Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 26 Ogos 2010

Elok MCA keluar BN masuk Pakatan Rakyat

Oleh Mohd Rashidi Hasan

SEJAK akhir-akhir ini kelihatan Umno dan MCA sering bercakaran sesama sendiri, bersengketa dalam hal-hal perkauman sempit, kata-mengata antara satu sama lain.

Persengketaan kedua-dua parti utama komponen Barisan Nasional ini mengheret kepada pertikaman lidah antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek



Apa yang dibangkitkan MCA, dalam usaha mereka untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina yang sudah beralih kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP, mungkin dilihat relevan untuk survival MCA.

Namun Umno melihatnya pada perspektif yang berbeza. Umno mendakwa MCA sudah terlalu rasis, menjejak langkah DAP. Sehinggakan TPM sering memberi amaran kepada MCA supaya jangan sesekali menggugat persefahaman BN dengan pelbagai kenyataan yang menghiris hati orang-orang Melayu dalam Umno.

Persengketaan ini berlaku sehingga wujud pertikaian di kalangan BN bahawa MCA sudah tidak setia dan tidak boleh dipercayai lagi.

Pertelagahan Umno-MCA bukannya baru. Hampir setiap kali Perhimpunan Agung Umno atau MCA, masing-masing sering mengeluarkan ucapan dan usul yang berbaur rasis.

Apa pun, di sebalik pertelagahan Umno-MCA, ada yang kata persengketaan ini sebagai sandiwara. Ada yang kata, cetusan api perkauman Umno-MCA boleh berulang seperti peristiwa perbalahan bekas Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai dengan Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tahun 1987 sehingga membawa tangkapan ISA.

Jika MIC sudah dikambing hitamkan oleh Umno, sehingga ditubuhkan parti Makkal Sakhti, barangkali pemimpin Umno boleh berfikir untuk mewujudkan parti baru untuk menggantikan MCA.

Sebenarnya masalah MCA sama dengan masalah Umno, sama dengan masalah Gerakan dan MIC. Masing-masing tengah meroyan kerana kekecewaan ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13, sampai sekarang masih terkesan.

Umno terpaksa menukar Presiden. Umno terpaksa memperbetulkan arah tuju perjuangan. Umno mahu jadi lebih Melayu pada Melayu. MCA juga begitu, mahu jadi lebih Cina dari Cina dan MIC mahu jadi lebih India dari India.

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana perjuangan mereka, teras dan asasnya adalah perkauman. Semua parti ini asasnya adalah rasis. Mereka tegak dan disokong selama ini oleh bangsa masing-masing.

Asal tujuan mereka ialah Umno diguna untuk menjaga Melayu. MCA untuk jaga Cina dan MIC untuk jaga kepentingan kaum India.

Masalahnya ialah kini Umno-MCA-MIC sudah ditolak bangsa mereka sendiri. Sebab apa Melayu tolak Umno? Sebab apa Cina tolak MCA? Sebab apa India tolak MIC? Ini yang harus dikaji sebenarnya.

Sebabnya yang pertama Umno, MCA dan MIC tidak menjaga kepentingan bangsa masing-masing. Jika ada pun hanyalah pada kadar peratusan yang rendah.

Yang Umno, MCA dan MIC jaga adalah kepentingan pemimpin, keluarga dan kroni. Selama ini tidak ada perkongsian pintar dalam BN untuk memperjuang dan menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

Yang ada hanyalah perkongsian pintar Umno, MCA dan MIC untuk 'menyapu' sebanyak mana harta negara untuk kepentingan anak-beranak dan juak-juak mereka.

Sebab itu hari ini kita dapat lihat puluhan kes dalam siasatan, segelintir yang dihadapkan mahkamah, yang membabitkan penyelewengan, skandal dan salah laku pemimpin BN.

Ini isu sebenar. Isu utama kepada rakyat bahawa pemimpin Umno, MCA dan MIC from no where, sekarang ini sudah terlalu kaya raya dan hidup mewah kerana kuasa politik yang mereka ada.

Sebab kedua ialah, rakyat Malaysia sudah semakin terbuka dan matang. Mereka sudah tidak menerima perjuangan berasaskan perkauman yang sempit.

Rakyat Malaysia sama ada tua muda, mahukan kehidupan yang harmoni dan rasional. Bagi rakyat yang penting adalah keadilan dalam pemerintahan, meliputi semua kaum, tanpa dibatasi atas nama Melayu, Cina, India atau sebagainya.

Maka dengan sebab itu permasalahan yang dihadapi Umno, MCA, Gerakan dan MIC sekarang ini adalah amat kronik.

Selepas dua tahun, sebenarnya mereka masih gagal memulihkan sokongan rakyat, malah yang lebih teruk lagi gagal memperbetulkan struktur dalaman parti masing-masing.

Mereka beruntung kerana mereka masih berkuasa di peringkat Pusat. Mereka boleh melindungi kepincangan dan penyakit dalaman mereka dengan bantuan media talibarut BN.

Dalam konteks MCA, apa yang dibangkitkan oleh Soi Lek, sama ada soal Islam dan Melayu, soal kouta dan sebagainya, hanyalah untuk mencuri perhatian umum, bahawa MCA masih wujud dan bernyawa.

Barangkali beliau menyangka, dengan berbuat demikian dapat mengalihkan perhatian rakyat kepada MCA, sekali gus memberitahu MCA masih relevan dalam politik negara.

Tetapi Soi Lek dan rakan-rakan pemimpin dalam MCA harus sedar bahawa kedudukan mereka dalam BN sudah tidak lagi relevan. Mereka sering dibuli pemimpin Umno.

Ramai pemimpin MCA dijangka akan menuruti jejak langkah bekas Presiden, Tun Ling Liong Sik yang didakwa terbabit dalam penyelewengan PKFZ. MCA pun tahu ramai pemimpin Umno yang terbabit dalam pelbagai skandal, tetapi didiamkan kerana mereka Umno.

Jelas, kedudukan MCA dalam BN bukan lagi berasaskan smart partnership, sebaliknya mereka sudah jadi second class partner. Dalam kata mudah, MCA bagi Umno, hanyalah 'parti cap ayam'.

Kesimpulannya pertelagahan Umno-MCA menunjukkan bahawa konsep 1Malaysia gagal. Rakyat terfikir, bagaimana BN hendak promote 1Malaysia sedangkan hendak menjaga 1BN pun huru hara.

Oleh kerana itu rakyat tidak sesekali mahu menyokong parti yang sering bermasalah dan gabungan yang tidak stabil.

Justeru MCA tidak ada pilihan, jika mereka masih dalam BN, mereka akan 'close shop.' Kepimpinan MCA sudah beberapa kali membincangkan sama ada mereka harus kekal atau keluar dari BN dan inilah masa yang terbaik bagi mereka untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.

Baca Seterusnya......

Khamis, 19 Ogos 2010

Mufti Perak Perlu Dedahkan Perlembagaan Baru!

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Semalaysia Pas terkejut dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada ‘perlembagaan baru’ dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Pas mendesak supaya beliau mendedahkan kandungan Perlembagaan baru dan melaporkan kepada pihak polis untuk disiasat.

Pas dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan.

Malahan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama 19/12/2009 di Shah Alam telah bersepakat

  • Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai

  • Melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153

  • Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan

  • Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum

Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama.

Pas berpandangan sekiranya Tan Sri Harussani Zakaria tidak segera mendedahkan siapakah yang memberi dan isi kandungannya, maka ia akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di negara ini. Sebagai seorang tokoh agama mesti bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan yang dibuat supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap institusi mufti.

Pas mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis

Baca Seterusnya......

Rabu, 18 Ogos 2010

Akibat Umno yang suka perlekeh Islam, kini MCA pula dirundung Islamofobia

Oleh Wan Nik Wan Yussof

Persoalan Islamofobia biasanya dikaitkan dengan kesan-kesan yang timbul akibat sikap dan tindakan strategi musuh Islam, terutamanya golongan Yahudi yang sengaja melakukan serangan psikologi terhadap Islam.

Justeru, Islamofobia difahami sebagai prasangka terhadap Islam atau Muslim. Berdasarkan takrif British Runnymede Trust (1997), Islamofobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap Islam dan kerana itu timbul rasa takut dan tidak suka terhadap semua orang Islam.


Lebih mempengaruhi lagi, apabila peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas menara kembar World Trade Center (WTC) di New York City, Amerika Syarikat telah dikaitkan dengan aktiviti pengganas puak Islam.

Sehubungan itu, Islamofobia secara khusus ditujukan kepada amalan diskriminasi ke atas umat Islam yang melibatkan tindakan mendiskriminasi ekonomi, sosial dan kehidupan mereka dalam sebuah negara.

