Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 26 Mac 2009

Sekatan KDN tidak mentalqinkan Pakatan Rakyat

Oleh Aizam

Tindakan KDN untuk tidak membenarkan 2 buah akhbar utama Pakatan Rakyat menyiarkan beritanya selama 3 bulan kepada orang awam adalah titik permulaan bagi penguatkuasaan kuku besi bagi sesebuah yang dikatakan negara berdemokrasi dan telus.

Akhbar Harakah & Suara KeADILan adalah akhbar utama bagi 2 buah parti terbesar kerajaan Rakyat. Fenomena ini adalah satu situasi yang akan dipandang sebagai era paksaan oleh bakal pengganti Perdana Menteri Abdullah Badawi. Ramai rakyat di negara ini akan melihat perubahan era selepas era Pak Lah adalah era kesinambungan terhadap pemerintahan kolonial Mahathirisma yang pernah memberi tekanan kepada mereka yang menyongsang pendapat dari pihak mereka.

Kerungsingan Kerajaan Umno terhadap penyiaran berita-berita dari akhbar-akhbar kerajaan rakyat adalah memperlihatkan mereka tidak mampu menangkis berita yang disiarkan oleh media berkenaan (media kerajaan rakyat) kerana mereka mungkin agak sukar untuk mempertahankan apa yang diperkatakan oleh media tersebut. Jika kita lihat dari perspektif lain, pihak media dari arus perdana tidak segan silu untuk menyerang , menfitnah serta mempersenda-sendakan kerajaan dari pakatan Rakyat dengan menggunakan media utamanya yang berleluasa di seluruh media cetak dan media elektronik dan fakta-fakta yang tidak tepat serta memutar belitkan kenyataan dari mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat.


Apakah tindakan menyekat pengeluaran akhbar-akhbar utama Pakatan Rakyat ini berkait rapat dengan berberapa siri Pilihanraya yang akan berlangsung tidak lama lagi? Kemungkinan ini mungkin ada kesohehan juga jika dilihat dari sudut semasa. Dengan penyekatan 2 akhbar utama Pakatan Rakyat ini adalah kemenangan sementara bagi gerombolan Umno bagi memonopoli berita dari media bercetak.


Sekalipun ianya adalah sekatan berunsur politik pilihanraya, mejoriti rakyat Malaysia kini sudah mampu untuk menerima bahan cetakan dari media Internet yang kini adalah dianggap senjata yang sangat berkesan untuk memperjuangakan manifesto politik. Kenapa dari sudut media Internet Umno kalah dalam persaingan untuk menyiarkan bahan manifesto mereka melalui media internet dan apakah ianya disebabkan media internet adalah media yang telus lahir dari rakyat-rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran yang tidak mampu menembusi media elektronik seperti berita di TV & radio serta media cetakan perdana.?


Umno harus sedar bahawa sekatan yang mereka lakukan saban masa adalah tidak baik bagi pengamal-pengamal media dari aliran mereka juga. Ia akan memperlihatkan ketidak seimbangan yang berlaku dalam menyiarkan berita-berita dan rakyat akan melihat media perdana cukup berat sebelah dalam menyiarkan berita-berita.


Mengiikut IR.Nizar, Menteri Besar Perak, pada ceramahnya di Kuala Terengganu tidak lama dahulu, Akhbar cina mempunyai 22 saluran akhbar bercetak yang tiada antara satunya yang ditapis sedangkan akhbar arus perdana berbahasa Melayu mempunyai 3 akhbar utama (tidak salah saya) dan kesemuanya ditapis dan banyak berita yang tidak sampai kepada rakyat secara telus. Rakyat dinodai dengan berita-berita yang ditapis dan menyebelahi gerombolan umno dan berita-berita hiburan yang melalikan umat Islam khususnya dari mengingati Allah S.W.T.

Penyekatan penyiaran 2 buah akhbar utama Pakatan Rakyat tidak memberi nilai kerugian yang tinggi terhadap kerajaan Pakatan Rakyat kerana ianya hanyalah sisipan dari berita-berita yang disiarkan dari media Internet. ia bukanlah satu kematian yang perlu di talqinkan ianya hanyalah satu daripada picisan kisah dalam mengharungi politik era kematian barahan umno didalam sejarah tanah melayu seperti berakhirnya era British di Tanah Melayu..Ianya juga adalah tamadun yang gagal dilaksanakan seperti tamadun-tamadun yang hilang pada sebelumnya..
Baca Seterusnya......

Selasa, 24 Mac 2009

Tanggungjawab pembaca internet edarkan maklumat

Oleh Azamin Amin

Demi menyelamatkan negara daripada diperintah oleh pemimpin tidak amanah, rasuah dan tidak berakhlak maka menjadi tanggungjawab besar kepada pembaca dan pelayar internet yang prihatin kepada perjuangan Pakatan Rakyat selama ini untuk mengedarkan maklumat dan laporan di internet kepada umum.

Ini berikutan tindakan terburu-buru Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah menggantung permit akhbar Harakah dan Suara KeADILan selama tiga bulan yang secara tidak langsung membataskan maklumat tentang penyelewengan dan pendedahan kepincangan Umno-BN kepada rakyat.

Demikian seruan Ketua Penerangan PAS Dato' Mahfuz Omar kepada pembaca setia Harakah, Harakahdaily dan pelayar-pelayar laman-laman web alternatif dan blogger berikutan 'serangan mengejut' KDN terhadap kebebasan media.

