Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 31 Mac 2011

Jumaat, 11 Mac 2011

Judi Muhyiddin tunjuk sikap sebenar Umno

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru rakyat Malaysia membuka mata dan menilai sendiri sikap kepimpinan Umno yang ditunjukan melalui kenyataan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam kenyataan yang mempertikaikan tindakan Kerajaan PAS Kelantan mengharamkan Judi Loteri dinegeri Serambi Mekah itu. Baru sahaja menang di Merlimau dan Kerdau, Umno terus kembali menegakkan kemungkaran sebagai tanda kesyukuran.

Sebagai seorang pemimpin Islam dan Timbalan Perdana Menteri beliau sewajarnya menyokong tindakan itu kerana jelas ianya diterima oleh semua agama dinegara ini yang mengharamkan judi.

PAS juga kesal kerana Umno terlalu suka mengaitkan aktiviti perjudian sebagai aktiviti kesukaan mereka yang bukan Islam. Mereka yang mempunyai moral yang tinggi memandang judi dalam perspektif yang amat buruk, hanya mereka yang bermoral rendah sahaja menjadikan judi sebagai hiburan mereka yang akhirnya menghabiskan duit poket mereka.

PAS juga yakin, kenyataan itu dibuat ekoran desakan taikun-taikun perjudian dinegara ini yang banyak membantu memberikan sokongan kepada Umno-Barisan Nasional untuk menghadapi PAS dalam mana-mana pilihanraya. Beberapa pemimpin Umno juga dikenal pasti pernah atau masih mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat judi berkenaan. Maka jelaslah bahawa kenyataan Muhyiddin itu sengaja dilontarkan bagi membela periuk nasi kroni mereka yang telah lama bergelumang dalam industri judi.

PAS menyeru Muhyiddin serta pemimpin Umno lainnya bertaubat kepada Allah kerana berjuang dan menghalalkan judi dinegara ini dan meminta maaf kepada Penganut bukan Islam yang difitnahkannya sebagai kaki judi. PAS juga memperingatkan Muhyiddin dan Kerajaan Persekutuan supaya menghormati hak perundangan Kerajaan Kelantan dalam menguatkuasakan undang-undang dibawah bidang kuasa mereka. Jika tidak ada modal untuk bercakap, baik diam diri sahaja.

PAS menyokong penuh hasrat kerajaan Kelantan dan akan terus berkempen memerangi judi dinegara ini. Semoga rakyat terus membuka mata dan menolak Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Baca Seterusnya......

bob lokman: isabella di gerbang taubat

Oleh Nik Abduh

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman adalah seorang selebriti terkenal tanah air. Baru-baru ini, di dalam program ‘Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS’ anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat di Kedah, beliau telah mengejutkan dunia politik tanah air dengan mengisytiharkan penyertaannya ke dalam perjuangan PAS selepas menyerahkan borang keahlian kepada menteri besar negeri Kedah, YAB Dato Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak.

Sebelum itu, Bob Lokman sebenarnya telah melakukan suatu tindakan yang lebih besar di dalam hidupnya yang juga telah mengejutkan dunia hiburan tanah air dengan melakukan ‘hijrah paling profesional’ iaitu melangkah ke gerbang besar paling penting dalam kehidupan manusia iaitu gerbang taubat.

Pintu taubat seperti dikisahkan oleh nabi kita Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam, keluasannya adalah memanjang dari timur hingga ke barat. Luas yang tiada taranya. Ia pula dibuka terus tanpa ditutup sehinggalah hari kiamat. Setiap manusia masing-masing akan menempuh kiamat kecilnya sendiri iaitu mati. Selagi kiamat tidak berlaku atau maut tiada menjemput, selagi itulah anak Adam berhak berjalan memasuki pintu taubat.

Taubat adalah nikmat dan rahmat yang agung. Nikmat kerana pentaubat akan menikmati suatu kehidupan baru yang sungguh kudus dan menenangkan yang tiada lagi kecapan manis semanis melangkah dan bersimpuh di gerbang taubat. Rahmat kerana betapa kasih, sabar dan lapangnya Allah menerima kembali hambaNya walaupun telah begitu jauh hanyut dilambung badai maksiat dan dosa sepanjang hidupnya.