Akibat diskriminasi itu maka tercetusnya persepsi negatif tentang ajaran Islam dan umat Islam bahawa Islam tidak mempunyai nilai-nilai yang dapat dikongsi dengan budaya penganut dan ajaran agama-agama lain.

Malah paling malang lagi apabila Islamofobia itu dijadikan senjata politik pihak-pihak yang memusuhi perjuangan politik Islam, apabila secara sengaja Islamofobia itu semacam dukungan gerakan Islam merencanakan ideologi politik kekerasan sebagai suatu cabang dalam ajaran agama Islam.

Islamofobia juga dilhat sebagai satu terma dan fenomena yang berpanjangan, dipopularkan oleh Francis *****uyama dan Samuel Huntington yang menghujahkan tentang pertembungan peradaban antara Islam dan Barat. Oleh itu kuasa Barat seringkali menjadikan Islam sebagai mangsa untuk bertembung.

Akibatnya, negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Peranchis telah melakukan serangan psikologi ke atas umat Islam dan bukan Islam. Sebagai contoh, melarang pemakaian purdah kalangan wanita Islam sebagai langkah kononnya mengawal ancaman dan kemungkinan keganasan oleh puak Islam.

Islamofobia dan taktik Umno-BN

Atas asas yang sama, pihak Umno-BN turut menggunakan terma Barat, lalu menjadikan Islamofobia sebagai taktik untuk menyerang PAS semasa pilihan raya kecil Indera Kayangan, Perlis pada Disember 2001.

Pihak Umno-BN secara jelek telah mengaitkan PAS sebagai parti pengganas telah berkawan dengan KeADILan dan DAP. Latar belakang serangan 11 September ke atas WTC di New York City itu telah dijadikan senario untuk mengatakan PAS yang dipimpin ulama’ sebagai parti pengganas.

Maka, PAS telah menjadi mangsa pertama taktik politik Umno-BN yang telah memperalatkan Islam untuk memfobiakan orang bukan Islam terhadap PAS.

Lanjutan daripada itulah, maka kenyataan terbaru Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai negara Islam turut menyerlahkan sentimen Islamofobia yang bersarang di dalam pemikiran politik perkauman para pemimpin yang diasuh oleh Umno-BN.

MCA merencana taktik Umno

Secara totok, Chua telah berucap pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star (Malaysiakini, 8 Ogos 2010) ada memberikan tanggapan negatif, kononnya negara-negara Islam itu "tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang." Malah beliau turut membidas kononnya Umno dan PAS telah menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Kenyataan itu disusuli pula dengan analisis dangkal dalam menilai persaingan antara Umno dengan PAS yang dikatakan telah membawa kepada wujudnya dasar-dasar tidak progresif sehingga menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun. Maka, serangan Islamofobia Chua bukan sekadar terhadap PAS malah turut menghentam Umno yang telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Lalu Chua mencucuk jarum politik terhadap masyarakat Cina agar jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Tanpa asas rasional Chua menghujahkan ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Pada persepsi umumnya, Presiden MCA itu sedang menghadapi tekanan kemerosotan pengaruh politik kalangan masyarakat Cina. Beliau sudah tentu mencari sesuatu formula untuk meraih semula sokongan. Namun, pendekatannya itu agak kasar apabila Umno sebagai idola permuafakatan politik MCA selama ini turut dikasari dengan hujah-hujah berbau Islamofobia. Pendekatannya itu, tidak akan menjadi jelek jika ia semata-mata ditujukan kepada Islam dan PAS.

Apakah MCA sudah dirundum malang di bawah kepimpinan baru sekarang? Apa yang jelas, MCA kini sudah mencalarkan nilai-nilai keharmonian yang sekian lama dirasai. Apakah ia tanda kegagalan pendekatan Umno dalam mengasuh rakan permuafakatan BN untuk menghormati beberapa nilai yang dikira sensitif untuk dikomen secara terbuka.

Islam Agama Persekutuan

Presiden MCA itu, tidak sepatutnya mengaitkan segala aspek buruk (seperti rasuah, miskin dan sebagainya) itu dengan Islam. Islam telah diterima secara harmoni oleh pelbagai kaum ketika merangka kemerdekaan negara. Malah telah lebih 1,400 tahun Islam telah dibuktikan penyelamat umat oleh Nabi Muhammad SAW.

Justeru itu, dalam perlembagaan negara kedudukan Islam dirakam dan disepakati di bawah Perkara 3, iaitu "agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan."

Maksud tersebut diperjelaskan oleh arwah Prof. Dr. Ahmad Ibrahim bahawa Perkara 3 hendaklah difahami sebagai memberi kebebasan yang meluas untuk penganut-penganut agama lain mengamalkan agama mereja secara aman tanpa apa-apa gangguan. Jika perkataan 'agama' merangkumi bukan sahaja aspek kepercayaan dan amalan keagamaan tetapi termasuk juga undang-undang yang terpakai kepada penganutpenganut agama tersebut, maka makna yang sama juga sepatutnya diberi kepada 'agama Islam'.

Islam bukan sahaja satu kepercayaan keagamaan dan upacara agama, tetapi satu cara hidup yang merangkumi semua aspek termasuklah undang-undang. Di atas maksud tersebut, tidak sepatutnya wujud Islamofobia kalangan pemimpin MCA termasuk Datuk Seri Chua Soi Lek dan masyarakat Cina amnya.

Tangani dengan baik, bukan memfitnah

Lebih harmoni lagi, apabila pihak Yang Dipertuan Agung sendiri menyeru agar memberi perhatian dan menangani isu Isamofobia. Apa yang penting titah baginda semasa merasmikan Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang lalu (berlangsung 27 Julai hingga 4 Ogos 2010) baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila umat Islam diancam dengan pelbagai serangan fizikal mahupun spiritual dalam dunia pasca moden ini.

Mengambi kira titah baginda itu, isu Islamofobia yang meracuni masyarakat dunia terutama di kalangan masyarakat Islam perlu ditangani dengan segera. Sekiranya umat Islam sedar keunikan, keindahan dan maksud keseluruhan al-Quran sebagai perlembagaan hidup, maka ajaran Islam bakal menjadi ikutan bukannya fobia berterusan.

Chua dipengaruhi Umno?

Sebaliknya, amat jelas Chua sengaja mengungkit suatu natijah Islamofobia dan bunyinya bercanggah dengan titah baginda itu. Kenapa jadi begitu, apakah Chua terpengaruh dengan sebahagian pemimpin Umno yang dilihat gagal mengilmukan pemimpin MCA itu dengan kebaikan Islam?

Ataukah, sememangnya sebahagian pemimpin Umno itu telah lali dengan cara MCA dan sanggup membiarkan mereka terperangkap dengan salah faham terhadap Islam? Lalu terperosok dalam ugutan Islamofobia. Namun, kedua persoalan ini adalah bukti kegagalan Umno menjadi pemudahcara Islam kepada rakan-rakan permuafakatan dalam BN.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggapkan, "titah baginda itu betul-betul serupa dengan apa yang kita lalui di Kelantan dan apa yang PAS telah buat selama ini." Maksudnya, lebih 50 tahun PAS sudah bergelumang dengan pelbagai cabaran untuk membuka pekung masyarakat di negara ini kepada kebaikan Islam.

Justeru perjuangan PAS sering disalahtafsirkan sehingga ada kalangan pemimpin Umno (yang mengaku berjuang Islam) tergamak memfobiakan masyarakat terhadap perjuangan Islam sehingga merendah-rendah hukum Allah SWT. Mungkin niat mereka untuk menyerang dan memburukkan PAS.

Namun, dari segi agama ia tidak begitu. Akibatnya, terukirnya kalimah-kalimah negatif terhadap PAS yang dikaitkan dengan Islam seperti "hudud PAS, PAS bukan Islam-Islam bukan PAS, PAS-Parti Ajaran Sesat dan negara Islam alaPAS."

Walau apapun, PAS sudah berjaya merungkai sebahagian isu-isu Islamofobia. Apa yang Chua sungutkan itu sudah tidak berlaku di Kelantan. Realiti Kelantan sudah membangun, kemiskinan rakyat sudah di paras terendah dan kemakmuran negeri dan rakyatnya sedang meningkat maju.

Selayaknya, warga Kelantan terus bersyukur kerana setakat ini PAS terus utuh dan pemimpinnya terus cekal dan tegas menghayun pendayung, meskipun sering difobiakan dengan pelbagai cara. Justeru itu tapak PAS di Kelantan sudah dibina kukuh sejak 20 tahun lampau, maka Islam kini sedang melalui pemartabatan.