"Demi untuk memastikan negara berada dalam keadaan aman dan diperintah oleh pemimpin yang berwibawa maka menjadi satu tanggungjawab kepada pembaca dan pelayar Harakahdaily khususnya dan laman web serta blogger untuk sama-sama membantu berkempen dan meneruskan perjuangan Pakatan Rakyat.

"Mereka musnahkan 'senjata kita' (Harakah) tetapi kita mempunyai bala tentera yang setia (pembaca-pembaca) menunaikan tanggungjawab menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, gelombang reformasi 1999 yang menyaksikan kebanjiran edaran maklumat internet perlu dicetuskan semula untuk memastikan berita dan laporan benar sampai ke tangan rakyat sekaligus untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di pilihan raya di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Saya menyeru kepada semua yang prihatin kepada perjuangan rakyat supaya secara sukarela mengedarkan maklumat benar dan tepat yang ada di internet khususnya Harakahdaily.

"Walaupun PAS akan tetap menyampaikan maklumat melalui risalah, ceramah, buletin-buletin namun pembaca juga mesti menjadi 'pengedar' Harakahdaily kepada rakyat. Keberkesanan maklumat internet sudah menunjukkan hasil cemerlang pada pilihan raya 2008 dan 1999. Dan kita yakin akan mengulanginya lagi!," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. - azm _

Baca Seterusnya......

Penggantungan Harakah, tembakan pemedih mata dan pencalonan Nizar

Oleh Ahmad Lutfi Othman

ISNIN 23 Mac, hari bergelora. Meskipun tiada hujan, namun langit kelabu. Sejak Harakah dilancarkan 22 tahun lalu, tiada detik sukar seperti petang itu.

Tepat jam 4.55 petang, faks dari Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, memancung keheningan pejabat. Saya agak keletihan, baru pulang dari Putrajaya. Fikrah Harakah edisi Isnin menunggu untuk diisi. Bahan belum mencukupi.

Sebaik keluar lif di tingkat dua, rakan wartawan Nyza Ayob menyapa: "Dah tengok surat KDN?' Tanpa menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku, saya hanya menggeleng. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja debar jantung berdegup kencang.

"Harakah kena gantung tiga bulan!" Maklum Nyza, masih tersenyum. Bagi saya, ia bagai petir menyambar. Surat ringkas dua perenggan hanya memaklumkan KDN menggantung permit lidah rasmi PAS yang kini sudah dianggap akhbar alternatif no. 1 itu, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

Terdetik di hati, "masakan secepat itu, bukankah baru kelmarin Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar menelefon pegawai KDN menjelaskan isu surat tunjuk sebab dari KDN?"

Segera saya memanggil pembantu, Atriza Umar, mencarikan surat bertarikh 26 Feb lalu, yang ditandatangani Che Din Yusoh. Saya mahu dapatkan nombor telefon bimbitnya -- sambil menahan sabar -- untuk mendapatkan penjelasan. Ya, mengapa KDN harus tergesa-gesa sekali? Dunia belum kiamat. Umno belum terlungkup.

Bukankah selama ini KDN banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, sehingga terpaksa menarik balik, atau dalam beberapa kes tahanan ISA, antaranya membabitkan seorang wartawan wanita sebuah akhbar Cina, harus membebaskan segera selepas memberikan alasan penahanan yang tidak masuk akal.

Memang KDN tidak belajar dari kesalahan walaupun menterinya bertukar, perdana menteri bergilir.

Perbualan saya dengan Che Din tidak wajar dirakamkan di sini. Nokhtah.

Saya mula berkhidmat di Harakah seawal seminggu sebelum Harakah sulung diterbitkan, April 1987. Walaupun keluar-masuk Harakah lima enam kali, rasa saya tidak pernah sekalipun Harakah gagal diterbitkan atas halangan KDN, waimma satu keluaran.

Apa yang tidak disebut tentang "kediktatoran" Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri? Namun beliau hanya mencantas kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dalam era reformasi yang memuncak itu, ketika edaran Harakah meningkat daripada 60,000 naskhah sehingga mencecah 400,000 naskhah, dan Mahathir cemas menghadapi pilihan paling getir baginya, 1999, tetapi Harakah tidak pernah diganggu seteruk ini.

Memang jualannya dihadkan kepada ahli PAS di premis parti sahaja dan kandungannya ditekankan agar mematuhi skop dan konsep yang diluluskan, iaitu hanya memuatkan berita dan rencana yang berkaitan PAS sahaja, tetapi arahan gantung, apatah lagi selama 3 tahun - satu tempoh yang relatif panjang - tidak pernah dikuat-kuasakan.

Abdulah Ahmad Badawi pula, selepas kalah lebih teruk pada 8 Mac 2008, yakni lebih buruk berbanding prestasi Mahathir pada Nov 1999, namun beliau tetap menerima permohonan PAS untuk mengembalikan kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu. Ada tanda jiwa besar di situ.

Lalu, bahana siapakah yang mencetuskan onar sedahsyat ini? Menterinya masih Syed Hamid Albar, Abdullah tetap PM, tapi siapakah yang mahu percaya dengan dakwaaan bahawa tindakan zalim ini bukan didorong oleh kepentingan politik yang cukup sarat? Zaman sudah berubah. Dunia semakin telus. Media baru membentuk realiti.

