Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 23 April 2009

SAF KEPIMPINAN DPP KUBANG PASU SESI 2009/2011

OLEH :Ketua Pemuda

Salam Perjuangan....
Alhamdulillah pada 10 April yang lalu DPPKP telah berjaya melaksanakan tanggungjawab tahunan yang termaktub di dalam perlmbagan PAS. Mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan DPPKP yang telah diadakan di Dewan Restoran Hijrah. Apa yang menarik perhatian kami, sebagai saf kepimpinan sesi lalu, ialah kehadiran semula muka-muka pemuda-pemuda yang telah lama menyepi dari mendekati DPPKP.

Mungkin ini adalah satu isyarat kebangkitan DPPKP yang bakal menerajui perubahan di Kubang Pasu sendri... Wallahua`lam... Namun apa yang kita harapan gelombang ini akan membawa sesuatu yang positif terhadap perkembangan DPPKP khasnya danAS Kawasan amnya yang suram selama beberapa tahun ini. Insya Allah....
berikut adalah barisan saf kepimpinan DPPKP sesi 2009/2011
KETUA PEMUDA : SAUDARA ZULKIFLI BIN MOHD ZAINUDDIN
TIMBALAN KETUA PEMUDA : USTAZ ROSHIDI BIN MAT ISA
NAIB KETUA PEMUDA : SAUDARA KAMAN BIN JAAPAR
SETIAUSAHA : SAUDARA MOHD ZAKI
PENOLONG SETIAUSAHA : SAUDARA AZIZ BIN ABDULLAH
BENDAHARI : SAUDARA MOKHTAR BIN HAMID
KETUA PENERANGAN : SAUDARA ABDUL GHANI BIN SHAFIE
AJK : 1. SAUDARA MOHD NAZRI
2. SAUDARA ZAKIYUDDIN FATA BIN TAIB
3. SAUDARA MOHD SAHURI
4. SAUDARA AHMAD ZAMRI BIN ISMAIL
5. SAUDARA ROSHAMIZI
6. SAUDARA ABU UWAIS BIN SHUIB
7. SAUDARA WAN YUSOFIN YAAKOB
8. SAUDARA MOHD YAZI BI ABDUL RAHMAN

Diharapkan saf kepimpinan baharu ini, akan dapat membawa perubahan yang positif terhadap DPPKP khususnya dan seterusnya menjadi peneraju kepada perubahan PAS KawasanKubang Pasu... Insya Allah....


Baca Seterusnya......

Sabtu, 18 April 2009

Ingatan Buat Pemuda Dan Pemudiku..

Oleh Aris Awang

Pemuda dan Pemudi ku.

"BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan ALAMRU BIL MAKRUF WAN NAHYU 'ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SE MALAYSIA"

Petikan di atas adalah muqadimah yang tercatat di dalam Perlembagaan PAS sejak 1951.

Dan fasal-fasal yang dipetik dibawah juga adalah petikan dari Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS), untuk sentiasa kita baca dan teliti, mana tahu kita sudah dilihat tidak ikut asas yang telah dipacak kukuh oleh Ulamak sejak 1951, atau paling tidak takut tergelincir dari landasan yang dibina itu.

Fasal 3. Dasar PAS ialah ISLAM

Fasal 4. Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR

Fasal 5.

i. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah

ii. Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Fasal 6. Usaha-usaha

i. Menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

ii. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah sertakan menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Usaha-usaha yang tercatat dalam perlembagaan PAS ada sehingga 10 perkara, jika nak tahu beli buku Perlembagaan PAS di mana-mana pejabat PAS Kawasan dan baca.

Pemuda dan Pemudiku...

Kamu orang muda, kamu boleh dan akan dididik dan ditabiyyah oleh mereka yang sudah tua dan lama berjuang di dalam PAS ini yang telah menghayati asam garam perjuangan ini. Kamu masih lagi berkesempatan untuk menimba berbagai ilmu secara teori dan praktikal dari ustaz dan ustazah atau dari abang dan kakak yang lebih tua. Oleh itu timbalah ia dimana sahaja kamu berada di atas planet bumi ini dan selepas itu bersiaplah untuk memimpin generasi seusia kamu pada masa akan datang, selagi dunia ini belum kiamat. Bukan setakat menjadi pemimpin PAS malah bersedia untuk menjadi Khalifah Dunia dengan memutar kembali haluan sejarah kepada pemerintahan mengikut acuan Junjungan Besar Muhammad saw.