Tetapi seluas mana gerbang taubat, selama mana ianya terbuka dan seindah mana tamannya, tidak ramai manusia melihatnya sebagai destinasi yang mesti dituju. Justeru setiap kali ada yang menuju dan memasukinya, maka dia akan menjadi begitu penting dan diraikan. Penting kerana dia akan menjadi sandaran buat yang lain mengenali gerbang ini. Diraikan kerana ahli taubat sebelumnya akan segera mengerumuninya, mendengar daripadanya pengalaman pahit dan menakutkan saat hanyut dibawa arus jahiliyah yang sentiasa lahap menyambar mangsanya yang lalai. Maka mereka saling kuat menguat untuk terus mengagumi nikmat dan rahmat taubat yang dikurniakan Allah kepada para hambaNya yang terpilih.

Saya sempat berjabat tangan dengannya dalam majlis perhimpunan pemuda PAS yang sungguh hebat itu, tetapi tiada tuah masa untuk lebih mengenalinya. Beribu anak muda begitu kepingin untuk bergambar dengannya atau sekurang-kurangnya bersalaman dengannya. Saya melihat suasana kasih sayang dan kemeriahan yang begitu menenangkan jiwa. Bob Lokman telah berjaya menjadikan kehadiran dan penampilannya pada hari tersebut begitu menarik keyakinan anak-anak muda terhadap kebenaran perjuangan PAS memperjuangkan Islam yang syumul.

Apa pun, menarik juga, melalui temuramah dengan beliau yang disiarkan oleh beberapa akhbar dan laman web yang memberikan gambaran ringkas pengalaman beliau melalui kehidupannya sebagai seorang insan seni sehinggalah beliau tiba dan menemui pintu taubat dengan izin Allah, untuk saya menitipkan beberapa butiran yang berguna untuk kita kongsikan bersama. Jika Bob Lokman membaca titipan ini, harapnya beliau dapat menyempurnakan lagi pengalaman berharga ini untuk dinikmati bersama oleh kita.

Beliau memberikan sekurang-kurangnya tiga sebab penting penghijrahannya. Pertama, pembukaan akal yang dialaminya semasa beliau jatuh sakit. Kedua, keperitan hidup berkeluarga yang goyah akibat keruntuhan tahap kesihatan dan kewangannya. Ketiga, kematian mengejut rakan karib beliau. Ketiga-tiga faktor tersebut telah memberinya pembukaan akal, masa dan peluang yang lumayan untuk beliau mula berfikir secara lebih serius dan tenang mengenai kehidupan dunia yang begitu singkat dan terumbang-ambing ini.

Cuba kita perhatikan, kesemuanya adalah musibah yang melanda yang ditakuti kehadirannya oleh setiap kita. Tetapi takdir Allah siapa dapat menahan. Dunia dan kehidupan adalah milikNya dan Dialah pemandu dan pengaturnya. Jika begitu, bagaimana seharusnya kita melayani kekuasaan agung ini?

Jika setiap musibah yang ditakuti dan dibenci kehadirannya itu dikira sebagai satu kezaliman dan penganiayaan, maka sungguh manusia dan dunia sedang diatur oleh seorang tuhan yang zalim! Jika begitu, dalam sekelip mata, manusia akan hilang keyakinannya untuk menempuh kehidupan yang berani dan bermaruah. Mengapa harus menjadi insan mulia jika kemuliaan itu dipasung oleh kehendak tuhan yang zalim dan tiada mengenal peraturan yang adil?

Perhatikan bagaimana orang yang ditimpa musibah kesakitan, kehilangan dan kesedihan, kemudian dia merasakan dirinya telah dianiaya dan tidak diadili dengan benar oleh kehidupan atau takdir atau tuhannya, dia akan ditimpa pula oleh seburuk-buruk penyakit di dalam diri iaitu barah putus asa.

Apabila seseorang mula berputus asa dalam menempuh kehidupan, dia akan melakukan dua tindakan yang semakin malang; hidup berdendam terhadap kehidupan atau lebih malang, dia membunuh diri. Apabila dia menyimpan dendam, dia tidak lagi sedih untuk melakukan kejahatan seterusnya seperti mencuri, merompak, menipu, minum alkohol dan sebagainya. Baginya, apa untung hidup bermaruah jika tuhan telah tidak adil terhadapnya.