Tanpa perlu berpakat, semua mata tertumpu kepada Najib Razak. Tuduhan ditujukan kepadanya. Beberapa hari lepas saya menelefon Zunar, Ketua Pengarang Suara Keadilan, memberitahu Harakah kena surat tunjuk sebab, atas alasan teknikal yang lazim digunakan.

Zunar menyanggah tanggapan bahawa Najib akan secepat itu "main kasar" dengan akhbar alternatif. Saya boleh bersetuju dengan Zunar. Kami langsung tidak terlintas Najib akan melakukan perbuatan sehodoh ini.

Malamnya, selepas makan di Restpran Haslam, saya mendapat SMS daripada Azizi Hj Abdullah: "Belum apa-apa gas dan water canon dah disembur di Padang Awam Cinta Sayang, Sungai Petani malam ini. Dajai. Habis cempera."

Saya terus hubungi wartawan Kedah, Izwan Abdul Halim. Dari jauh, suara Izwan serak, macam menanggung pedih disembur gas pemedih. Segera saya putuskan talian. Darah menyirap lagi. Nampak jelas penggantungan Harakah, Suara Keadilan memang dirancang untuk menghadapi situasi sulit BN terutama pilihan raya kecil dan perhimpunan Umno yang penuh rasuah itu.

Mujur ada berita menyejukkan hati. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih calon PAS Bukit Gantang. Peluang Nizar terbuka, tapi tidak boleh diremehkan potensi menang BN. Ini pilihan raya paling kritikal buat Umno. Banyak peluru yang disimpannya. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukan indikator segalanya cerah di sini.

Memang Nizar aset terbaik bagi menguji penerimaan rakyat Perak atas kemelut yang berkecamuk di negeri itu.

Sama-samalah kita bergelut dalam pesta demokrasi yang serba pincang ini, ya ... walaupun mungkin tanpa Harakah, berdepan tembakan gas pemedih mata, dan 'kesamsengan' jentera BN di bawah pengarah barunya ini, sambil mengharapkan ada kewarasan bagi membetulkan keadaan. _


Baca Seterusnya......

Ir Dato' Seri Nizar Jamaluddin Calon Parlimen Bukit Gantang

Menteri Besar Perak Ir Dato' Seri Nizar Jamaluddin telah diumumkan sebagai calon untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April depan. Iklan

Pengumuman itu dibuat di Padang Kota, Taiping sebentar tadi di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Adun Pasir Panjang dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta manakala di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland dan Miano Italy.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini).

Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia awal bulan lalu. - azm _
Baca Seterusnya......

Isnin, 23 Mac 2009

Pengumuman Calon PR

Oleh Ketua Penerangan DPPKP

Salam Perjuangan....
Menjelang pengumuman calon Pakatan Rakyat (PAS) yang bakal menentang calon BN Ismail Saffian malam ini pelbagai telahan awal telah banyak kita dengar. Ramai pimpinan-pimpinan tertinggi PAS dikaitkan dengan Keputusan PAS Pusat, termasuk Ust Idris Ahmad, HJ. Mohamad Sabu dan lain-lain lagi. Tidak terkecuali juga provokasi-provokasi dari pihak lawan (BN) yang menguatkan sentimen calon tempatan.

Tidak dinafikan elemen calon tempatan bakal menjadi salah satu faktor utama yang akan menjadi perkiraan para pengundi untuk memilih calon pilihan mereka. Walaupun Bukit Gantang terkenal dengan kubu kuat PAS namun sebahagian besar para pengundi bukanlah ahli PAS. Bagi ahli PAS, calon tempatan atau calon luar tidak menjadi masalah pada kita kerana kita 'usluzon' dan wala` atas keputusan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.

Namun bagaimana dengan para pengundi-pengundi yang ukan ahli PAS?. Namun jika senario Kuala Terengganu diambil kira, faktor calon menjadi salah satu isu yang timbul kerana daripada maklumat yang penulis terima, terdapat UPU-UPU yang kecewa dengan calon yang dipilih oleh Pimpinan PAS. Alhamdulillah atas tarbiyyah yang kita terapkan kepada ahli-ahli PAS, perkara ini dapat diselesaikan dan seterusnya membawa kemenangan PAS di Kuala Terengganu
Kepada para da`i-da`i dan amilin-amilin PAS,
Penulis amat berharap akan kesepakan kita terutamanya ahli-ahli dan para penyokong PAS dan seterusnya ahli-ahli dan penyokong-penyokong PR dalam berhadapan keputusan yang bakal diumumkan oleh Presiden PAS malam ini.

Seharusnyalah kita terima siapa sahaja yang menjadi pilihan Pimpinan untuk bertanding mewakili PR (PAS). Kita tidak mahu isu seperti yang berlaku di Bukit Selambau berulang di Bukit Gantang. Apa yang kita mesti faham ialah siapa musuh sebenar kita. Kita nak berhadapan dengan BN yang diketuai oleh bakal PM, DS Najib Tun Razak dan kuncu-kuncunya (termasuk agensi-agensikerajaan). Kekuatan untuk berhadapan dengan mereka-mereka ini adalah lebih penting dari perbalahan sesama sendiri.

Seharusnya kita mengetahui bahawa bukan mudah para Pimpinan untuk membuat keputusan ini, lebih-lebih lagi dikala kita berhadapan dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Sudah tentu akan ada pihak yang merasa kurang bersetuju dengan calon yang akan diumumkan malam ini. Namun bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.