Untuk kamu menjadi pemimpin PAS, maka asas utama perlembagaan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah termaktub itu mestilah digarap dan hayati dengan penuh kesungguhan untuk menunaikan kehendaknya, jika tidak lemparlah sahaja perlembagaan tersebut dan kamu berjalanlah mengikut haluan kamu dan cita rasa semasa.

Pemuda dan pemudiku....

Perkara utama yang mesti diusahakan dengan bersungguh-sungguh ialah melaksanakan usaha-usaha yang termaktub didalam perlembagaan PAS. Kamu sebagai pemuda dan pemudi yang mungkin masih tiada penyakit unsur-unsur kepentingan diri dan sebagainya boleh menjadi penggerak kepada gelombang ke 3, untuk mentajdidkan kembali PAS untuk terus berada dilandasannya yang asalnya. Apakah maksud tajdid? tajdid yang aku maksudkan disini ialah memperbaharui tekad agar usaha-usaha yang terdapat di dalam perlembagaan PAS dapat diusahakan secara bersungguh, samada di negeri yang belum diperintah dan di negeri yang telah di perintah.

Cuba renung dalam-dalam dan fikir dengan penuh keimanan terhadap usaha pertama yang telah digariskan di dalam perlembagaan PAS iaitu:-

"Menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan."

Tanyalah diri kita sendiri secara jujur dan ikhlas kepada Allah swt.

1. Telahkah ianya kita usahakan secara bersungguh-sungguh untuk menjelaskan kepada umat manusia?

2. Telahkah ianya kita usahakan secara bersungguh-sungguh untuk memahamkan kepada umat manusia?

3. Telahkah ianya kita usahakan secara bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya dengan penuh keadilan kepada umat manusia?

4. Telahkah kita sendiri yakin dan menghayati dengan penuh kesedaran usaha pertama yang dianjurkan itu?

5. Apakah sekarang ini usaha itu telah dijelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada ahli-ahli baru PAS, terutama mereka yang masuk bukan melalui program kuliah, tetapi masuk atas kecewa, marah, tak puashati dan ada berbagai gelaran besar pulak dipangkal namanya?

6. Adakah aku (jika yang menjadi pimpinan PAS) sekarang ini dimana-mana peringkat sudah benar-benar menghayati keperluan melaksanakan usaha pertama itu secara bersungguh-sungguh dan konsisten sebagai amanah Allah yang akan disoal di akhirat nanti?

7. Apakah sudah lama kita meninggalkan usaha tersebut sekarang ini, kerana terlalu asyik menumpu dalam perkara yang lain?

Banyak lagi persoalan yang perlu ditimbul oleh kita sendiri dan kita jawablah sendiri jika kita yakin bahawa perjuangan kita ini bukan setakat didunia, tetapi menjangkau sehingga ke hadapan Rabbul Jalil.

Pemuda dan pemudiku....

Tahun ini adalah tahun pemilihan, tahun ini adalah tahun PAS sudah diterima masyarakat, tahun ini adalah tahun PAS banyak memerintah negeri, tahun ini adalah tahun habuan dunia makin mudah dikecapi, tahun ini adalah tahun pangkat dalam kerajaan banyak bersepah, tahun ini adalah tahun kena smart, tahun ini adalah tahun ramai musang berlagak ayam, tahun ini adalah tahun menunggu pilihanraya ke 13 yang ada macam-macam habuan lebih besar.

Oleh itu wahai pemuda dan pemudiku pastikan jika kamu menjadi perwakilan diberbagai peringkat Mesyuarat Agung Tahunan atau Muktamar Tahunan pastikan agar mereka yang terpilih adalah mereka yang telah menghayati Perlembagaan Parti dalam bentuk teori dan praktikal dalam kehidupan sehariannya. Jangan mudah terpesona, kaget, terpukau dengan imej luaran, tetapi hampas fikrah perjuangannya. Ini adalah penting demi kesinambungan perjuangan cita-cita kita meruntuhkan jahilliyyah dan menegakkan Islam atas runtuhan jahilliyah tersebut.