Oleh itu, "orang lain kena tiru kita (PAS dan kerajaan negeri) dalam menangkis Islamofobia", tegas Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, Menteri Besar yang sudah mencipta jasa di persada politik dakwah dalam mengembalikan maruah Islam.

Penegasan Pakatan Rakyat

Dalam suatu kenyataan akhbar (Harakahdaily, 9 Ogos 2010) Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mentintakan seruan "Tinggalkan Umno" sebagai penegasan bahawa segala kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan adalah berpunca daripada salah laku Umno terhadap orang Melayu, sehingga berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri.

Ia termasuklah tindakan diskriminasi jahat yang merampas royalti minyak pada masa pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan. Sedangkan Terengganu dan Kelantan adalah penduduknya lebih dari 95 peratus terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

Apa pun, kenyataan Presiden PAS itu secara tidak langsung menzahirkan penilaian, betapa atas kepentingan persaingan politik Umno yang mengaku berjuang Islam telah sanggup menganiaya umat di negeri-negeri yang seagama dengannya.

Maka, hal itu cukup menggerunkan masyarakat bukan Islam terhadap pucuk pimpinan Islam yang memiliki tampuk kuasa. Realiti itu sebenarnya telah diperbaiki di Kelantan dan sedang diubah oleh PAS bersama Pakatan Rakyat sekarang dalam rangka memartabatkan hak Islam, rakyat dan tanah air. Sehubungan itu, Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggapkan komen Chua itu sebagai keterlaluan dan begitu jahil berhubung situasi sebenar masyarakat Islam.

Atas asas itu, Anwar berkata Malaysia perlu diselamatkan bagi memastikan masyarakat Islam dan bukan Islam memahami dan menghormati agama dan budaya satu sama lain. Atas nada yang sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (Malaysiakini, 7 Ogos 2010) menganggap Chua sebagai mengarut dalam menggambarkan negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan mengamalkan rasuah.

Bagi Lim, pihak Chua perlu mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi. Jika demikian, penampilan kepimpinan nombor satu MCA sekarang, jelas parti MCA sudah menyanggahi hasrat dan keharmonian rakyat Malaysia yang bertersakan kepelbagaian kaum dan agama.

Di sini, Presiden MCA telah menyimpang dari nilai-nilai kesepakatan Malaysia yang turut didukung oleh parti MCA sebelum ini. Sudah tentu rakyat akan mengadili salah laku itu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Apa yang utama, rakyat selaku pengundi sewajarnya menilai penegasan Pakatan Rakyat dalam membina keyakinan baru politik negara yang mengutamakan kesepakatan antara pelbagai kaum dan agama. -


Baca Seterusnya......

Selasa, 17 Ogos 2010

UMNO Pulau Pinang:Rumah siap, pahat masih berbunyi

Oleh Nazar Hashim

Dilema dua bahagian UMNO dalam Negeri Pulau Pinang belum selesai sehingga ke hari ini. Walaupun persidangan perwakilan UMNO bahagian seluruh Pulau Pinang telah berjayadisempurnakan namun begitu bak kata pepatah rumah sudah siap, pahat masih berbunyi.

Dalam lain ertikata, walaupun kedua-dua kepimpinan UMNO Bahagian Bukit Bendera dan UMNO Jelutong telah selesai mengadakan persidangan masing-masing, masih ada suara dari perwakilan UMNO dalam bahagian masing-masing yang saling mempertikaikan kedudukan antara satu sama lain.


Bagi UMNO Bukit Bendera yang menyaksikan kemunculan semula mantan Ketua Bahagian, Ahmad Ismail untuk menerajui kepimpinan bahagian tidak kesampaian, apabila dalam sidang media beliau pada 5 Ogos yang lalu menzahirkan bahawa keputusan beliau adalah untuk tidak bertanding - semata-mata bagi memberi peluang kepada kepimpinan parti komponen untuk mendapatkan semula sokongan rakyat di Pulau Pinang.

Kontroversi yang dicungkil Ahmad Ismail

Sebelum itu, 36 Ahli Jawatankuasa UMNO Bukit Bendera telah meletakkan jawatan secara sukarela bagi membolehkan mesyuarat agung luar biasa diadakan. Ia juga bertujuan untuk membawa semula Ahmad yang telah digantung oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada September 2008 yang lalu menerajui semula bahagian tersebut.

Keahlian Ahmad digantung kerana didakwa telah menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat Cina, apabila Ahmad dituduh menyifatkan mereka sebagai "penumpang" dalam negara ini ketika berceramah pada 25 Ogos 2008, semasa berkempen di PRK Permatang Pauh.

Keadaan bertambah buruk apabila Ahmad mendesak Gerakan yang merupakan komponen Barisan Nasional (BN) supaya keluar dari BN. Keadaan bertambah runcing apabila salah seorang penyokongn beliau mengoyak gambar Pengerusi Gerakan Negeri ketika itu, Koh Tsu Koon.

Namun begitu, pada Disember 2009 yang lalu, MT telah menarik balik keputusan penggantungan terhadap Ahmad. Beliau dibenarkan untuk aktif semula dan sekaligus mendapat sokongan dari bahagian lamanya.

UMNO bahagian Bukit Bendera yang diterajui oleh Abdul Jalil Ariffin yang sepatutnya mengadakan persidangan perwakilan mereka telah tertunda persidangan perwakilan mereka sebanyak dua kali, iaitu pada 11 dan 31 Julai yang lalu.

Persidangan perwakilan hanya dapat dijalankan pada 8 Ogos baru-baru ini ,bertempat di Eastin Hotel, Pulau Pinang dengan kehadiran wakil Perhubungan UMNO Negeri, Musa Sheikh Fadzir yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO Negeri.

Kemunculan semula Ahmad itu bukan sahaja diberi sambutan meriah seorang wira bangsa dengan diserikan oleh pencak silat dan bunga manggar, tetapi juga dinobatkan sebagai seorang wira yang memperjuangkan masyarakat Melayu di bahagian Bukit Bendera oleh penyokong-penyokongnya.

Kemelut berlanjutan

Tidak lama selepas dinobatkan sebagai wira, kemelut yang melanda UMNO bahagian Bukit Bendera tidak terhenti di situ sahaja. Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian, Rose Akmar Ahmed telah membuat laporan polis terhadap persidangan perwakilan yang dianggapnya sebagai melanggar peraturan mesyuarat.

Rose Akmar (gambar kiri) juga mendakwa bahawa ini bukan kali pertama beliau dinafikan hak sebagai perwakilan, malah pada tarikh asal iaitu 11 dan 31 Julai juga beliau bersama enam lagi perwakilan dalam cawangan Kampung Mutiara tidak menerima notis jemputan.

Beliau yang turut membuat laporan polis di balai polis Butterworth pada hari yang sama persidangan perwakilan bahagian diadakan turut melahirkan rasa kesal kerana sikap bahagian yang meminggirkan cawangannya yang sememangnya sah dari segi peraturan dan persidangan agung parti.

Manakala Musa semasa sidang media selepas persidangan pada 8 Ogos di Hotel Eastin turut menyatakan, bahawa mereka yang tidak berpuas hati dengan perjalanan persidangan boleh membuat bantahan dengan mengemukakan surat kepada perhubungan UMNO negeri.

Dilema merebak ke Jelutong

Dilema dalaman UMNO ini bukan saja terhenti setakat UMNO bahagian Bukit Bendera. Ia juga merebak kepada UMNO bahagian Jelutong yang diterajui oleh Abdul Razak Abdul Rahman sebagai ketua bahagiannya.

UMNO Bahagian Jelutong yang mempunyai 25 cawangan kini ternyata berpecah kepada dua apabila 17 cawangan yang turut didakwa hak mereka dinafikan apabila cawangan yang ada telah ditutup tanpa persetujuan mereka.

Abdul Wahab Abdullah yang mewakili 17 cawangan yang didakwa ditutup oleh Perhubungan UMNO Negeri turut mempertikaikan keputusan yang telah dibuat sebagai tidak menghormati seramai lebih dari 4,000 ahli UMNO yang masih setia kepada 17 cawangan-cawangan tersebut.

Namun begitu Setiausaha UMNO Negeri, Azhar Ibrahim (gambar kiri) turut menyatakan keputusan yang telah diambil oleh Perhubungan UMNO Negeri bukanlah untuk menganiayai mana-mana ahli UMNO dalam bahagian Jelutong, sebaliknya adalah bagi kebaikan dan masa depan UMNO.