Seharusnyalah para da`i-da`i dan amilin-amilin PAS dan PR menumpukan kepada tugas-tugas yang lebih berat terutamanya bagaimana untuk mengekalkan kemenangan di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Bagi mengekalkan momentom Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat dan DUN terlibat.

Marilah sama-sama kita berusaha untuk memenangkan calon-calon Pakatan Rakyat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Bagi yang tidak boleh terlibat secara langsung, doa-doa kalian amat-amat dialukan. Wallahua`lam
Baca Seterusnya......

Khamis, 19 Mac 2009

Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI

oleh Ketua Penerangan DPPKP

Salam Perjuangan.... mengulas isu ini berdasarkan laporan dalam malaysiakini tulisan Jimadie Shah Othman bertarikh 18 Mac 2009. Penulis tertarik berkaitan isu ini kerana telah lama sebenarnya penulis menunggu satu badan atau pertubuhan untuk membuat kajian keatas pelaksanaan PPSMI ini.

Umum mengetahui bahawa dasar ini dilaksanakan tanpa melalui apa-apa kajian atau eksperimen atau pandangan mana-mana pertubuhan yang diiktiraf berkaitan Bahasa Malaysia di Malaysia.


Pada peringkat awal pelaksanaannya,PAS antara yang paling awal menentang keras pelaksanaan dasar PPSMI ini melalui wakil-wakil rakyatnya di Dewan Rakyat. Begitu juga melalui wakil-wakil rakyat di DUN-DUN yang diwakili oleh PAS. Namun pada waktu itu, mungkin yang barkata-kata buken Datuk A. Samad Said atau Datuk Ahmad Hassan atau mana-mana pakar-pakar bahasa, maka tentangan ini dipandang sepi oleh kebanyakan rakyat Malaysia termasuk para ibu bapa yang anak-anak mereka bakal menjadi "bahan eksperimen" ini.

Selain itu juga, para guru-guru yang mengajar m/p Sains dan Matemtik juga antara yang paling kuat menentang dasar ini. Penulis juga ada mendapat maklumat bahawa kebanyakan guru BI juga amat tidak bersetuju dengan perlaksanaan dasar ini. Yang mana pada ketika itu, pihak-pihak yang menentang ini mencadagkan supaya diadakan satu kajian lenkap sebelum melaksanakan dasar PPSMI ini.Namun demikian, oleh kerana mereka-mereka yang menentang ini kebanyakannya adalah mereka yang terikat 'tangan dan kaki', kerana berada di bawah kuasa pihak yang melaksanakan dasar tersebut, maka suara mereka hanya didengari oleh jiran-jiran, saudara mara atau sahabat handai sahaja.

Namun demikian setelah 6 tahun pelaksanaan dasar yang kononya bertamadun ini, mungkin sudah tak tertanggung lagi oleh pihak-pihak tersebut maka ia kedengaran dimana-mana kini. Maka hasilnya yang kita semua saksikan pada 7 MAC 2009 yang lalu. Satu lagi sejarah telah terukir di bumi Malaysia yang kita cintai ini.

Berbalik kepada ulasan penulis tadi, secara keseluruhannya penulis berada amat dekat dengan perlaksanaan dasar tersebut. Maka segala keputusan kajian yang dibuat oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) telah peniis sedia maklum, cuma mungkin 4% pencapaian itu yang tak dapat penulis buktikan.

Namun demikian, penulis berharap kaian tersebut bukan sekadar kajian semata-mata yang akhirnya nanti "dibakulsampahkan" oleh pihak-pihak yang berwajib yang merasa terpukul dengan dapatan daripada kajian tersebut. Penulis berharap semoga ada lagi kajian-kajian yang berkaitan PPSMI ini didedahkan kepada umum dalam masa akan datang ini.

Pembaca sekalian, kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan bahasa dan budaya ibunda kita seharusnyalah bangkit untuk bersama-sama pejuang-pejuang Bahasa Malaysia (GMP) ini menentang sekeras-kerasnya akan pelaksanan dasar PPSMI ini. Apa yang kita takuti adalah dengan pelaksanan dasar PPSMI ini, nilai-nilai sosiobudaya Malaysia khususnya Melayu semakin terhakis dari diri anak-anak kita. Jauh sekali jika kita membincangkan soal budaya Islam itu sendiri. Nauzubillah. Jika kita perhatikan, tidak mustahil seandainya kita katakan bahawa, kerosakan akhlak dikalangan pelajar sekolah rendah atau menengah kini adalah berpunca dari pelaksanaan dasar PSMI ini. Wallahua`lam.
Baca Seterusnya......

Ahad, 15 Mac 2009

Ramai Pembahas Blog Terlalu Emosional

Oleh Kadir Jasin

PERTUDUHAN terhadap enam orang pembahas blog semalam atas tuduhan menghina Sultan Perak menjadi satu lagi mercu tanda bagi dunia blog Malaysia.

Mereka dituduh di tempat berasingan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Peristiwa ini sekali gus menamatkan andaian bahawa blog, pemblog (blogger) dan pengomen adalah bebas dan di luar kawalan undang-undang.

Secara peribadi, saya telah sejak sekian lama berulang kali mengingatkan masyarakat blog, sama ada pemblog atau pembahas, agar berhati-hati dan sentiasa menghormati undang-undang.

Tetapi nasihat seperti ini bukanlah mudah diterima kerana ramai pemblog, pembahas dan pembaca percaya bahawa blog adalah bebas dan tidak ada siapa yang boleh bertindak ke atas mereka.