Itulah harapan ahli PAS, seperti Hj Mail Kopi Arab (Hj Ismail Wan Teh) yang duduk sebelah aku ketika Kuliah Hj Mohd Sabu, 8 April baru-baru ini di surau Tambak Bunga, Alor Setar dan telah menghantar SMS kepada aku berbunyi,

"Perjuangan kita adalah meruntuhkan jahilliyah. Iaitu ditegakkan Islam di atas runtuhan itu. BUKANNYA menegakkan jahilliyah baru di atas runtuhan jahilliyah lama!"

Aku pun tidak faham mana jahilliyah baru yang telah ditegakkan di atas runtuhan jahilliyah lama, mungkin beliau ada maklumatnya. Tetapi yang paling penting, itulah harapan ahli PAS agar usaha-usaha PAS yang termaktub dalam perlembagaan PAS terus nampak jelas diusahakan secara serius oleh mereka yang diamanahkan sebagai kepimpinan.

Pemuda dan pemudiku...

Gunakan hak kamu sebagai pemilih dengan memilih pemimpin diberbagai peringkat dan terutamanya pemimpin peringkat tertinggi yang mampu menggalas amanah kepimpinan terdahulu seperti yang telah termaktub di dalam perlembagaan parti kita.

Dan kepada yang bercita-cita menawar khidmat sebagai pimpinan PAS hayatilah dulu perlembagaan PAS dalam tempoh matang yang munasabah, kerana kamu akan mengemudi sebuah bahtera yang akan belayar bukan sekadar lautan dunia, tetapi menyeberangi sehingga ke alam Barzhah dan Mahsyar.


SELAMAT BERMESYUARAT AGUNG DAN BERMUKTAMAR


Baca Seterusnya......

Sinar Perpaduan Kian Suram

Musim mesyuarat agung PAS kawasan dan dewan - dewan kini sedang berlangsung . Sementara awal June nanti akan berlangsung pula muktamar PAS di peringkat pusat .

Asasnya muktamar atau mesyuarat agung adalah medan untuk kita bermuhasabah , berbincang , mengatur strategi , membuat keputusan , memilih saf kepimpinan , menggaris hala tuju perjuangan dan memperkasakan gerakkerja amal Islami .

Seluruh anggota yang terdiri dari pemerhati , perwakilan dan saf kepimpinan parti selayaknya memberi kerjasama agar muktamar atau mesyuarat agung berlangsung di atas prinsipnya yang betul . Bermula dari jiwa yang ikhlas , muktamar sayugianya dimanafaatkan untuk membawa parti lebih mantap dan gah berdepan cabaran yang dihadapkan oleh musuh malah membawa parti untuk lebih bersedia menangani isu ummah .


Muktamar bukan gelanggang "taekwondo" untuk anggota parti saling membelasah antara satu sama lain , didorong oleh rasa aku ingin menang dan aku yang paling betul . Sebagaimana muktamar juga bukanlah majlis ampu mengampu atau kipas mengipas .


Sebaliknya muktamar mestilah benar - benar menjadi "bilik bedah" untuk menganalisis kesilapan dan kelemahan semalam demi membina kekuatan organisasi membelah arus deras jahiliyah modern di hari esok .


Muktamar juga merupakan bengkel khas buat seluruh anggota parti menggarap formula menyatukan saf dan merapatkan jurang di atas semangat ukhuwwah fillah malah memperkukuh benteng pertahanan parti daripada pencerobohan sebarang fikrah dan elemen asing .


Muktamar jua menepati perhimpunan anggota parti untuk membuat penyataan sikap yang sepakat antara ahli dan pimpinan terhadap apa jua isu besar yang melanda negara sekaligus membina wehdatul fikri [ kesatuan pemikiran ] dan wehdatul amal [ kesatuan tindakan ] .


Namun suatu yang sangat menyedihkan apabila saya menemui usaha - usaha untuk meretakkan lantai dan dinding parti malah ada yang cuba untuk mematahkan tiang serinya agar parti kesayangan ummah yang sarat dengan agenda perjuangan Islam ini berjaya diruntuhkan oleh mereka .


Tanpa rasa tanggungjawab , media dan blog digunakan sepenuhnya untuk menyempurnakan misi "salah" ini . Hanya kerana kepentingan diri dan merasakan diri dipihak yang benar dan perlu menang maka dilihat sahabat seperjuangan semuanya salah dan perlu disingkir. Lebih malang apabila ia dilagang dalam medan terbuka seperti dada akhbar dan media elektronik termasuk internet .