Mereka telah diserapkan untuk menjadi ahli kepada 25 cawangan UMNO yang sedia ada. Walaupun begitu, persoalan yang timbul di sini oleh 17 cawangan yang didakwa masih wujud - atas alasan apa mereka tidak dibenarkan untuk aktif dan mewujudkan semula cawangan-cawangan yang ada?

Mereka juga mendakwa berlakunya ketidakadilan apabila hak mereka dinafikan dengan membiarkan hanya 25 cawangan yang sedia ada diaktifkan sedangkan ketakutan sudah jelas terbayang pada kepimpinan bahagian kerana dengan aktifnya 17 cawangan tersebut akan menggugat kepimpinan bahagian yang ada.

*Nazar Hashim ialah penulis khas untuk MerdekaReview.

Baca Seterusnya......

Isnin, 16 Ogos 2010

Mahasiswa: Eloklah Shabery terbuka macam Saifuddin

Oleh Mohd Nasir Awang

Setakat ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah masih istiqommahasiswaah dengan sikap dan komitmennya memperjuangkan peraturan lebih terbuka untuk aktivisme mahasiswa. Selaku bekas aktivis pelajar di zaman kampus dulu, beliau sendiri tentu lebih maklum dengan kekangan dan kongkongan yang sekian lama dihadapi warga kampus, terutama dalam menyatakan pendirian politik masing-masing.


Kebetulan pula beliau kini berada di tapak yang amat bersesuaian dengan kecenderungan pemikirannya. Kementerian dijaganya membolehkan beliau merealisasikan hasrat mewujudkan suasana lebih liberal dan adil untuk pembinaan insan lebih kreatif dan cemerlang di kampus-kampus institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Perkembangan semasa yang memungkinkan pemimpin mahasiswa IPT menyatakan sikap secara terbuka turut membantu mempercepatkan pencapaian hasrat itu. Sebab itu apabila ada kumpulan mahasiswa menyatakan persetujuan membenarkan mereka terbabit dalam parti politik, ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ buat Saifuddin.

“Saya menyambut baik resolusi ini. Jadi, kita akan mempertimbangkan cadangan berkenaan berikutan ia dipersetujui dan mewakili suara mahasiswa IPTA itu sendiri,” media pada Selasa (10 Ogos) memetik katanya.

Beliau mengulas penyerahan resolusi daripada wakil pemimpin mahasiswa mewakili 20 IPTA pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar dua hari sebelumnya. Menerusi resolusi itu, mahasiswa mengambil kata sepakat bersetuju mereka dibenarkan terbabit dalam parti politik.

“Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin Perlembagaan. Selain itu, ia penting untuk mematangkan demokrasi kita,” ulasnya lagi.

Tidak syak lagi, secara idealnya pandangan dan pendirian sebegitulah yang amat kita harapkan. Kehidupan kampus sering dianggap platform terbaik menggilap bakat kepemimpinan yang diharapkan menjadi pelapis teraju masyarakat dan negara.

Untuk itu sudah sepatutnya sebarang kongkongan terhadap aktivisme dan idealisme siswa ditiadakan. Mereka perlu didedahkan dengan perkembangan “dunia luar”. Selaku juru bicara ummah dan ejen perubahan masyarakat, mahasiswa perlu diberi ruang menyelami keluh-kesah rakyat.

Tidak dapat tidak, secara adilnya mereka perlu diberi kebebasan memilih dan menzahirkan kecenderungan politik masing-masing. Malangnya, keterbukaan dan sikap lapang dada ditunjukkan Saifuddin itu gagal dikongsi pemimpin lain.

Biar pun secara zahir para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, menampakkan kesediaan mewujudkan kelonggaran dituntut mahasiswa, ia bukan kebebasan sepenuhnya. Kebebasan dibayangkan itu tidak akan menyebabkan mahasiswa terlalu berani menzahirkan sikap anti-establishment, yang merugikan parti pemerintah.

Sebab itu di saat gelombang kebangkitan rakyat menuntut keizinan lebih luas kepada penjawat awam dan warga kampus melibatkan diri dalam politik kepartian semakin memuncak mutakhir ini, sikap sebilangan pemimpin negara tidak sealiran dengan kecenderungan rakyat itu.

Bahkan, ada menteri tergamak membangkitkan isu kononnya parti pembangkang membelanjakan puluhan juta ringgit bagi menjayakan program merekrut mahasiswa. Umpamanya, PAS didakwa menjadikan pelajar Malaysia di Mesir sebagai ‘kilang’ untuk melahirkan pemimpin dan pendokong parti itu.

“Ini kerana mereka melihat Mesir tempat paling subur untuk meraih sokongan dalam kalangan pelajar Malaysia, dan juga sedikit di England,” media pada Ahad (8 Ogos) memetik kebimbangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, partinya tidak pernah mengeluarkan duit untuk mengadakan program dengan pelajar di luar negara.

“(Perjuangan di atas dasar) kebenaran tidak memerlukan wang. Sebaliknya, jika memang benar terdapat pelajar di luar negara yang memilih perjuangan PAS, itu menunjukkan golongan cerdik pandai sentiasa bersama parti ini,” ulasnya sinis.

Namun isu lebih utama di sini ialah kegagalan Shabery berfikir secara terbuka dan bersikap adil, terutama berhubung peluang sama rata antara parti-parti politik dalam mendekati warga kampus, dalam mahu pun luar negara. Maksudnya, di saat parti kerajaan menikmati ruang dan peluang seluasnya mengadakan berbagai program mendekati mahasiswa, apakah masih wajar untuk BN-Umno berdengki dengan sokongan diterima parti lawan?

“Yang rekrut (mahasiswa) sebelum ini adalah Umno dan bukannya kita (PAS). Umno yang rekrut untuk tubuhkan Kelab Umno,” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Baginya, penubuhan Kelab Umno Luar Negara, terutama di Amerika Syarikat, Britain dan Mesir adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sudah lama dibolehkan aktif politik, tetapi hanya untuk Umno.

Ketidakadilan ini antara perkara yang mengganggu Saifuddin sejak dulu. Sebilangan tulisannya sarat dengan pandangan meliberalisasikan peraturan, terutama berkaitan perjalanan pilihan raya kampus.

Sebab itu apabila ada dakwaan kononnya kumpulan mahasiswa tertentu dalam pilihan raya kampus dibantu pihak luar dalam kempen mereka, beliau mendesak ia dinilai secara lebih adil.

“Siapa pihak luar dimaksudkan itu? Bagi yang memahami politik kampus, lazimnya pihak luar itu ditujukan kepada pembangkang. Bagaimana jika pihak luar itu turut membabitkan orang kerajaan?”, soalnya menerusi kolum beliau dalam sebuah akhbar arus perdana, 23 September 2006.

Kita percaya Saifuddin sendiri sedia maklum betapa Umno jauh lebih ke depan dalam mempengaruhi politik kampus berbanding pembangkang. Justeru, di mana adilnya jika kecenderungan politik di kalangan warga kampus dibataskan hanya untuk kepentingan BN-Umno.

Tidak syak lagi pemikiran terbuka sebegitu tidak dikongsi rakannya dalam Umno. Justeru, ada baiknya beliau memperturunkan sedikit pemikiran sebegitu kepada yang lain, terutamanya Shabery.

Baca Seterusnya......

Ahad, 15 Ogos 2010

Pakatan bersiap tawan semula Perak

Oleh Abd Syukur

Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi dan setiap kali pilihan raya rakyat berhak sepenuhnya menentukan parti mana yang akan diamanahkan membentuk kerajaan. Oleh itu, Pakatan Rakyat, khususnya di Perak tidak mustahil, malah mempunuyai peluang cerah untuk berkuasa kembali selepas PRU Ke-13 kali ini.

Kerajaan BN Perak yang ada sekarang, bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi hasil ‘rampasan kuasanya’ yang paling kotor terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah dipilih secara demokrasi dalam PRU Ke-12 lalu.

Sejak tercetusnya ‘Gelora Perak’ ini, pelbagai pihak menuntut Kerajaan BN supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan mengadakan pilihan raya baru Dun, namun dengan segala ketakutan kerajaan pimpinan Zambry itu menolak kerana mereka tahu bahawa pilihan raya semula di Perak akan mengakhiri riwayat kerajaannya di negeri itu.

Namun masa tidak memihak kepada ‘kerajaan Zambry’ justeru Pilihan Raya Umum Ke-13 itu akan tiba juga akhirnya, boleh jadi 24 bulan lagi, atau lebih cepat dari itu. Ini sudah pasti semakin menakutkan kerajaan Perak yang ada sekarang.

Oleh itu semakin dekat pertarungan itu semakin menakutkan mereka, bahkan kerajaan BN Pusat sendiri menghadapi tempoh itu dalam dalam keadaan semakin cemas.

