘test’ dua tiga kali. Saya puji Pas, saya puji Tok Guru tapi Pas nampaknya buat dono saja.

Saya memang menyesalkan. Rupa-rupanya barulah saya sedar, orang macam saya berlambak-lambak tak berguna.

Atas asas agama yang ada pada saya, bulan Ramadan ini mahu rasanya saya kembali ke kawasan, mahu memohon maaf. Saya sedar saya sangat bersalah kepada pengundi, kepada pekerja dulu. Saya banyak berhutang: berhutang wang dan berhutang budi, berhutang tenaga. Dengan apa saya hendak membalasnya, melainkan dengan memohon maaf.

Mahukah mereka terima saya? Inilah persoalannya.

Saya cuba memejam mata dan cuba membayangkan: saya ke warung tepi sungai. Saya sua tangan nak bersalam, tak seorang pun sambut. Saya semawa ramai-ramai minum kopi, tak seorang pun datang.

Saya singgah di masjid, saya pura-pura ke saf depan. Tapi tak ada siapa pun yang tolak jadi imam. Kalau dulu, sila Yb, sila YB, sila YB.

Selepas solat, saya minta sepuluh minit nak beri tazkirah, betapa pentingnya umat Islam bersatu menentang Zionis. Tapi tiga empat orang batuk-batuk dan terkam keluar buang kahak.

Waahhh, rupa-rupanya pengundi saya sudah pandai berfikitr. Mereka rupanya bukan lagi pak turut.

Taka apa…tak apa…khabarnya pilihanraya bulan September ini. Kalau cepat lagi bagus. Akan cepatlah hilang kemaluan saya dan akan cepatlah terpadam taitel YB yang sangat menggelisahkan saya. Saya sekarang malu nak balik kawasan. Khabarnya kawan-kawansaya pun, sudah jadi macam ayam berak kapur.
Baca Seterusnya......

Kenapa zalimi akhbar alternatif?

Oleh Mohd Rashidi Hasan

Sejak akhir-akhir ini akhbar-akhbar alternatif, kembali menjadi sasaran tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di atas dakwaan melanggar syarat-syarat permit penerbitan.

Terbaru akhbar Suara Keadilan (SK) milik Parti KeADILan Rakyat, digantung permitnya kerana menyentuh isu sensitif berkaitan Felda yang didakwa mereka sudah bangkrap.

Jelasnya isu berkaitan Felda adalah isu yang amat sensitif. Ia menaikkan kemarahan Umno-Barisan Nasional kerana Felda begitu sinonim dengan perjuangan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menyentuh isu-isu berkaitan Felda, seolah-olahnya dilihat sebagai menyentuh keperibadian Najib.

Persoalannya di sini, atas apakah justifikasi tindakan KDN sehingga menggantung permit SK, hanya kerana membuat laporan mengenai Felda?

Atas apakah justifikasi dari sudut keselamatan negara, mahupun ketenteraman awam, bahawa isu Felda ini akan menggugat keamanan negara?

Yang dipersoalkan oleh SK dan akhbar alternatif seperti Harakah, adalah pendedahan soal penyelewengan, salah gunakuasa dan salah urus Felda oleh pemerintah.

Jika sekiranya SK ataupun Harakah membuat laporan dengan fakta yang tidak tepat, KDN boleh menegur dan memberi amaran.

Jika sekiranya Felda merasakan mereka menjadi mangsa fitnah, mereka boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Felda dan kerajaan Umno-BN tidak langsung menjawab segala dakwaan dan fakta-fakta yang dikemukakan.

Sebaliknya mereka membuat tindakan yang tidak realistik dengan menyerbu pejabat SK, mengambil tindakan keras terhadap SK dan menggunakan kuasa kerajaan untuk menggantung penerbitan SK.

Isunya di sini bukan soal SK sahaja. Isu yang besar adalah soal kebebasan media. Mengapa Umno-BN begitu takut dengan akhbar alternatif, sedangkan mereka mempunyai begitu banyak akhbar arus perdana yang menyokong?

Hanya dua tiga akhbar tabloid sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat. Itu pun secara berkala, bukan harian.