Hilang adab dalam berbeza [ feqhul khilaf ] , hilang maruah dalam berbicara , hilang harga dalam berhujjah dan hilang nilai dalam bertingkah .


Saya berkesempatan melayari blog dan web site kawan dan lawan . Akhir - akhir ini menjelang muktamar PAS pusat yang akan berlangsung pada awal June kelak , saya telah ketemui beberapa penulisan dan artikel malah wawancara yang merentas adab etika berjamaah yang ditulis sendiri oleh individu yang mengaku menjadi ahli parti .


Jika artikel dan penulisan itu datangnya dari lawan kita , tidaklah sukar untuk saya memahami kenapa mereka menulis begitu . Tetapi sedih dan kecewa apabila ia adalah hasil karya ahli parti yang kelihatan seoalah - olah mereka pula bangga kerana "berani" mendedahkan pertelingkahan mereka . Malah lebih nekad mereka tidak dibayangi rasa bersalah membongkar rahsia parti .


Minit mesyuarat dengan segala perbincangannya didedah dan dijadikan nota kaki untuk mengukuhkan fakta mereka tanpa mengambil kira disiplin berjamaah .


Saya percaya , masing - masing berhujjah bahawa tindakan mereka adalah bertolak dari rasa sayang kepada jamaah dan mahu menyelamatkan jamaah . Namun perlu saya tegaskan disini bahawa kita masih tertakluk kepada adab dan akhlak dalam melaksanakan operasi "sayang" dan "menyelamat" yang dimaksudkan . Jangan jadi seperti tikus yang cuba membaiki labu , makin dibaiki makin rosak .


Pengalaman saya berjamaah , saya dapati masih terlalu lebar dan banyak saluran untuk menyelesaikan "misi sayang dan menyelamat " serta masih luas terbentang ruang dan peluang untuk mengatasi masaalah dalaman yang dihadapi tanpa perlu mengheretnya ke lapangan terbuka untuk dibahas dan ditatap oleh masayarakat awam .


Trend membuat pendedahan kepada media berkait masaalah dalaman parti sewajarnya segera dihentikan . Jangan pula kita terperangkap dalam jerat perpecahan yang dipasang oleh musuh .


Kita boleh mendedahkan bahan fikir , wawasan dan gagasan kita kepada umum biarpun ianya berbeza dengan pihak yang lain , tetapi jangan sekali - kali kita mengaitkannya sebagai senjata untuk bermusuh dengan sesiapa dari anggota parti . Bawalah wawasan dan gagasan itu dengan penuh adab dan bertanggungjawab .


Janganlah pula menganggap siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan wawasan dan gagasan kita sebagai musuh dan ianya perlu disingkir . Berbeza dan berhujjahlah , tapi biar dikawal oleh akhlak yang murni dan ketinggian aqal budi yang matang dan rasional . Malah terlebih wajar segalanya berpandukan petunjuk wahyu dan sunnah .


Sehari dua ni pun saya dapati pihak media akan melambung soalan - soalan "maut" kepada pemimpin dan ahli parti dan mereka pula telah bersiap sedia untuk membuat pukulan smash jika lambungan itu disambut .


Saya tidak pasti apa kontrak musuh dengan pihak media [ bukan semua media ] tetapi kita sebagai anggota parti mestilah berwaspada agar tidak menjadi mangsa jerangkap samar yang mampu mengucar kacirkan perpaduan dikalangan anggota jamaah kita .


Selamat berjuang dan selamat bermuktamar

Ustaz Nasaruddin Tantawi

Baca Seterusnya......

Sabtu, 11 April 2009

Kelayakan pemimpin daripada perspektif Islam

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:

"Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." *1

Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain : Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim."

Huraian

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik.

Juga hadith ini menonjolkan sikap yang terpuji Abu Zar r.a. yang meriwayatkan ucapan Nabi s.a.w, sekalipun inti kandungannya menyatakan kelemahan dirinya dalam kepimpinan. Ini amanah ilmu dan kejujuran para sahabah yang menyampaikan ajaran Rasulullah s.a.w kepada umat.

Berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, maka para ulama ahli sunnah yang silam seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) telah membahaskan persoalan ini. Dengan itu umat Islam tidak sepatutnya hilang garisan dalam perlantikan dan pemberian kuasa terutamanya dalam hal politik.

Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya.
Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi s.a.w. sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.