Ini berikutan beberapa isu yang sama sekali tidak menolong BN untuk menghadapi PRU Ke-13 itu. Pertama harga barangan yang terus meningkat – yang tidak mampu ditampung oleh rakyat, menyebabkan keadaan inflasi meningkat.

Kedua, pelaburan luar negeri yang semakin merosot dengan tidak ada pelaburan baru menyebabkan kedudukan ekonomi negara sangat tidak menentu.

Ketiga, kegiatan rasuah – besar dan kecil – sangat berleluasa, seperti tidak terkawal, di samping projek membazir dan ketirisan serta berlakunya salahguna kuasa oleh pelbagai pihak.

Keempat, isu perkauman yang ditiupkan oleh golongan dan tokoh politik tertentu serta disemarakkan lagi oleh media tradisional milik Umno/BN telah gagal memancing sentimen rakyat untuk menyokong Umno/BN. Malah penduduk luar bandar sendiri, termasuk di kawasan Felda, sudah memperlihatkan tanda-tanda perubahan pemikiran mereka di mana mereka mula sedar dengan cengkaman harga barang naik, semakin sukarnya menampung keperluan hidup. Pada ketika yang sama mereka melihat pemimpin negara hidup bermewah-mewah dengan banglo-banglo mewah, pelbagai kerata besar, hidup berlagak dan pembaziran berlaku di sana sini.

Semua ini membina kebencian rakyat kepada Umno/BN dan ini akan diterjemahkan melalui peti undi dalam PRU Ke-13 nanti.

Mengetahui ini semua, pemimpin Umno/BN seluruh negara, khususnya di Perak sangat cemas dengan keadaan ini, menjadikan saat menghadapi ilihan raya ini menjadi hari-hari yang sangat menakutkan mereka.

Bulan lalu saya berada di Perak, meninjau sebanyak sedikit suasana di sana dan menyaksikan kerja keras PAS Perak di bawah pimpinan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husain dan orang kanannya, Ir. Nizar Jamaludin serta pimpinan negeri yang lain. Mereka berazam untuk menawan semula negeri Perak dalam PRU Ke-13. Harapan ini nampaknya cerah.

Baru-baru ini PAS negeri itu telah mengadakan Konvensyen Ke-15 di Dewan Kutien, Ayer Tawar yang berakhir dengan semangat baru PAS Perak bagi menawan semula negeri itu dari Umno/BN. Konvensyen dirasmikan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Ucapannya banyak menyentuh dalaman parti yang perlukan kekuatan baru dengan penglibatan semua unsur yang boleh membantu PAS dalam menerajui kembali kepimpinan politik Perak dan negara.

Ucap utama Pesuruhjaya PAS Perak disampaikan oleh Datuk Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak disebabkan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husein tidak dapat hadir konvensyen kerana keuzuran isteri beliau yang sedang dirawat di Hospital Besar Ipoh. Ucap Utama yang bertemakan ‘Islam Adil Untuk Semua – Perspektif PAS Perak’ menggariskan beberapa perkara yang menjadi hala tuju PAS Perak untuk menawan kembali negeri itu.

Beberapa aspek pembinaan tarbiyyah dan penyebaran dakwah ditekankannya sebagai aspek dalaman yang sangat penting. PAS Perak juga disaran melebarkan jaringan dakwah dengan lebih meluas bagi memahamkan rakyat bukan Islam mengenai keadilan Islam.

Persiapan menghadapi Pilihanraya Ke-13 juga menjadi fokus utama PAS Perak bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan semula dalam PRU Ke-13 itu.

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden pula disampaikan oleh Datuk Dr. Mahfuz Mohamd, AJK PAS Pusat yang juga Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Munaqasyah menggariskan beberapa langkah yang perlu dibuat oleh semua peringkat parti bagi merealiasikan Ucapan Dasar Presiden.

Konvensyen bertambah menarik dengan penglibatan perwakilan dalam membahaskan Ucap Utama Pesuruhjaya. Banyak isu disentuh oleh perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Konvensyen juga turut didedahkan oleh pengkaji sains politik dari Ilham Centre iaitu hasil dari dapatan kajiannya mengenai kecenderungan rakyat dan pengundi terhadap PAS dan juga PR di Perak selepas PRU ke 12.

Dapatan kajian tersebut sangat memberi makna kepada PAS Perak dalam meneruskan langkah perjuangan ke arah kemenangan besar dalam PRU akan datang.

Kemuncak konvensyen ialah pengisytiharan tujuh resolusi yang dijadikan ikrar semua peserta konvensyen bagi memastikan ia dilaksanakan di lokasi masing-masing.

Demikianlah persiapan PAS Perak yang sangat menjanjikan.
Baca Seterusnya......

Sabtu, 14 Ogos 2010

Umno Kedah Dan Kencing Tikus

Oleh Azizi Abdullah

Salah satu Lata di Kedah dipercayai dijangkiti kuman ’phatogenik leptopspira’ atau kencing tikus. Entah apa bendanya phatogenik leptospira, sama dengan kita jarang tenguk tikus sedang kencing.

Kencing ialah perbuatan makhluk membuang air kecil, baik secara beradap atau tidak beradap. Anjing kencing pakai angkat sebelah kaki. Kucing juga kengkiang kaki sebelah lalu pancut di tayar kereta atau di tepi pasu bunga. Gajah kencing sampai bertimba-timba airnya yang mungkin kalau lima ekur kencing sekaligus, kawasan mereka akan banjir

Tapi anihnya tak pula timbul penyakit ‘kencing anjing, kencing kucing, kencing gajah.’

Ada pepatah Melayu yang tak rasmi;

‘Dia dah kencing aku’.
‘Sudah berapa ramai orang yang kena kencing dengannya’.
‘Bahagian itu pun kena kencing’.

Ertinya apabila ditipu, dilangsam, tidak menunaikan tanggung jawab, lari dari membayar hutang, memberi erti perkara yang tidak baik, timbullah kata sindir dengan perkataan ‘kencing.’

Rupa-rupanya ‘kencing’ ini berlaku pula dalam politik dan sesebuah kerajaan yang ditadbir oleh orang-orang politik. Apabila saman ekor menjadi isu di mana-mana melibatkan orang politik masuk campur, tiba-tiba ‘kencing’ rupa-rupanya digunapakai oleh sebahagian orang.

Menteri Besar Kedah dalam kenyataan akhbar baru-baru ini kesal kerana saman ekor yang bernilai lebih RM390,000 adalah hasil dari kerajaan Umno Kedah sebelum Pas memerintah 2008, yang tidak membayar saman-saman tersebut sehingga menyukarkan kerajaan kini menukar lesen kenderaan yang baru dibeli.

Ya Tuhan, Mat Setapa dari Gunung Keriang tersentak badak, terkejut kera. “Kerajaan Umno Kedah pun kencing?” katanya lalu dia tergelak sampai nampak anak lidahnya terkodek-kodek. ”Agensi kerajaan saman agensi kerajaan. Kemudian pula agensi kerajaan kencing agensi kerajaan,” katanya dengan gelak serentak satu kedai di kedai nasi gulai ikan temenung di tepi jalan itu.

RM390,000 bukan banyak mana sangat bagi sesebuah kerajaan yang suka membazir dan bagi kerajaan yang tidak perihatin dengan wang rakyat.

Malangnya apabila pihak yang menyaman mengeluar kenyataan, kita rasa bukan bertujuan khusus kepada ‘parti dan kerajaan Umno’ yang telah ‘kencing’ mereka, tetapi mungkin secara kebetulan.

Mungkinkah akan keluar lagi kenyataan betapa ‘kencing’ ini dikengkiang oleh kucing-kucing di negeri lain, khususnya negeri Pakatan Rakyat? Masakan derebar-derebar di Negeri Kedah saja yang loklaq, yang membawa kereta macam hambat babi hutan di rimba Sik?

Apapun yang cukup kita kesal apabila mantan Menteri Besarnya, orang yang paling atas bertanggungjawab dalam semua hal pentadbiran tidak tahu menahu akan ‘kekencingan kencing’ sama ada ia benar-benar kencing atau terkencing atau mengencing atau kencingkan!

Dalam jawapan beliau di Sinar Harian keluaran Jumaat 6 Ogos 2010, beliau berkata yang beliau tidak mengetahui ada tunggakan saman ekur RM390,000 yang direkodkan sepanjang tempoh kerajaan Umno/BN memerintah. Ertinya sepanjang Umno/BN memerintah Kedah, saman ekor ini selalu ‘dikencing’ oleh pemerintah Umno/BN. Anehnya kencing-kencing ini tidak hangit, tidak harin, tidak bengit kerana ia dipancut dari pancutan mahluk-makhluk terbaik dan ditakuti.