Kemuncaknya, jika dia terus buntu dan tiada lagi harapan walau sebesar hama, dia akan membunuh diri. Dan anda tahu betapa buruknya membunuh diri hatta di sisi mereka yang enggan menerima kewujudan hari pembalasan.

Akidah kita umat Islam, Allah adalah tuhan yang maha adil. Dengan kekuasaanNya yang mutlak, siapa yang dapat menghalangNya melakukan apa saja termasuk kezaliman? Tetapi Allah mengharamkan ke atasNya berlaku zalim. Dia adalah maha adil seadilnya. Maka Allah adalah zat yang paling sempurna sifatnya.

Kerana itu, segala perbuatan Allah dalam segala kejadian alam yang tersaksi dan terlindung adalah diselubungi hikmah yang mendalam. Hikmah penuh siratan keadilan yang tersaksi dan terlindung juga.

Manusia hanya mahukan kesenangan dan keseronokan nafsu nafsi sahaja. Dia meninggalkan akal, ruh, fitrah, jiwa raga dan hati sanubari yang mendiami kamar kemuliaan di dalam dirinya untuk membiarkan nafsu buasnya merajai dirinya mengaut segala apa keinginannya. Apabila dia gagal memperolehinya, apatah ditimpa pula dengan bala dan musibah, nafsunya mula memberontak seperti orang gila mencabar kehidupan di sekelilingnya.

Kita, sepertilah Bob Lokman, tiada mengingini selain kesihatan, kemewahan, kebahagiaan dan kenikmatan berpanjangan. Tetapi bayangkan betapi kehendak Allah adalah melampaui segalanya. Dia melingkari kehidupan dengan kerahmatanNya agar sang hamba mendapat kenikmatan yang tak tergambar oleh nafsunya yang kerabunan sifatnya itu.

Sekarang tiba masanya Allah memberikan akal dan hati untuk mengambil peranan nafsu yang dirajakan oleh manusia. Kesakitan, kehilangan orang tersayang dan porak peranda kehidupan adalah peperangan terhadap nafsu. Nafsu terdampar lemah dan kesakitan. Saat itu akal dan fitrah hati mengambil alih teraju diri. Manusia dan Bob Lokman mula melihat dari ruang pandang yang baru dan segar.

Ada dunia baru yang sungguh harmoni dan menenangkan. Ia disendal dua tiang kukuh yang membentuk gerbang besar bernama taubat. Ia perjalanan yang sukar. Tetapi kesukaran diiring kemudahan apabila ianya di jalan Allah.

Begitulah keadilan Ilahi. Rahmat Allah melampaui kemurkaanNya. Allah tiada berlaku zalim, tetapi manusialah yang sentiasa menzalimi dirinya. Jika hijab ghaflah dan lalai telah tersingkap, manusia tiada ingin selain bersujud di bawah duli tuhan.

Sungguh bagus untuk terus mendengar daripada saudara Bob Lokman. Tazkirah adalah tentera Allah, seperti kata para hukama’. Bagaimana pula beliau boleh bersama PAS? Beliau memberitahu, tetapi ruang ini terhad untuk saya mengulas. Anda bolehlah ke blog saya untuk tambahan santai yang berguna.

(Artikel ini adalah untuk kolum ‘agama dan kehidupan’ akhbar Siasah)

http://nikabduh.wordpress.co/


Baca Seterusnya......

Kemenangan Sebenar Di Sisi Allah

Oleh Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Apa sahaja perlawanan yang berlaku pastinya ada yang kalah dan ada yang menang. Di dalam pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau 6 Mac yang lepas, PAS telah gagal untuk merebut kedua-dua kerusi tersebut daripada UMNO. Saya akur dengan kekalahan tersebut. Di mana-mana perlawanan sekalipun, pihak yang menang berhak untuk gembira dan pihak yang kalah berhak untuk kecewa dan bersedih. Tinggal lagi, berapa lamakah kegembiraan dan kekecewaan itu akan bertahan?