Sabda Nabi s.a.w. Maksudnya:

"Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". *2

Firman Allah

(maksudnya) "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana `adil." *3

Kata al-Imam al-Qurtubi : "Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.." *4

Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.

Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat.
Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?

Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.

Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s.:

(maksudnya) "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." *5

Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:

Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas.

Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.

Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab.

Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan:

(maksudnya) "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah."

Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s. :

(maksudnya) "Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai" *6

Firman Allah dalam menyifatkan Jibril:

(maksudnya) "Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) *7

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi: "Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ... al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah:

(maksudnya): "Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir) [Surah al-Maidah: ayat 44] *8

Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.

Timbangan yang telah digariskan oleh al-Quran dan dihuraikan as-Sunnah serta dibahaskan oleh sarjana-sarjana atau para ulama Islam yang seperti Ibn Taimiyyah, dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam mengatur urusan pentadbiran dan kehidupan dalam semua aspek. Di mana pun posisi seseorang, sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.

Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?

Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.

Di atas sebab ini maka Rasulullah s.a.w. memilih Khalid bin al-Walid r.a. mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabah yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi s.a.w. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Sekalipun Rasulullah s.a.w. pernah menegur beberapa tindakan Khalid yang tidak disetujui oleh baginda. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: [i]"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam" *9

Maka dalam perlaksanaan pembahagian tugas atau perlantikan jawatan, hendaklah dipastikan perkara berikut:

Pertama: Melantik individu atau tokoh yang memenuhi ciri al-Quwwah dan al-Amanah,

Kedua: Sekiranya berlaku kekurangan tokoh yang berlayakan melainkan setiap orang memiliki kecacatannya yang tersendiri, maka hendak dibandingkan kelemahan yang ada dengan tugas yang bakal dipikul. Ini dilihat siapakah yang paling bermanfaat dan paling kurang mudarat untuk tugasan tersebut.

Oleh itu usaha untuk mewujudkan kelompok manusia yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat.

Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentadbiran dan urusan.

---------

*1 Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..

*2 Riwayat al-Bukhari.

*3 Surah an-Nisa': ayat 58

*4 Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beirut

*5 Surah al-Qasas ayat: 26

*6 Surah Yusuf: ayat 54

*7Surah al-Takwir ayat 19-21

*8Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar- Ra`iyyah,m.s.27-28. Ctk. Dar al-Arqam, Kuwait

*9 Ibid, m.s.29

Sumber:MAZA
"

Baca Seterusnya......

Khamis, 9 April 2009

Mesej jelas, tegas dari Bukit Gantang

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sesungguhnya ia bukan sekadar kemenangan berganda (sebenarnya di Semenanjung sudah 4-0, bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tetapi kejayaan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil semalam, 7 April, lebih terasa manis dan lazatnya.

Memang cukup mendebarkan. Ya, persaingan yang sengit dan sukar diramal. Malah lebih ramai menjangkakan Nizar bakal kecundang ekoran tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu. Isu-isu seperti tohmahan menjadi "boneka DAP" dan "sembah derhaka" dibimbangi berjaya mempengaruhi pengundi untuk kembali menyokong BN. Tidak sedikit teman-teman yang turun berkempen di Bukit Gantang meluahkan rasa curiga terhadap kemampuan Nizar untuk memenangi hati pengundi Melayu.

"Ada kawasan Melayu yang kita langsung tak dapat masuk untuk berkempen. Malah, banyak rumah yang menaikkan bendera Umno dan BN. Jentera BN juga agak agresif berkempen," lapor wartawan Harakah Perak. "Tak ramai orang yang hadir dalam program ceramah kita, kadang-kadang hanya sekitar 50 orangdalam program melibatkan pimpinan tertinggi," tambahnya lagi.

Di samping itu, kehadiran Dr Mahathir Mohamad di hari akhir kempen pula dikatakan boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu memikirkan semula sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang membayangkan "situasi terburuk" jika ada pengundi yang terpengaruh dengan beberapa langkah awal Dato' Seri Najib Razak, yang baru empat hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saya pula memang tidak suka meletakkan harapan tinggi kepada sesuatu impian bimbang kecewa akhirnya.

Dibandingkan dengan debar pilihan raya kecil Kuala Terengganu, saya kira Bukit Gantang lebih mencemaskan lagi. Pertama, ia kerusi yang PAS pertahankan, di kawasan yang selama ini kubu tradisi Umno. Kedua, sejak awal kita sudah isytiharkan keputusannya nanti melambangkan referendum seluruh rakyat Perak terhadap krisis politik dan perlembagaan yang tercetus awal Februari lalu. Tidak dapat saya bayangkan apa akan terjadi sekiranya Nizar dikalahkan, seolah-olah ini pertandingan hidup atau mati.