Sekali lagi kita boleh persoal ‘ketelusan’ dan kejujuran pihak berkenaan. Misalnya berapa lama sudah Umno/BN Kedah memerintah? Kenapa tahun ini baru timbul saman seperti itu?

“Hahhhh, nampak sangat depa tak terpikir yang kencing itu termasuk kerajaan Umno/BN!” kata Pak Su Li dari Kampung Sala kepada bininya yang baru berhenti dari guru Kemas.

Saya tidak nampak saman ekor ini sebagai satu agenda tertentu. Hanya sanya kemungkinan sebagai satu tuntutan mudah kepada rakyat kerana perihal saman menyaman kesalahan trafik ini hanyalah penunggang motosikal yang membawa ikan kering dari Tanjung Dawai ke Alor Setar, pemandu kereta sapu dari Yan ke Sungai Petani atau kereta Proton dari Bukit Kayu Hitam ke Butterworth.

Maka apabila berlaku kepada ikan jerung, datuk dan tan sri, kepada Pegawai Wisma, kepada KCS atau yang memiliki kad kerja sebesar tapak tangan, betapapun saman ekor ini berkeping-keping, ia bisa di ‘lap kencing’ mereka dan seakan-akan saman mereka tidak ‘lut.’

Malangnya pihak yang mengeluar saman ekor ini tidak membuat tapisan atau kaji selidik tentang saman ekor yang hendak dikeluarkan. Misalnya kepada siapa? Kalau kajian ini dibuat mungkin terdapat ramai yang kencing dalam pentadbiran Umno/BN di Kedah ini dan ia boleh di ’lap’ atau di basuh dengan cepat kerana jenis kencing ini dianggap najis ‘mukhaffafah.’

Lebih malang lagi apabila mantan Menteri Besarnya menjawab secara lepas tangan. Mengapa melepas tangan tentang ‘kencing’ kencing pegawai-pegawai di bawah pentadbirannya. Teluskah jika begini?

Apakah akan ada pegawai-pegawai memberi tahu yang dia ‘kencing’ atau ‘terkencing’ di jalan raya? Kalau ada nampak sangatlah pegawai-pegawai seperti ini ‘besear’ (penyakit kencing kerap)

Orang yang gentleman, atau yang berpegang kepada prinsip ketelusan, orang yang berpegang kepada ‘tanggungjawab’ ialah orang yang sanggup mengakui tentang kesalahan sendiri. Apakah Mantan Menteri Besar ini fikir Mat Taha atau Wak Derani dari pekan kecil atau kampung hulu saja yang melanggar undang-undang jalan raya?

Kita sangat kesal hal ini kerana Mantan Menteri Besarnya seperti cuci tangan. Apakah cuci tangan dan terkena percikan pancutan kencing ini menjadi budaya pemerintah Umno/BN?

Kelantan adalah contoh terbaik untuk membuat kajian bagaimana kencing yang dilakukan oleh Umno/BN. Selangor, isu yang timbul sekarang adalah dari kencing-kencing tak terbasuh yang pernah dipancut oleh pemerintah Umno/BN. Manakala Perak, merupakan satu-satunya negeri yang pintar. Tidak sempat timbul kencing ini kerana mereka sangat pintar mengencing Pas dan DAP sampaikan speakernya dicempung terkencing-kencing.

Demikianlah antara kencing dalam saman ekor dengan kencing tikus.

-Seorang Ibu Mithali dari Kemas kata; Azizan baik. Dia tentu bayar saman ekor tu.
Baca Seterusnya......

Jumaat, 13 Ogos 2010

SALAM RAMADHAN

KETUA DPPKKP

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN.... Ramadhan datang lagi... ALhamdulillah Ya Allah... Kau telah sampaikan jua sang hina ini pada Bulan Ramadhan yang mulia ini... semoga Ramadhan pada tahun ini menjadi yang terbaik buat kami (DPPKKP)

Buat semua pendokong PAS dan Pakatan Rakyat khasnya dan seluruhnya umat Islam amnya kami mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan semoga dipermudahkan dalam menjalani ibadah Puasa. Insya Allah... Marilah sama-sama kita berlumba-lumba dalam mendapatkan ganjaran yang allah telah janjikan dalam Bulan Pesta Ibadah ini...

Cuma apabila membaca posting oleh Rakyat Marhaen bertarikh 10/8/2010 bertajuk PEMBELA, PEMBELOT ATAU PEMBELIT???? rasa tersentuh hati ini seakan-akan kemelut PAS Kubang Pasu sakan tiada kesudahan... ALLAH... beratnya tangan ini untuk menulis... namun KULILLHAQ WALAUKANAMURRAN... kebenaran mesti dipertuturkan... wallahu`alam... kami merasakan kebanyakan fakta-fakta yang diutarakan oleh penulis hanyalah pendangan peribadi sebelah pihak sahaja dan ia tidak menyatakan kejadian sebenarnya... dalam ertikata lain ianya FITNAH...

Pertama... kami memohon penulis menceritakan suasana sebenar yang berlaku dengan mengambil pandangan dari semua pihak terutamanya DPPKKP... yang mana juga disebut dalam artikel tersebut... sebab apa yang didedahkan oleh Ketua Pemuda sewaktu penggulungan semasa mesyuarat agong PAS kawasan tidak dinyatakan keseluruhannya... juga berkaitan mesyuarat Agong DPPKKP yang dikatakan tidak berjalan seperti yang sepatutnya... bagaimana pulak sepatutnya mesyuarat agong DPPKKP berjalan?...

Kedua... tunjuk lah diri sebenar anda kepada kami, jangan asyik nak menyalak sakan ja... rasanya dulu pun kami dah ajak duk semeja bincang berkaitan isu yang dibangkitkan... rasanya takdak lah pulak yang mai pasai perkara ni... ingatkan dah habis dah... tup3x... mai lagi pulak dah... mai la teguq kami berdepan... kami tahu kami ni banyak salah dan tak pandai nak urus DPPKKP ni... mai la bantu apa yang boleh... beri cadangan yang membina... kalau takut nak berhadapan dengan semua AJK tuju lah sapa2 pun dalam AJK DPPKKP ni... insya Allah kami akan cuba dengar teguran walaupun dengan kaedah mengacukan senjata kearah kami... Insya Allah...

Ketiga... kami harap sudah2 lah ungkit bende2 yang tak berfaedah ni... bukan ada apa faedah pada perjuangan PAS pun... atas kepentingan peribadi adalah... yang buruknya jamaah... rasanya PEMBELA dah tak guna blog dah nak hentam2 ni... jangan bangkitkan fitnah... sesungguhnya fitnah itu sedang tidur... wallahua`lam...

akhir kalam, harapan kami semoga cerita ini cukuplah setakat ini... adakalanya kebenaran itu pahit... jangan sampai terkena atas diri sendiri apabila kebenaran terbongkar nanti... belajarlah jadi orang yang bertangungjawab...wallahu`alam
Baca Seterusnya......

Khamis, 12 Ogos 2010

Islam Umno hanya di bulan Ramadan?

Oleh Anak Sengat

Kenyataan Noh Omar semalam mendedahkan siapa sebenarnya kumpulan anak muda yang mendesak kerajaan Selangor menutup pusat judi dan pusat maksiat lain di Selangor.

Memang selamanya PAS konsisten menentang perkara Mungkar dan maksiat yang berlaku. Selamanya PAS tidak pernah berubah menentang perkara mungkar. PAS telah buktikan di negeri yang PAS kuat dan memerintah seperti di Kelantan.

Kejayaan TG Nik Aziz memeimpin dan menjelmakan Islam di Kelantan tidak pernah dipertikai oleh sesiapa. Kelantan adalah jelmaaan dan ukuran prinsip yang diperjuangakan oleh PAS. Bukan hanya di bulan Ramadhan. Mungkin Noh paham Islam hanya di bulan Ramadhan..bulan lain tak pe sekalipun jadi setan.

Namun usaha TG Nik Aziz di Kelantan bukan mudah. Umno adalah penghalang utama kerajaan Kelantan. Umno mendiskriminasi Kelantan lebih dari anak tiri atau anak Haram. Pembangunan di Kelantan disekat. Bantuan diberi melalui JPP. Umno menubuhkan kerajaan dalam kerajaan.

Ketika TG Nik Aziz mengistiharkan untuk mengawal penjualan arak, MCA sekutu dan rakan sepertubuhan Umno melancarkan kempen minum arak besar besaran. Namun kempen itu dibatalkan apabila respon selamba TG yang akan memberi ruang dan tempat untuk kempen itu minum arak sampai pecah perut. Umno dan NOh menikus.