Umno-BN menguasai media elektronik dengan siaran 24 jam sehari dan mempunyai media cetak yang diterbitkan setiap hari.

Media-media pro Umno-BN ini, setiap hari ada sahaja bahan yang dipaparkan buat mengkritik, menghentam dan berusaha memporak perandakan Pakatan Rakyat serta kerajaan negeri pimpinannya.

Tidakkanlah puluhan media pro Umno-BN ini, tidak mampu berhadapan dengan hanya dua tiga akhbar tabloid yang kecil, yang jualannya amat terhad?

Jika hendak dipertikaikan soal sensitiviti isu dan provokasi, begitu banyak media pro Umno-BN yang melanggar syarat permit kerana membawa isu rasis yang boleh menggugat keselamatan negara.

Jelas di sini kerajaan tidak adil. KDN jangan sesekali mengambil tindakan yang berat sebelah.

Mereka seolah-olah tidak tahu membezakan antara isu yang menggugat kestabilan Umno-BN dengan isu yang mengancam keselamatan negara.

Dalam keadaan Umno-BN yang terdesak dengan pelbagai isu dalaman dan luaran yang memungkinkan mereka tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, langkah menekan akhbar alternatif merupakan suatu langkah yang tidak bijak.

Langkah ini hanya akan merosakkan sistem demokrasi dan mencalarkan kemurnian amalan demokrasi dalam negara.

Demokrasi yang sebenar adalah dengan memberi ruang sepenuhnya kepada rakyat untuk bersuara, dan pihak yang berkuasa mempunyai peluang untuk memperbetulkan segala tanggapan secara terbuka.

Menutup pintu demokrasi, hanya akan mempercepatkan jalan Umno-BN untuk bersemadi di muzium.

Baca Seterusnya......

PAS di jalan demokratik melalui Pakatan Rakyat

Oleh Abu Firdaus

Orang mengata macam-macam terhadap PAS. Ada kalangan menganggap parti Islam ini dianggap pengkhianat bangsa kerana terus-berterusan bersekutu dengan DAP dan enggan mengambil isu-isu Melayu yang diperjuangkan oleh badan bukan kerajaan seperti Perkasa. Maka diungkitlah betapa pada awal-awal kemerdekaan lalu, PAS menjadikan isu kerjasama antara Umno dan MCA dalam satu Perikatan yang akhirnya menguasai negara.

Apakah bezanya antara kerjasama Umno dan MCA pada tahun 60-an dengan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat sekarang? Maka ditampilkan betapa dalam Perikatan dan kini Barisan Nasional, Umno yang menjadi ketua dan dominan sementara MCA dan lain-lain mengikut kata. Sebaliknya dalam Pakatan Rakyat pula, PAS dilihat tidak dominan, sebaliknya setaraf dengan DAP, malah dianggap didominasi oleh Keadilan, kalau tidak pun DAP.

Memang benar bahawa pada tahun 60-an, PAS menentang kerjasama Umno dengan MCA dan dibawa ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa haram bekerjasama antara orang Islam dengan orang kafir. Oleh kerana Umno itu Islam dan MCA kafir, maka kerjasama itu adalah haram. Tetapi Umno membalas hujah dengan menyatakan.bahawa MCA bukan kafir harbi sedangkan ayat itu dikatakan merujuk kepada kafir yang menentang Islam. MCA dianggap tidak menentang Islam.

Satu lagi hujah ialah Umno mengetuai Perikatan, maka ia bukan satu kerjasama setaraf kerana Umno yang menguasai gabungan parti itu. Tetapi apakah itu hakikatnya?

Pertamanya Perikatan ditubuhkan secara tidak sengaja. Dalam pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur, oleh kerana untuk menghadapi Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang berbilang kaum, maka Umno dan MCA bekerjasama. Tenmtunya sebagai orang Melayu secara automatiknya ia dilihat sebagai ketua. Tetapi dari segi sistem demokrasi, Umno dan MCA adalah setaraf.