Pendek kata, jika berjumpa sepuluh orang yang balik berkempen dari Bukit Gantang, atau sekadar membuat tinjauan rambang di sana, lebih separuh daripadanya tidak meletakkan harapan tinggi PAS dapat mengekalkan kerusi berkenaan. "Saya hanya menyandarkan impian kepada ketokohan Nizar semata-mata, dari sudut lain, terutama kepada pengundi Melayu, saya benar-benar bimbang," kata seorang kawan.

"Bukankah semasa penamaan calon baru-baru ini, jumlah penyokong Pakatan jauh lebih ramai," saya cuba menduganya. "Itulah masalahnya, kita sudah melepasi kemuncak. Selepas hari penamaan calon, 29 Mac, kita terus merosot," reaksi pantas kawan saya itu menambahkan lagi kerisauan.

"Saya pula tak pasti apakah Nizar kini menjadi asset atau liabiliti kepada kita di Bukit Gantang. Tuduhan dia boneka DAP atau jual tanah kepada orang Cina menyebabkan pengundi Melayu meraguinya," kata seorang lagi kawan yang agak mengejutkan kami.

"Kalau setakat dua isu itu, tak payah susah hatilah, kita ada fakta konkrit yang cukup untuk menyanggahnya," saya pula cuba mententeramkan hati mereka dan sekali gus menenangkan gelodak rasa saya sendiri. "Ini bukan soal fakta, ini soal sentimen dan persepsi," balas seorang daripada mereka.

Rupanya kadang-kadang kita sendiri terkeliru untuk membaca realiti sebenar di lapangan. Pengamat politik juga boleh tersilau sehingga membuat rumusan yang agak terpesong, sedangkan para pengundi, khususnya generasi di bawah 50 tahun, sudah melangkah ke dunia politik baru. Emosi mereka tidak mudah lagi dipancing dengan sentimen perkauman atau dakyah politik lama yang dangkal dan hodoh itu.

Apatah lagi sosok tubuh Nizar yang karismatik dan kini menjadi ikon baru itu sudah cukup untuk mematikan segala tohmahan tidak berasas, sebaliknya menyuntik keyakinan baru yang luar biasa kesannya kepada rakyat Perak. Ketokohan Nizar sudah melangkah melampaui sempadan negeri dan bersedia untuk menawan hati audien yang lebih luas di seluruh pelosok negara.

Kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, dengan majoriti lebih besar, pastinya membuatkan tidur Najib pada malam Selasa lalu terganggu. Ia satu mesej jelas penolakan akar umbi terhadap kepimpinan beliau yang cuba untuk melakukan kejutan dengan beberapa pembaharuan kosmetik pada hari pertama dinobatkan sebagai Perdana Menteri keenam.

Membebaskan 13 tahanan ISA (dan terus mengurung tahanan yang lebih lama tersiksa di Kamunting) serta menarik balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan (serta mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga peraturan karut-marut yang dikenakan ke atas semua lidah rasmi parti) jelas tidak berupaya untuk mengelirukan rakyat yang semakin benci dan muak dengan pendekatan politik lama.

Bukankah orang masih ingat, itulah juga yang dilakukan Dr Mahathir ketika mula-mula dilantik menjadi perdana menteri; membebaskan tahanan ISA dan melakonkan beberapa adegan yang menunjukkan sikap terbukanya? Tindakan Najib hanya memperkukuhkan tanggapan umum bahawa era Mahathirisme seolah-olah sekali lagi bakal mencengkam tanahair tercinta.

Apa pun telahan yang dibuat, senario politik Malaysia selepas tsunami pertama pada Mac 2008 menjadi semakin menarik, walapun kadang-kadang sukar dijangka. Ia tidak mungkin berpatah balik ke era lama, seperti yang cuba diusahakan Dr Mahathir. Pilihan Najib semakin terbatas. Peluangnya untuk mewariskan takhta di Seri Perdana kepada pemimpin Umno-BN nampak tipis jika Najib dan Umno sukar untuk berubah. Ya, berubah secara menyeluruh dengan menanggalkan terus budaya politik lama. Dan terpulang kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan ini ..._


Baca Seterusnya......