Selangor adalah negeri Pakatan Rakyat. Bukan negeri PAS. Ia memerlukan masa kerana Pakatan Rakyat baru berusia belum sepenggal. Bukan mudah memahamkan isteri yang baru dikahwini tanpa cinta dan berkasih seperti Umno dengan sekutunya. PAS terpaksa mengambil masa dalam menjelaskan erti Islam kepada rakan yang bukan Islam dan saki baki Umno yang telah bersama Pakatan Rakyat.

Masalah yang berlaku sekarang adalah kerana tinggalan Umno. PAS ibarat berkahwin dengan janda Umno. Janda yang Umno tinggalkan di kelab malam. Kerja utama PAS ialah menyelamatkan janda umNO dari kelab malam . Itu keutamaan.Umno sebenarnya cemburu bile jandanya sanggup tinggalkan kelab malam dan Umno tak dapat ambil kesempatan lagi terhadap jandanya kerana Umno adalah pengunjung tegar kelab malam tersebut.

Bukan mudah bagi PAS membersihkan karat Umno yang melekat dalam pemikiran rakyat hasil usaha Umno selama lebih 50 tahun. Umno mendidik rakyat dengan segala macam kerosakan hingga minda rakyat penuh dengan karat biru.

Faham sekular yang memisahkan politik dengan agama pun memakan lebih 40 tahun untuk dibersihkan,itupun masih ada saki bakinya.

Ketika Rasulullah membuka dan menguasai Kota Mekah, Baginda berhasrat meruntuhkan Kaabah dan membina binaan asal seperti zaman Nabi Ibrahim dan Ismail namun menangguhkannya atas alasan orang Mekah baru memeluk Islam.

Begitu juga Umar Abd Aziz yang ditegur oleh anaknya kerana lambat membuat perubahan... semuanya adalah kebijaksanaan dan contoh junjungan Agong Rasulullah.

Sebagaimana susahnya membuang karat Jahiliyyah dari orang Mekah , begitu jugalah susahnya mengikis karat Jahiliyyah Umno di Malaysia. Dengan kerja Umno, orang Melayu dah tak tahu mana agama mana bukan selain sembahyang.

Sebenarnya kerja mengharamkan maksiat itu adalah mudah jika ia dilaksanakan oleh Pusat yang dipimpin oleh Umno. Umno miliki jentera penguatkuasa seperti polis dan sebagainya. Kuasa di negeri amat terhad. Umno sedar semua itu. Namun Noh hanya berkokok dalam gudang maksiat yang diminta dihapuskan. Sebenarnya Umnolah penaja semua maksiat itu.

Sebenarnya Umno sangat berdendam dengan PAS apabila kempen yang dilancarkan PAS khususnya oleh Pemuda hingga judi sukan yang diharapkan menjadi dana besar Umno gagal dilaksanakan. umNO sangat marah.

Saya sangat yakin PAS akan mendesak dan sedang mendesak rakannya di Selangor dan di mana juga mengharamkan segala maksiat jika Umno yang menjadi ibu maksiat memulakannya.
Baca Seterusnya......

Selasa, 10 Ogos 2010

Hayati keajaiban Ramadan

Oleh ZUARIDA MOHYIN
PERUMPAMAAN orang yang sedang berpuasa itu seperti berada di dalam kepompong yang digunakan oleh penulis buku, Keajaiban Ramadan, Jaafar Siddiq, begitu bertepatan memandangkan bulan Ramadan adalah salah satu latihan terbaik dalam membentuk keperibadian Muslim yang bertakwa.

Malah tegas Jaafar, umpama ulat yang asalnya tidak cantik namun apabila membentuk kepompong dan kemudian keluar sebagai rama-rama yang cantik.

Begitu jugalah disarankan kepada orang yang berpuasa agar selalu beribadat mengucapkan zikir kepada Allah sehingga membentuk diri yang jauh lebih baik dan jiwa menjadi cantik.

Justeru, katanya lagi, bagi mencapai kesempurnaan dalam ibadat sepanjang bulan Ramadan, Muslim perlu melakukan persiapan lahir dan batin. Ia perlu dimulai dengan persiapan fizikal, diikuti dengan memastikan kebersihan hati.

Lazimnya keindahan Ramadan itu ditampilkan dalam bentuk ruang keampunan yang disediakan dalam 10 hari pertama, siraman rahmat dan keberkatan pada 10 hari kedua dan dijauhkan daripada emosi api neraka dalam 10 hari terakhir.

Kemuncak pada keindahan itu adalah tawaran bagi mengecapi nikmat ibadah yang tidak ternilai iaitu Lailatul Qadar.

Ramadan juga menjadi istimewa berbanding bulan-bulan lain disebabkan oleh amalan berpuasa. Tempoh sebulan berpuasa datang dengan 1,001 keajaiban yang memberikan impak positif kepada kesihatan tubuh badan manusia.

Pun begitu, adakah setakat itu sahaja keindahan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh Ramadan? Atau ada keistimewaan lain yang membuktikan wujudnya 1,001 keajaiban yang dijanjikan Allah SWT kepada umat Islam dengan kehadiran Ramadan tidak lama lagi?

Lantas buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. yang berjudul, Keajaiban Ramadan ini berusaha membongkar persoalan di atas ini.

Ia membongkar keajaiban yang tersembunyi di sebalik keagungan dan kemuliaan Ramadan seperti; sejarah Ramadan, peristiwa-peristiwa bersejarah yang terjadi pada bulan Ramadan, fadilat Ramadan, keistimewaan Ramadan, proses pensyariatan Ramadan, keberkatan, keajaiban berpuasa pada bulan Ramadan dan keajaiban Ramadan dalam memberikan kesan kepada intelektual, fizikal dan emosi umat Islam.

Kesemua ini digabungkan dalam enam bahagian iaitu Bahasa dan Sejarah Ramadan, Peristiwa yang Terjadi Kepada Nabi dalam bulan Ramadan, Keutamaan dan Hikmah Ramadan, Bulan Ramadan dan Hukum-Hukumnya, Keajaiban-Keajaiban Puasa Ramadan dan Kita Bertanya, Ulama Menjawab. Malah dalam keenam-enam bahagian ini ia merangkumi 20 bab berkaitan tajuk masing-masing.

Menurut penulisnya, Keajaiban Ramadan adalah merupakan buku ketiganya selepas buku berjudul, Puasa sebagai Terapi oleh Mizania Bandung (2006) dan Puasa Isnin Khamis oleh Surya Media (2010).

Kenyataannya, Ramadan amat istimewa bagi umatnya yang merindukan kehadiran bulan serba indah dan mulia ini dan bagi mereka yang mahu menyucikan diri.

Oleh itu, jika anda adalah kategori di atas ini, maka manfaatkanlah buku ini sebagai alternatif dalam menambahkan maklumat serta pengetahuan mengenai keajaiban Ramadan itu. Selamat Berpuasa!!!
Baca Seterusnya......

Rabu, 4 Ogos 2010

Polis Kembali Jahat

Oleh Mohd Sayuti Omar

AKHIR-AKHIR ini ada bangkiti semangat dari Polis Di Raja Melayasia (PDRM) untuk bertindak tegas menghalang ceramah Pakatan Rakyat dan juga menghalang orang ramai daripada menghadiri ceramah berkenaan.

Tindakan itu bukan saja setakat minta bersurai dengan lound speaker, tetapi ada yang ditangkap dan disumbatkan ke dalam balck maria. Apakah selepas ini akan ada yang dihadap ke mahkamah atas tuduhan menghadiri perhimpunan haram?

Terbaru kejadian upacara membakar lilin sebagai membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di beberapa tempat malam tadi telah 'diganggu' polis. Polis bertindak tegas menghalang orang ramai menghadirinya.

Di Petaling Jaya 30 orang yang menghadiri majlis itu ditangkap. Begitu juga perhimpunan di Penang, Ipoh dan Kota Bharu juga turut dihalang.

Semalam Himpunan Keluarga Felcra di Pasir Salak, Perak juga dihalang dan diganggu oleh polis. Lebih 30 orang telah ditangkap. Jalan menuju ke tapak himpunan disekat polis. Sebelum daripada itu ceramah membabitkan Anwar Ibrahim di Rengit, Johor juga diganggu polis dan ada yang kena tangkap.

Nampaknya polis sudah kembali jahat semula. Sewaktu Abdullah Ahmad Badawi jadi PM perangai polis nampak elok dan baik sedikit. Abdullah memberi ruang luas kepada pembangkang. Masa itu tidak berlaku polis menyekat orang ramai menghadiri ke tempat ceramah pembangkang.