Sesiapa sahaja akan gembira jika menang. Seorang pelajar akan gembira jika mendapat keputusan yang cemerlang begitu juga seorang pencuri akan gembira jika berjaya melakukan jenayah mencuri harta benda orang lain hatta jika dapat membunuh mangsanya, itu lebih menggembirakan. Bahkan Allah SWT merakamkan bagaimana gembiranya orang-orang musyrikin yang memusuhi agamaNya ketika berada di dunia. Firman Allah SWT :

وَإِذَا انقَلَبُواْ إِلَى أَهْلِهِمُ انقَلَبُواْ فَكِهِينَ

Yang bermaksud : Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada pengikutnya, mereka kembali dengan gembira. – Surah al-Muthaffifin, ayat 31.

Demikianlah kegembiraan yang dinikmati oleh orang-orang yang berdosa ketika berada di dunia. Dan dukacita kegembiraan itu tidak sedikitpun menyelamatkan mereka apabila berada di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan itu akan ditukar menjadi kehinaan yang amat dahsyat di hadapan Allah SWT.

Salahkah bergembira? Jawabnya tidak salah. Sesiapa yang diberikan nikmat oleh Allah SWT berhak untuk bergembira dan begitu juga sebaliknya. Namun kegembiraan dan kesedihan di dunia bukanlah suatu yang hakiki di sisi Allah SWT. Bahkan beleklah sejarah perjuangan Rasulullah SAW, di Mekah baginda ditolak selama 13 tahun sekalipun sebelum dilantik menjadi nabi, baginda diiktiraf sebagai seorang yang jujur (al-Amin). Sedih pilu perjuangan yang dilalui oleh baginda tercermin melalui doanya sewaktu kembali dari Thaif :

اللهم انى اشكو اليك ضعف قوتى و قلة حيلتى و هوانى على الناس انت رب المستضعفين

Yang bermaksud : Ya Allah, aku mengadu kepadaMu betapa lemahnya kekuatan aku, dan betapa kurangnya kepandaian aku berhujah, dan betapa hinanya aku pada pandangan mata manusia, Engkaulah Tuhan golongan yang ditindas.

Doa ini tidak akan diungkapkan oleh lidah suci baginda kecuali dalam keadaan baginda dirundung kesedihan dan kekecewaan. Jika sedih dan kecewa pun pernah melanda Rasulullah SAW, apatah lagi pendokong Islam pada hari ini. Sesungguhnya pada kekalahan, kesedihan dan kekecewaan inilah tersimpannya ganjaran yang besar yang disediakan oleh Allah SWT.

Apa yang penting, asas hidup ialah Islam. Menang atau kalah tidak menjadi ukuran. Lihatlah penulis buku The Satanic Verse, Salman Rushdie yang diberikan gelaran terhormat oleh Barat sebagai Sir, sedangkan penghormatan itu diberikan kerana tindakannya mengina Islam. Adakah bernilai gelaran itu di sisi Allah? Jawabnya tidak. Demikian juga kemenangan, jika diperolehi dengan cara khianat, langsung tidak bernilai di sisi Allah SWT.

Di Kerdau dan Merlimau, PAS telah kalah. Ia perlu diakui. Namun, penipuan dan fitnah serta penggunaan jentera kerajaan secara besar-besaran juga perlu diakui telah dilakukan oleh UMNO. Saya diserang bertubi-tubi tanpa diberikan peluang yang sama untuk membela diri. Kalau di dalam akhbar, serangan ke atas saya diletakkan di muka hadapan manakala jawapan saya disudutkan di hujung muka surat dalam. Pengarah pilihanraya kami di Kerdau, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dituduh membeli tanah dari peneroka Felda sedangkan tuduhan itu merupakan satu fitnah, dan ia ternafi sebelumpun tenggelamnya matahari pada hari yang sama. Adakah penafian itu disiarkan sebagaimana fitnah itu disiarkan? Jawabnya tidak. Atas nama kebebasan demokrasi pincang, itulah senjata yang ada pada UMNO pada hari ini.

Utusan Malaysia (8 Mac 2011) melalui Senyum Kambingnya melabelkan saya tidak dapat menerima kekalahan. Sebagaimana namanya, demikianlah tahap pemikirannya. Saya hanya mahu menyatakan ayat yang telah diungkapkan oleh tukang-tukang sihir Firaun yang beriman kepada Nabi Musa tatkala diancam bunuh oleh Firaun :

فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

Yang bermaksud : Maka buatlah keputusan apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja. – Surah Thaha, 72.

Baca Seterusnya......

Pengikut