Banyak kesangsian dalam Kabinet Najib

Oleh Mat Zain Mat Isa

ADA beberapa pemerhatian dan kesimpulan yang sepintas lalu dapat dibuat tatkala meneliti barisan Kabinet baru Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, petang tadi. Iklan

Pertama, semacam ada rasa sangsi atau kepercayaan yang tidak bulat oleh Najib terhadap orang nombor duanya. Meskipun menepati ramalan meletakkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri, tidak ramai menyangka orang nombor dua itu akan diberikan tugas di Kementerian Pelajaran. Sudah lama kementerian itu tidak dipegang Timbalan Perdana Menteri.

Orang nombor dua selalunya diberikan peranan paling mencabar. Kementerian yang lebih dianggap kanan, strategik dan berkuasa ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Bukankah di situ duduknya Najib selaku Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini? Bukankah di beberapa kementerian itu juga Abdullah selaku orang nombor dua diletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad?

Najib memilih sepupunya, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menerajui Kementerian Dalam Negeri, manakala bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengepalai Kementerian Pertahanan. Apakah dua pemimpin ini sebenarnya yang lebih dipercayai Najib berbanding Muhyiddin?

Kedua, Najib tidak dapat mengelak daripada melantik pemimpin yang sudah ditolak rakyat. Ia bagaikan mengulangi tabiat Abdullah yang sebelum ini dikritik dan dikecam pelbagai pihak.

Dalam ucapannya sebelum mengisytiharkan Kabinet baru itu, Najib mengungkapkan slogan "Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Kesangsian segera muncul tatkala orang disenaraikannya termasuk mereka yang telah ditolak rakyat dalam pilihan raya. Justeru, 'rakyat' manakah yang didahulukan Najib?

Antara pemimpin tersebut ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato' Dr Awang Adek Hussein (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Apakah ini menggambarkan pengakuan bahawa dari lebih 100 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih ada, tidak ada yang mempunyai wibawa dan keupayaan untuk mengisi jawatan Kabinet, sehingga memaksa dilantik mereka yang bukan Ahli Parlimen?

Najib turut melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti, sekaligus membelakangkan mereka yang dipersetujui ahli-ahli akar umbi parti mereka sendiri. Mereka ialah Dato' Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Warisan) dan Dato' Mukhriz Mahathir (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Ketiga, tindakan nekad Najib melantik Mukhriz ke dalam Kabinetnya mengundang tafsiran betapa beliau berhasrat membalas jasa Mahathir. Ataukah beliau sebenarnya tunduk kepada saranan dan nasihat bekas Perdana Menteri itu dalam mencaturkan Kabinetnya?

Kita tahu betapa besar peranan dimainkan Mahathir dalam mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Najib dalam parti dan kerajaan. Mahathir lah orang utama yang bertanggungjawab 'memanaskan punggung' Abdullah, sehingga terpaksa melepaskan jawatan lebih awal dari yang dirancangnya.

Keempat, ketiadaan nama Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, turut mengundang pelbagai andaian. Selain sama taraf dengan naib presiden dalam parti, Khairy juga ada tiket selaku Ahli Parlimen Rembau.

Ketiadaan namanya dalam senarai Kabinet dikaitkan dengan penyiasatan semula Lembaga Disiplin Umno berkaitan amalan politik wang dalam pemilihan Umno baru-baru ini. Desas-desus bertiup kencang kononnya Khairy bakal berhadapan tindakan tegas partinya, termasuk kehilangan jawatan yang baru dimenanginya itu.

Andaian itu bagai disahkan apabila Najib tidak menyenaraikan Khairy. Najib dikatakan tidak mahu mengambil risiko menyenaraikan orang yang sedang disiasat. Mana tahu silap haribulan akan berulang peristiwa seorang menteri terpaksa melepaskan jawatan kerana bersalah atas dakwaan politik wang. Maka bagi mengelakkan Kabinetnya tercemar, Najib dikatakan siang-siang lagi enggan menyenaraikan Khairy.

Namun ada juga yang menilainya sebagai bertepatan dengan hasrat Najib membersihkan Kabinetnya dari bayangan Abdullah. Jika nilaian itu benar, bermakna Khairy adalah mangsa keadaan hanya semata-mata dia adalah menantu bekas Perdana Menteri itu. _


Baca Seterusnya......