Perangai polis di zaman Mahathir Mohamad yang dibenci dan dicemuh dulu lenyap seketika bila mana Abdullah jadi PM. Kini setelah Abddullah tidak menjadi PM, polis tiba-tiba jadi naik angin semula kembali kepada perangai lama.

Apakah sikap tegas polis yang kelihatan rakus dan kejam ini menandakan pilihan raya sudah hampir tiba. Ataupun keadaan BN kini benar-benar terdesak. Apakah sokongan rakyat kepada BN sudah berkurangan. Ataupun slogan 1 Malaysia tidak memberi apa-apa bekasan melainkan digunakan oleh para peniaga dan pembodek politik saja bagi mengasyikan Najib semata-mata?

Pada saya tindakan kasar dan tegas polis kepada Pakatan itu tidak memberi untung banyak mana kepada Umno. Tindakan menghalang ceramah Pakatan dan menangkap orang berhimpunan boleh menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan. Ia boleh membukkan imej Najib sebagai PM yang mengutamakan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Di masa dunia mengamalkan langit terbuka, medaulatkan kebebasan bersuara UBN tampaknya mahu terus mahu mengunci mulut rakyat. Mungkin mulut boleh dikunci, tetapi hati rakyat tidak siapa dapat memenjarakan mereka. Tubuh boleh dipenjara tetapi minda mereka tetap akan memperotes kerajaan. Sepatutnya UBN lawan Pakatan Rakyat dengan hujah dan fakta.

Kalau kerajaan (UBN) mahu rakyat menyokong mereka usah buat apa-apa yang menyakit dan menganiyaa rakyat. Menghalang rakyat untuk mendapat maklumat salah satu tindakan menganiyakan mereka.

Kalau UBN rasa rakyat tidak minat dengan majlis ceramah dan penerangan mereka, UBN kena kaji secara rasional. Kenapa rakyat menolak mereka? Cara media massa memuji hingga ke langit pihak UBN dan mencincang lumut Pakatan salah satu punca kenapa rakyat membenci UBN. Cuba UBN bersikap adil dan terbuka mungkin rakyat ada simpati kepada mereka. Dengan cara mereka lakukan kini ia menyebabkan rakyat semakin muak dan terjeluah bila menyebut UBN.

Adakah silap kalau UBN merasakan sikap keras dan tegas polis itu boleh membantu mereka!

msomelayu.blogspot.com
Baca Seterusnya......

Ahad, 1 Ogos 2010

Mat Sabu: Jangan terpedaya dengan dakyah UMNO

Oleh Nazar Hasim

Kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional sengaja mencari kesalahan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, malah mensensasikan isu pasir di Selangor dan Pulau Pinang untuk memberi imej buruk terhadap kerajaan PR, kata Mohamad Sabu, ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika mengulas isu kecurian pasir di Pulau Pinang, semalam.

"Cuba kita lihat bagaimana pelbagai bentuk tribulasi yang dilakukan oleh UMNO dan BN di negeri-negeri yang diperintah oleh Kerajaan PR bagi menyalahkan Kerajaan Negeri yang tidak dipimpin oleh mereka," kata Mohamad Sabu

"Isu pasir di Selangor dan di Pulau Pinang cuba mereka sensasikan. Pelbagai tuduhan dan dakwaan yang mereka lakukan semata-mata bagi memberi imej buruk terhadap kerajaan negeri yang diterajui oleh PR." Beliau berkata sedemikian di depan khalayak 4000 orang, yang menghadiri ceramah di Kompleks Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam, semalam.

Beliau menambah, "Mereka cuba menyifatkan kepimpinan Kerajaan PR adalah lemah dan tidak kuat. Namun begitu saya yakin rakyat kini bukan lagi mudah ditipu oleh Kerajaan yang diperintah oleh BN."

UMNO main sentimen perkauman

Sementara itu, Mohamad Sabu juga menyelar kepimpinan UMNO yang sentiasa memainkan sentimen perkauman terutamanya dalam isu yang melibatkan masyarakat Melayu.

"Seringkali mereka mengatakan sekiranya UMNO kalah dan hilang kerusi dalam pilihan raya maka kuasa dan politik Melayu akan hilang. Apakah mereka lupa apabila UMNO hilang kuasa di Kelantan sejak 20 tahun yang lalu apakah Melayu hilang kuasa sedangkan yang memerintah Kelantan itu adalah Melayu juga yang datangnya dari PAS?"

Mohamad Sabu menyeru, "Oleh kerana itu, rakyat jangan terpedaya dengan dakyah dan sentimen perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan BN semata-mata bagi meraih sokongan yang semakin hilang terhadap mereka. Masyarakat Melayu khususnya jangan termakan isu yang dimainkan oleh UMNO apabila mengatakan kuasa politik akan hilang sekiranya UMNO tidak berkuasa, sedangkan PAS bersedia untuk menggantikan UMNO sebagai sebuah parti untuk orang Melayu dan umat Islam di negara ini."

Kejadian curi pasir berlarutan sejak zaman pemerintahan BN

Di samping itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga menyelar kerajaan persekutuan yang menyalahkan kerajaan negeri dalam isu kecurian pasir di atas tapak Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang. Menurut beliau lagi, kerajaan negeri sukar untuk mencampur tangan dalam hal tanah milik kerajaan persekutuan, lantaran daripada halangan dan kerenah dari kerajaan persekutuan.

"Walaupun begitu, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat maka kita turut berasa terpanggil untuk mengetahui perkembangan insiden kecurian pasir di atas tapak tanah milik Kerajaan Persekutuan itu," tambahnya.

"Kejadian ini telah berlarutan sejak tahun 2002 lagi semasa negeri ini diterajui oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN). Namun begitu tiada tindakan yang diambil oleh mereka walaupun ianya telah berleluasa sekian lama. Adalah sesuatu yang menghairankan apabila mereka tidak mengambil apa-apa tindakan sejak lapan tahun yang lalu," kata Lim Guan Eng (gambar kiri) yang mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri selepas PRU ke-12, Mac 2008.

"Oleh kerana kepentingan rakyat dan masyarakat setempat adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, maka kita tetap akan memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan bagi mencari dalang sebenar di sebalik aktiviti mencuri pasir di atas tanah tersebut," janji Lim Guan Eng.

Biarpun diasak dengan pelbagai tuduhan dari media arus perdana yang dikuasai UMNO-BN, namun hadirin tetap memberi sambutan gemuruh kepada Lim Guan Eng ketika beliau melontarkan kritikan terhadap kerajaan BN, di samping mengulas bagaimana kerajaan pimpinannya memanfaatkan warga Pulau Pinang dengan dasar-dasar yang mesra rakyat.

BN adalah punca kepada apa yang sedang berlaku

Manakala Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dalam ucapan beliau menyeru agar seluruh masyarakat di Pulau Pinang supaya tidak percaya dengan pelbagai isu yang sedang dimainkan oleh BN.

Salleh Man ) berkata, banyak isu perumahan yang dibangkitkan oleh UMNO dan BN adalah untuk menunjukkan mereka prihatin terhadap rakyat walaupun sebenarnya mereka adalah punca kepada apa yang berlaku sekarang.

"Isu perumahan yang berlaku di Jelutong sebagai contoh bukannya bikinan PR. Ia telah berlaku sejak pemerintahan BN lagi. Segala macam tohmahan yang mereka dakwa mempunyai niat tertentu untuk menyembunyikan kesalahan lampau yang telah mereka lakukan terhadap masyarakat dan rakyat negeri ini."

"Apabila mereka mulai merasakan tercabar dan kuasa semakin hilang maka bagi meraih kembali dokongan yang semakin pudar itu isu akan disensasikan. Setelah mereka tidak berjaya dengan isu perumahan beralih pula kepada isu peniaga kecil. Kini mereka mainkan pula isu pasir di Balik Pulau yang ternyata berada di atas tanah milik mereka secara total."

"Dalam isu ini kita mahu mereka yang bertanggungjawab di sebalik kegiatan mencuri pasir di kawasan tersebut segera dihadapkan ke muka pengadilan. Selagi masalah ini tidak selesai maka Kerajaan Persekutuan akan sentiasa menyalahkan Kerajaan Negeri walaupun pada hakikatnya mereka sedar mengenai kejadian sebenar di atas tapak tersebut," katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Helmi Haron, Mudir Yayasan An-Nadhoh, ustaz Mutalib Maarof dan kepimpinan PR Negeri Pulau Pinang.

*Nazar Hasim ialah penulis khas untuk MerdekaReview.
Baca Seterusnya......

Pengikut