Apatah lagi majoriti pemblog dan pembahas adalah bukan wartawan dan tidak terlatih di bidang undang-undang.

Malah ada di kalangan pemblog wartawan dan mereka yang fasih mengenai undang-undang pun ramai berasa seolah-olah mereka di luar kuasa undang-undang.

Di kalangan pembahas pula, majoriti adalah orang muda dan anggota biasa masyarakat yang penuh emosi dan mengulas untuk melepaskan geram.

Dalam rancangan “Perspektif Kita” keluaran saluran satelit Astro Awani baru-baru ini, saya memberi kata dua bahawa tidak ada siapa pun di bumi Malaysia ini yang terlepas daripada kawalan undang-undang.

Saya mengingatkan pemblog bahawa mereka tertakluk kepada semua undang-undang negara, khasnya yang berkaitan penyebaran maklumat dan propaganda, seperti Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi.

Setidak-tidaknya pun mereka boleh dikenakan tindakan sivil seperti saman malu.

Malah saya mengatakan bahawa menulis di dinding bangunan atau tembok pun boleh diambil tindakan jika mengandungi unsur-unsur di atas dan penulisnya berjaya dikesan.

Atas alasan dan kesedaran itulah saya dari awal-awal lagi menyatakan dalam pengenalan blog ini bahawa “we wish to maintain a high level of integrity and responsibility among our participants”.

(Kita berhasrat mengekalkan tahap integriti dan tanggungjawab yang tinggi di kalangan peserta kita.)

Dan dalam setiap posting baru, saya mengulangi pesanan bahawa “ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.”

Saya juga tidak melayan komen yang hanya menggunakan pengenalan “anonymous” tanpa nama sebenar atau samaran di bawahnya.

Adalah mustahil bagi saya, para pembahas dan pembaca membezakan antara seorang pengulas “anonymous” dengan pengulas “anonymous” yang lain.

Alhamdulillah, tidak terlalu banyak komen seperti di atas yang saya terima. Jadi tidaklah banyak komen yang terpaksa saya tolak.

Kesan tindakan mahkamah ini tidaklah semuanya negatif walaupun ia sedikit sebanyak akan menakutkan sesetengah pembahas daripada terus menghantar komen.

Namun dalam jangka masa panjang, saya berharap ia akan memberi kesan positif di mana para pembahas akan berhujah dengan tepat, pintar, waras, berhemah dan bertimbang rasa.

Saya sendiri kecewa dengan sikap fanatik segelintir pembahas yang langsung tidak boleh menerima perbezaan pendapat dan sangat emosional. Malah kita yang memberi ruang ini pun dimaki hamunnya.

Sikap mereka bercanggah langsung dengan dakwaan bahawa mereka matang dan demokratik. Elok jugalah pembahas seperti itu diadili oleh mahkamah atau tidak lagi mengambil bahagian di ruang demokratik ini.

Peristiwa ini juga membuktikan yang blog ini bukan lagi media pinggiran yang diberikan pelbagai label negatif. Blog sudah diakui penting dan mula diadili sama seperti media arus perdana.

Bagi saya, ini adalah perkembangan yang positif dan akan menjadikan komuniti pemblog lebih bertanggungjawab dan dihormati.

Seperkara lagi, lebih baik pemblog diawasi oleh masyarakat dan diadili oleh mahkamah daripada dikawal dan diadili oleh cawangan eksekutif dan perkhidmatan awam.

Ringkasan Kes Daripada Utusan Online

Chan Hon Keong 26, dituduh bersama isterinya, Khoo Hui Shuang, 27, menghina Sultan Perak melalui laman web http://books.dreambooks.com/duliduli.html yang mempunyai pautan kepada laman web Sultan Perak, www.sultanperak.gov.my. di Permatang Pauh, Butterworth, kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Februari lalu.

Rutinin Suhaimin, 35, dituduh melakukan kesalahan sama menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komen di alamat http://booksdreambook.com/duli/duli.html yang pada pukul 6.33 petang pada 13 Februari lalu di Kundasang, Sabah.

Nor Hisham Osman, 36, didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di http://books.dreambook.com.web per/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my. Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Februari lalu di Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan, Selangor.

Muslim Ahmad, 54, didakwa atas tiga tuduhan menulis komen menghina Sultan Perak menggunakan perkhidmatan Internet menghina Sultan Perak di Setapak, Kuala Lumpur pukul 2.21 dan 2.27 petang, 7 Februari lalu.

Azrin Md. Zain, 33, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menulis komen yang menghina Sultan Perak.


Baca Seterusnya......

Kembalikan Sains, Matematik ke dalam bahasa Melayu

Oleh LanH

Bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan perkara baru seperti 'dilolongkan' Menteri Pelajaran yang akan bertanding Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein. Agaknya Hishammuddin selama ini tertidur kot sebab itu dia bertanya kepada pejuang bahasa; mengapa sekarang baru membantah.

Bantahan terhadap PPSMI yang bermula sejak 2003 tidak pernah menyepi ditelan masa sebaliknya berterusan dan menyinga akhir-akhir ini. Terbaru Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur pada 31 Januari oleh Pengerusinya yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr Hassan Ahmad.

Mereka akhirnya menggerakkan massa (menghimpunkan 100,000 peserta), membabitkan pelbagai golongan, daripada kumpulan cendekiawan, pencinta bahasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan orang ramai bagi menzahirkan bantahan; dengan berarak dan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Mac lalu.