Bagaimanapun Umno menghadapi masalah untuk bergerak kerana ia kekurangan dana. Sejarah menyatakan bahawa MCA yang menyalurkan dana kepadanya Umno untuk banyak tahun sehinggalah pada tahun 70-an apabila usaha digerakkan supaya Umno dapat berdikari. Jika dana datang dari MCA walaupun Umno menjadi ketua Perikatan, tentu banyak perkara boleh ditafsirkan mengenai perkara ini.

Usaha Umno dapat berdikari dan tidak bergantung pada dana MCA hanya benar-benar berlaku selepas tahun 1969. Atas nama perpaduan nasional, kerajaan campuran Umno dan PAS ditubuhkan. Untuk mengelak dipandang kerajkaan Melayu menguasai negara, maka diumumkan dulu kerajaan campuran Perikatan dengan Gerakan.

Atas kepentingan nasional, Tun Razak menjemput semua parti untuk penubuhan kerajaan campuran. Barisan Nasional belum ditubuhkan. Dalam kerajaan campuran, semua setaraf. PAS setaraf dengan Perikatan. Perikatan tidak mendominasi. Umno juga tidak mendominasi walaupun ia menjadi ketua kerana kerusianya yang lebih banyak. Tetapi semua setaraf. Maka tidak timbul soal Islam kerjasama dengan kafir.

Perbahasan mengenai Islam, kafir, Negara Islam, parti Islam dan parti kafir perlu huraian lebih panjang. Para ulama boleh mengulas dengan pelbagai cara sertya kaedah siayah syariah serta pelbagai pandangan dan pendapat yang berbeza, bertentangan, malah dalam parti sekalipun. Dalam PAS juga terdapat banyak pandangan. Begitu juga dalam Umno. Perbahasan juga boleh dibuat tentang status Umno itu. Adakah ia parti Islam ataupun bukan? Apa maksud dengan parti Islam? Perkara ini semua menarik untuk dibahaskan.

Tetapi hakikatnya sebelum DAP menjadi DAP, ia dikenali sebagai parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpusat di Singapura. Menjelang penubuhan Malaysia, PAP adalah sekutu kuat Perikatan khususnya Umno dalam isu penubuhan Malaysia. Sebaliknya PAS menjadi sebahagain daripada parti pembangkang yang menentang penubuhan Malaysia. PAS bersama dengan Front Sosialis menentang penubuhan Malaysia yang dianggap sebagai projek neokolonialisme tajaan Amerika Syarikat dan Britain.

Hanya apabila PAP berpecah daripada Perikatan ekoran dikeluarkannya Singapura daripada Malaysia, maka ia menjadi pembangkang. Dari awal lagi dasar PAS dan DAP adalah bertentangan berhubung dengan soal Melayu dan Islam. Bagaimanapun, itu tidak bermakna tidak ada banyak perkara yang mereka mempunyai perjuangan prinsip yang serupa, umpamanya seperti soal demokrasi dan hak asasi manusia.

Atas perbezaan ini, maka dari awal lagi Umno menuduh PAS bekerjasama dengan DAP untuk memcah undi Melayu. Baik dalam pilihan raya 1969 mahupun selepas PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Sememangnya terdapat kerusi yang seolah-olah ada kerjasama antara PAS dan DAP bagi memcah undi, baik undi Melayu, mahupun Cina. Tetapi kalau masing-masing boleh memcah undi di antara satyu sama lain, maka kedua-duanya tidaklah boleh dikatakan mengkhianat bangsa sendiri, sebaliknya ia merupakan kerjasama bagi mencapai cita-cita politik yang sahih.

Pertama kali kerjasama rasmi antara PAS dan DAP berlaku pada tahun 1999 melalui Barisan Alternatif. DAP kalah teruk dan serik untuk bekerjasama dengan PAS. Sebaliknya PAS meraih keuntungan. Adakah dengan beketrjasama dengan DAP ini dikatakan PAS mengkhianat sedangkan ia meraih keuntungan.

Sejak itu tidak ada kerjasama secara langsung. Pakatan Rakyat pula ditubuhkan hanya selepas meraih kemenangan dalam pilihan raya. Kerjasama antara PAS dan DAP melalui Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang dapat difahami daripada parti-parti demokrasi yang mempunyai program bersama dalam hal-hal yang boleh dipersetujui.