PEMUDA DPPKP : MATLAMAT DAN HALATUJU

OLEH : Ketua Pemuda DPPKP


SALAM PERJUANGAN....
Sebelum memulakan bicara, TAHNIAH!!! diucapkan kepada jentera PRK Pakatan Rakyat atas kejayaan menawan 2 bukit. Namun Allah masih tak mengabulkan lagi Pakatan Rakyat untuk memperkukuhkan kedudukan di Malaysia Timur. Mungkin terlalu awal bagi Pakatan Rakyat untuk menakluki Bumi Sabah & Sarawak. Insya Allah masanya akan sampai.

Berkaitan kemenangan PR di kedua-dua bukit, ini menunjukkan angin PRU-12 masih lagi memihak kepada PR di Semenanjung. Ini adalah hasil kemenangan 4-0 yang diperolehi PR keatas BN sejak PRK Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Alhamdulillah.... Allah masih memakbulkan doa-doa orang yang menyokong PR.

Namun demikian, perlu diingat tugas berat bakal menanti PR apabila berhadapan dengan kemenangan yang perlu dipertahankan. Umum mengetahui bahawa mencipta kemenangan adalah tidak sesukar mempertahankannya. Apakah usaha kita, terutamanya para ahli dan penyokong PR di Negeri Kedah ini?.....


PEMUDA PASCA KEMENANGAN

Seandainya keputusan PRU-12 dan keputusan PRK yang telah berlalu diambil kira, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu faktor terbesar yang membawa kepada kemenangan PR dalam semua Pilihanraya-pilihanraya tersebut adalah kecenderongan pengundi di saluran 3,4&5 untuk memilih calon-calon PR. Siapakah mereka-mereka ini?....

Kebanyakan dari mereka-mereka ini adalah dalam lingkungan 40 dan tahun kebawah dan merupakan pengundi-pengundi baharu. Majoriti mereka ini lahir dari era "pemecatan DSAI" pada tahun 1998/99 yang mana pada tika dan waktu itu mereka-mereka ini masih lagi berada di IPTA-IPTA atau IPTS-IPTS tempatan atau luar negara. Majoriti mereka menerima pelbagai berita daripada pelbagai sudut pada waktu itu yang memberikan ruang untuk mereka menilai apa yag sebenarnya berlaku.

Kini, majoriti mereka telah turun ke lapangan sebenar setelah sekian lama melihat dari jauh akan kebrobrokan demi kebrobrokan BN. Buktinya telah dizahirkan dalam keputusan PRU-12 dan 5 PRK yang lalu. Ini adalah fakta yang amat sukar untuk disangkal oleh jentera-jentera BN termasuk media massa pro mereka.

TANGGUNGJAWAB PEMUDA PAS KUBANG PASU

Melihat tanggungjawab kita sebagai jentera Pakatan Rakyat khusunya dalam negeri Kedah ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan kemenangan ini. Apakah jawapan kita seandainya kita ditanya dihadapan Allah nanti akan "Apakah usaha kita untuk mempertahankan kerajaan PR Kedah?" yang umum mengetahui diterajui oleh PAS... Wallahuaa`lam

Atas rasa tanggungjawab tersebut maka marilah sama-sama kita menyusun strategi dan mengeratkan ukhuwah fillah dikalangan kita khususnya ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS. Bagi merealisasikan kemenagna bagi DUN Jitra dan DUN Bukit Kayu Hitam dan seterusnya menawan Parlimen Kubang Pasu. Insya Allah....

Pertama..... Pemuda mestilah paling kehadapan dalam mempertahankan kemenangan ini. Pemuda seharusnyalah memahami matlamat dan arah tuju perjuangan PAS itu sendiri. Hanya dengan memahami matlamat perjuangan kita maka, cita-cita PAS untuk ke Putrajaya dapat direlisasikan.

Kedua.... setiap gerakerja yang dirancang, mestilah mempunyai strategi yang bersistematik. Mesti memikirkan pelbagai kesan sampingan terutamanya yang membawa kepada keuntungan PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketiga.... pemuda mestilah istiqamah dalam perjuangan untuk memperahankan kemenangan ini. Kerana ujian Allah sentiasa akan hadir disepanjang kiri dan kanan perjalanan kemenangan ini. wallahu`alam.. Baca Seterusnya......

Pengikut