Penulis sudah beberapa kali memuzakarahkan isu ini termasuk mengutarakan suara dan rintihan rakyat tetapi kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran belum mengambil suatu pendekatan tegas menanganinya. Pada hujung tahun lalu, diadakan lima pusingan dialog (meja bulat)berhubung PPSMI tetapi apabila sesi persekolahan bermula pada Januari, murid masih mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan forum PPSMI, ada pandangan pro dan kontra mengenainya. Kita memahaminya; kerana masing-masing mahukan yang terbaik bagi masa depan generasi muda dan negara. Bagaimanapun kebanyakannya adalah berdasarkan perspektif dan pengalaman masing-masing, tidak terikat dengan fakta; malahan pelaksanaan PPSMI tidak berdasarkan eksperimen dan kajian emperikal.

Demikianlah jika tidak diselesaikan masalah PPSMI ini, kita percaya ia akan berlarutan bukan saja selepas enam tahun seperti sekarang ini, malah 10, 20, 30, 50 hatta 100 tahun akan datang. Perkara ini hanya menghabiskan tenaga dan masa, sedangkan anak bangsa dan negara perlu disiapkan dalam mendepani cabaran lebih hebat.

Kita berpendapat bahawa pro dan kontra PPSMI perlu ditamatkan segera; sebaliknya rujukan perlu dibuat kepada ketetapan 'standard'. Apabila ini dilakukan perbalahan dapat diakhiri manakala pelanggar ketetapan itu dihukum tidak kira apa pangkat dan kedudukan mereka.

Berdasarkan ini kita amat bersetuju dengan tindakan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan. Gapena mempunyai premis baik dalam hal ini kerana pemimpin yang memaksakan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik telah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apabila sesuatu dasar itu dibuat dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, tentulah ia terbatal dengan sendirinya.

Persoalannya, setakat mana keseriusan Gapena atau pihak-pihak berkaitan dalam mengheret pelaksana PPSMI ini ke muka pengadilan? Kita bimbang tindakan undang-undang akan memakan masa panjang; tiada kelihatan cahaya pada hujung terowong, sedangkan anak-anak di sekolah menjadi mangsa ketidak-tentuan ini.

Demikianlah betapa negara kini dilanda kemelut besar gara-gara pemimpin yang memerintah tidak mengikut hukum sehingga Perlembagaan Persekutuan pun dilanggarnya. Adalah amat bahaya jika seseorang itu memerintah mengikut akal, tanpa mempedulikan undang-undang sedia ada.

Bagi manusia yang akalnya terbatas, Allah SWT telah menyediakan garis panduan (hukum-hakam)nya yang terkandung dalam al-Quran dan diterjemahkan dalam kehidupan oleh Rasul-Nya, Muhammad s.a.w. Manusia termasuk pemimpin tidak akan terpesong jika menuruti hukum-hakam Allah, malah dia dijanjikan kedudukan mulia di sisi Rasul jika memerintah secara adil.

Jika hukum Allah pun tidak mahu diikuti pemimpin, apatah lagi untuk patuh kepada undang-undang ciptaan manusia termasuk Perlembagaan Persekutuan. Mereka mengikuti nafsu yang akhirnya menyebabkan seluruh negara terjerumus dalam kemelut tiada kesudahan.

Kepada pemimpin berkenaan (siapa makan cili dia terasa pedasnya), insaflah dan kembalilah ke pangkal jalan. Jika sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pengantar di sekolah, kembalikanlah kedudukan itu, usah berdalih lagi!
Baca Seterusnya......

Selasa, 10 Mac 2009

Akhirnya, seniman yang selalu menang

Oleh Faisal Tehrani


SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.

Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada

Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam Buletin Utama dan Buletin 1:30 (Ahad lalu) memang dangkal.

Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya.

Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: "Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap."

Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu. Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna.

Hayati sikap Datuk A Samad Said ini:

1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.

2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.

3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua.

Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.

4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.

5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.

6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan.

Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan.

Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak.

7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat.

Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini.

(Begitulah intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.)

Nah, apa hubung kait dengan lelaki berkeris di atas (penulis letakkan gambar Hishamuddin Hussein dalam blognya)? Mengapa Menteri Pelajaran menafikan desas-desus yang peluangnya untuk memenangi Naib Presiden Umno terjejas ekoran bantahan rakyat terhadap PPSMI? Mungkinkah kerana sebetulnya, peluang beliau semakin menipis.

Kata-kata Pak Samad: 'Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita' akan menghantui beliau.

Untuk mereka yang tidak hadir sama ke acara tunjuk kasih 7 Mac lalu dengan alasan ia menjadi medan politik, sila baca alasan Pak Samad mengapa beliau ikut sama berarak di jalanraya sehingga sanggup disembur gas pemedih mata.

Ingatlah kata Pak Samad, yang beri rezeki buat kita ialah Tuhan, bukan bahasa. Ini basis keimanan, serlahkan ia terhadap anak-anak.

Mencontohi Pak Samad yang berani menyatakan sikap terhadap teman-temannya dalam GAPENA, saya juga ingin menyatakan sikap terhadap teman-teman pengarang:

Menulis sastera Melayu tanpa menyertai perjuangan mempertahankan bahasa Melayu ,di saat ia memerlukan, adalah bacul. Kerana saat bahasa Melayu ini terkubur kelak, novel yang ditulis pun akan turut terpadam. Membiarkan bahasa Melayu dipertahankan oleh anak-anak muda dari parti politik, sedang kita menyulam pelbagai alasan untuk tidak turun padang, adalah dayus. Ini masanya, bak kata Allahyarham Usman Awang; nama kalian telah diseru, sahutlah sebelum jadi bisu.