Sebagai kerajaan-kerajaan negeri, tentu ada polisi yang tidak betul atau tidak disukai rakyat. Tetapi kerajaan negeri yangf menampilkan kerjasama antara PAS dan DAP tidak menampilkan sebarang pengkhianatan kepada bangsa dan agama. Malah usaha untuk membersihkan negara daripada amalan lama yang penuh korupsi dan tidak demokrastimka dalah usaha murni dan hanya dapat dilakukan melalui Pakatan Rakyat yang tonggaknya adalah kerjasama antara PAS dan DAP.
Baca Seterusnya......

Lagu Lama Umno, Hanya Satu Perangkap!

Oleh Anak Sengat

Sehari dua ni aku makin pening. Apakan tidaknya??? umNO yang kata PAS sesat, tiba tiba terhegeh hegeh plak nak ajak PAS bersatu membangunkan Islam dan menyelamatkan negara. Macammana umNO boleh ajak orang sesat bersatu ni?? memang pening betul la umNO ni...

Cadangan itu datangnya dari Lokman Nor Adam , bekas wira Reformasi dulu. Aku kenal Lokman ni masa dia jadi pemimpin pelajar di ITM manjong. Dia menjadi popular masa dia koyak surat arahan polis yang menghalang ceramah reformasi masa tu.. rupenye semangat anak muda kelahiran Johor ini mati di dalam tahanan ISA. Dia muncul dengan wajah baru di dalam umNo dan beliaulah yang kembali mencanangkan suara perpaduan umNO PAS.

Cadangan Lokman bukan sahaja di sambut oleh Mufti Perak yang sememangnya mufti melayu tu...tapi juga di sambut juga oleh Muhyidin Yasin , Timbalan PM. Setakat ini hanya Najib sahaja yang nampaknya mendiamkan diri. Mungkin tak mahu kelihatan hilangnya semangat satu Malaysia berbagai bangsa. Muhyidin memang dijelmakan sebagai pemimpin Melayu sebagai tangkal pesaka kononnya menjaga melayu di dalam umNO di era satu Malaysia Najib.

Isu perpaduan antara PAS dan umNO adalah isu talian terdesak yang sering diulang setiap kali umNo nazak. Perpaduan umNo PAS adalah isyarat perpaduan melayu dan ia hanya mahu digunakan untuk menarik perhatian melayu. Seruan perpaduan itu beerti isyarat melayu terancam.. Itu sebenarnya mesej yang ingin disampaikan oleh umNO.

Jika PAS menolak beerti PAS menolak untuk menyelamatkan kuasa melayu, begitulah isyarat yang umNO mahu rakyat faham. Walaupun Najib mendendangkan satu Malaysia, namun di peringkat akar umbi umNO masih menjaja betapa kuasa melayu perlu dipertahankan. Isu itu sangat berkesan di hati orang melayu.

Sebenarnya rakyat kini sudah mula faham bahawa realiti rakyat Malaysia kini jauh berbeza 50 tahun dulu. Rakyat kini telah boleh bersatu atas semangat keadilan dan membela kezaliman. Hanya kalangan yang tertinggal keretapi sahaja yang masih mendendangkan lagu bangsa. Isu melayu perlu bersatu dalam PAS dan umNO, Anuar sebagai agen Amerika, keganasan dan beberapa isu yang didendangkan kini adalah lagu yang digubah semula yang digunakan setelah umNO kehilangan undi melayu selepas tahun 90an.

Ketika umNO kehilangan sokongan undi melayu selepas pilihanraya 90, umno menyuntik semangat perkauman yang tinggi bagi memulihkan sokongan melayu. Ia berjaya. Namun senario itu tidak sama lagi kini kerana umNO turut kehilangan undi bukan melayu dalam PRU 12. Namun isu melayu terpaksa dilagukan juga kerana hanya melayu harapan umNO untuk bertahan.