Nota Tambahan (saranan Sofwah, terima kasih!):

Bagi sesiapa yang ingin menjawab blog-blog penyokong PPSMI yang semakin bercambah, saya berharap ia dilakukan dengan tenang dan rasional. Saya lihat mereka suka membuat kesimpulan:

1. Ia bermotif politik.

2. Pejuang bahasa pun cakap Bahasa Inggeris, jadi, kenapa nak tentang PPSMI?

3. Pejuang BM anti Bahasa Inggeris.

4. Anak, anak sedara, adik sedara, anak sepupu sepapat, anak dua tiga empat pupu, suka PPSMI, jadi, anak orang lain, anak sedara orang lain, adik sedara orang lain pun akan suka PPSMI.

5. Pakcik makcik sepupu sepapat dua tiga empat pupu papat mengajar Sains dan Matematik dalam BI suka PPSMI, jadi, kenapa pejuang Bahasa tak suka PPSMI?

6. PPSMI akan membantu pengajaran BI.

7. PPSMI tidak akan menganggu-gugat BM; dan banyak lagi persepsi cetek.

Ternyata mereka tidak membaca sebarang kajian. Kita ingin mengingatkan pejuang bahasa bukan bodoh wahai Datuk Seri Hishamuddin, kita bertindak selama enam tahun dengan penuh kesabaran sambil melakukan kajian mendalam. Dan pihak beliau telah menutup jalan rundingan, sehingga Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang diketahui bersikap berkecuali dari segi politik telah memilih pentas politik.

Saya ingin menyarankan sesiapa yang bertemu dengan blog-blog penyokong PPSMI untuk memautkan kajian/pandangan alternatif seperti contoh di bawah ini:

1. Kajian Akademik

2. Profesor Shaharir Md. Zain

3. Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik

4. Profesor-Profesor Melayu dalam Bidang Sains yang Menentang PPSMI

5. Kosmologi Bahasa

6. Menjawab Gabungan Pro PPSMI; dan meminta mereka berfikir lebih dalam lagi.

Untuk penguasa, saya ingin mengingatkan yang belum ada politikus menang dalam melawan seniman. Di hujung, meski panjang jalannya - seniman selalu akan menang. - tehranifaisal.blogspot.com_
Baca Seterusnya......

Isnin, 9 Mac 2009

Banyak khazanah Nabi masih belum digali

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

MAULID berasal daripada perkataan Arab yang bermakna melahirkan bayi. Pada hari ini perkataan maulid itu merujuk kepada sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW setiap kali tibanya tarikh kelahiran baginda iaitu, 12 Rabiulawal setiap tahun.

Berikut senarai beberapa lagi istilah perayaan kelahiran Rasulullah yang disambut oleh kebanyakan negara di dunia;


-Mawlid an-Nabi (pl. al-Mawalid) - Kelahiran Nabi * Muhammad (Arab)
-Milad an-Nabi - Kelahiran Nabi (Arab dan Urdu)
-Mevlid Serif - Kelahiran Yang Diberkati Allah (Turki)
-Mevlud - Kelahiran (Bosnia)
-Mawlud Sharif - Kelahiran Yang Diberkati (Urdu)
-Zadruz-e Payambar-e Akram - Kelahiran Junjungan Besar (Parsi)
-Eid al-Mawlid an-Nabawi - Perayaan Sambutan Kelahiran Nabi (Arab)
-Eid-e-Milad-un-Nabi - Festival Keputeraan Nabi (Urdu)
-Mawlid En-Nabaoui - Algeria (Afrika Utara)
-Yawm an-Nabi - Hari Kebangkitan Nabi (Arab)
-Maulidur-Rasul - Keputeraan Pesuruh Allah (Malaysia)
-Mulud - Keputeraan Nabi (Jawa)
-Maulid Nabi - Keputeraan Nabi Muhammad (Indonesia)
-Maulidi - Swahili (Afrika Timur)
-Gamou - Wolof (Senegal)

Menurut seorang teman yang pernah tinggal kerana bertugas di Jeddah, Arab Saudi, jangankan sambutan, bahkan tiada cuti diperuntukkan bagi setiap kali tibanya tarikh besar 12 Rabiulawal di negara yang menjadi tanah keputeraan Rasulullah SAW itu!

Namun, jangan menaruh sebarang prasangka atau menuduh Arab Saudi seolah-olah tidak mengenang perjuangan dan pengorbanan Rasulullah kerana apa yang penting, kita yang berpeluang untuk menyambut Maulidur Rasul, kita mesti menyambutnya!

Sebagai tanda kecintaan terhadap Rasulullah, kerana tanpa tarikh keputeraan baginda itu, maka lahirkah Islam yang menjadi anutan kita sehingga ke saat ini?

Telah lebih 1,400 tahun Rasulullah SAW meninggalkan kita maka wajar sekali jika sambutan Maulidur Rasul mesti diteruskan.

Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh ulama terkenal, Dr. Yusuf Al Qaradawi bahawa di zaman Rasulullah, para sahabat Rasulullah SAW tidak merayakan hari kelahiran baginda kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak geri Rasulullah. Seterusnya ingatan terhadap baginda itu tetap kekal dalam hati dan ingatan.