Pemimpin Pakatan Rakyat khususnya PAS sendiri mesti waspada menangani isu sensitif ini. Jangan terjerat dengan mainan media umNO dalam masa yang sama jangan menunjukkan sifat angkuh untuk menolak undi melayu. Jangan ada juga yang mengambil kesempatan untuk meniupkan api perbalahan dalaman dengan mengungkit perkara yang membuka luka lama. Kebijaksanaan sangat perlu dalam mengahadapi isu sensitif sebegini. http://anaksengat.blogspot.com/

Baca Seterusnya......

Kebebasan akhbar mesti diperjuang, bukan ehsan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya masih bercuti panjang sehingga hujung Julai ini. Kesan luka di kaki berikutan pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu masih terasa. Berjalan pun kena bertongkat, tapi alhamdulillah semangat untuk menulis mulai muncul, apatah lagi apabila mendengar khabar duka bahawa permit penerbitan Harakah belum diperbaharui.
Resah saya memikirkan karenah tidak habis-habis oleh KDN yang diberi kuasa mutlak oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Akta ini diperketatkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali di zaman pemerintahannya, 1984 dan 1987. Akta ini dengan angkuh menafikan segala ruang untuk semakin kehakiman, sekali gus memberikan kuasa mutlak seluas langit dan bumi kepada Menteri Dalam Negeri untuk menggantung atau tidak memperbaharui mana-mana permit penerbitan.

Tidur saya kini kerap terganggu, bukan lagi disebabkan menahan sakit di dada atau perit di kakit, tetapi "sakit hati" dengan kesombongan regim Umno-BN. Di kala dunia berbicara soal proses pendemokrasian sejagat, Najib Razak memilih jalan lain, undur ke belakang dan akan diketawakan masyarakat antarabangsa. Ketika konsep langit terbuka dan jaringan maklumat dapat diakses dengan mudah dan cepat di mana saja, suasana kebebasan akhbar di Malaysia mundur semundur-mundurnya.

Melalui buku Strategi Membanteras Korupsi, Jeremy Pope dalam bab Masyarakat Sivil, menukilkan ungkapan Woodrow Wilson: "Kebebasan tidak pernah datang dari pemerintah. Kebebasan adalah hasil perjuangan penganut-penganutnya."

Saya cukup tertarik dengan kata-kata penuh makna ini. Kebebasan tidak akan datang menggolek, ia mesti diperjuangkan dengan segala kekuatan dan potensi yang ada pada kita. Pemerintah yang berasa selesa dengan pelbagai akta dan peraturan yang mengongkon akan terus menindas demi survival kuasa mereka. Soalnya, bagaimana dengan kita, apakah sekadar memerhati atau mengambil masa terlalu lama untuk bertindak menuntut hak yang terancam ini?

Bagi saya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan cukup memperbodohkan kita. Selepas PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum 1999, tanpa sebarang sebab, tiga bulan selepas itu, permit penerbitan Harakah dikurangkan, daripada diterbitkan dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan.

Sebelum itu, macam-macam peraturan baru, sama ada dari segi pengedaran, jualan dan juga kandungan Harakah dikuatkuasakan. Kebanyakannya bercanggah dengan logika dan rasional. Malah pengurusan Harakah terpaksa membazirkan bukan sedikit wang untuk menyediakan rak khas kepada peruncit, seperti diarahkan KDN.

Kini, KDN dengan peruntukan luarbiasa akta berkenaan sekali lagi datang menganggu. Pernit Suara Keadilan tidak diperbaharui, manakala nasib Harakah hanya mengharapkan ehsan menteri. Dalam masa seminggu Harakah terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab. Dakwaan yang dikenakan adalah kitaran semula surat-surat lama KDN.

Banyak pihak mengharapkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengambil perhatian serius dan segera isu ini. Jika di negara maju lain, misalnya Britain, isu berkaitan sekatan penerbitan akhbar boleh menyebabkan kerajaannya tumbang, tetapi setakat ini di Malaysia keadaan seperti "tidak berlaku apa-apa". Ramai menunggu apa langkah terbaik daripada pimpinan dua parti terbesar dalam negara ini, PAS dan KeADILan, apabila hayat organ parti masing-masing terancam ....


Baca Seterusnya......

Pengikut