"Namun generasi-generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesan-kesannya maka dengan itu perayaan Maulid Rasul perlu diadakan," katanya.

Tanpa adanya sebarang sambutan, tidak mustahil ramai yang hanya mengenang Rasulullah hanya pada namanya sahaja. Tiada keinsafan yang timbul di hati bagi menjadikan Rasulullah itu sebagai suri teladan bagi menciptakan kejayaan sama ada di dunia ini mahupun di akhirat kelak.

Namun sambutan ini sebenarnya ada di pelbagai peringkat, tidak sekadar dengan menyertai pelbagai program yang diaturkan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk menganjurkan sambutan.

Di peringkat dalaman, setiap detik 12 Rabiulawal perlu memberikan pengertian yang besar dalam setiap diri pengikut Nabi Muhammad. Apakah ertinya Junjungan Besar ini kepada diri kita secara individu. Adakah sekadar kerana kita melafazkan sumpah atas nama baginda setiap kali mengucapkan dua kalimah syahadah, maka itu sudah menjadi menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai mengakui kerasulan Nabi?

Di saat kadang kala Nabi Muhammad dijadikan bahan cercaan dengan pelbagai cerita palsu oleh sesetengah pihak yang memusuhi Islam, adakah kita mampu untuk melawan untuk mempertahankan Rasulullah?

Begitu juga apa erti Maulidur Rasul ini jika peranan baginda sebagai seorang pendakwah tidak diteruskan oleh umatnya tetapi dalam masa yang kita mendakwa kononnya kagum dengan segala perjuangan dan pengorbanan Nabi? Tidakkah kita bertanggungjawab untuk memperkenalkan baginda kepada yang bukan Islam dan mengajak mereka supaya mengakui kerasulan baginda itu?

Bercerita mengenai Maulidur Rasul ini, beberapa aspek yang perlu kita ketahui betapa kelahiran Nabi sebenarnya telah ditunggu-tunggu!

Mereka dikhabarkan bahawa kelahiran baginda akan memberikan sinar yang menerangi kehidupan kerana antara lain baginda akan membawa pengikutnya menuju kebahagiaan abadi, iaitu kita akan kembali ke syurga!

Tetapi yang menunggu keputeraan baginda tentunya bukan terdiri dari kaum Arab Jahiliah yang telah tersesat jauh dengan berhala-berhala mereka.

Bayangkan suasananya apabila kelahiran seorang nabi akhirnya telah menjadi heboh tersebar dan diperkatakan orang.

Abu Sufyan pernah marah kepada Umayya bin Abi'sh-Shalt disebabkan orang ini sering mengulang-ulang cerita para rahib (Nasrani dan Yahudi) mengenai akan lahirnya seorang Nabi. Oleh kerana sesuai dengan kedudukan Abu Sufyan yang menjadi terkenal di kalangan kaum Arab, beliau berkata; "Para rahib itu suka membawa cerita semacam itu kerana mereka tidak mengerti soal agama mereka sendiri. Mereka memerlukan sekali adanya seorang nabi yang akan memberi petunjuk kepada mereka.

"Tetapi kita yang sudah punya berhala-berhala, yang akan mendekatkan kita kepada Tuhan, tidak memerlukan lagi hal serupa itu. Kita harus menentang semua pembicaraan yang seperti ini," katanya.

Daripada kata-kata Abu Sufyan itu jelas menunjukkan betapa fanatiknya beliau sebagaimana orang Arab yang lain terhadap kepercayaan karut menyembah berhala.

Sedangkan ketika itu kenabian Muhammad SAW sudah dekat dan di ambang pintu bahwa dari tanah Arab itu, satu cahaya Tauhid dan sinar kebenaran akan memancar ke seluruh dunia.

Walaupun apa yang berlaku, Nasrani dan Yahudi telah menolak kerasulan Nabi Muhammad kerana baginda tidak dilahirkan di kalangan mereka, tetapi kita juga sewajarnya mempunyai semangat seperti mereka.

Yang tidak sabar untuk menantikan kelahiran Nabi Muhammad kerana tidak sabar untuk mengikuti segala ajaran baginda!

Begitu sahaja kita menyambut Hari Maulidur Rasul, berselawat terhadap baginda sahaja adalah mesti tetapi akuilah banyak lagi khazanah Rasulullah masih banyak tidak digali!




Baca Seterusnya......

Menanti suara Mahathir tentang PPSMI

Oleh Mohd Sayuti Omar

RASANYA tidak adil dan kurang tepat kalau dihemburkan kemarahan seluruhnya kepada Hishamuddin Hussein berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matemetik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Beliau bukannya orang yang mengagas ataupun menetaskan idea drastik itu yang perlu menerima risiko atas kepincangan sistem pendidikan negara kini.

Semua orang kenal dan tahu sejauh mana kepala Hishamuddin dan juga kehebatannya sebagai seorang jemaah menteri. Dia tidak mewarisi keberanian datuknya, Onn Jaaffar melainkan berkebetulan lahir dengan meminjam sedikit genetik Onn Jaaffar saja.

Kalau Hishamuddin seorang jantan tulen dia tidak akan memohon maaf kepada masyarakat Cina, MCA dan Gerakan gara-gara dia dimarahi kerana menghunus dan mencium keris. Tetapi kerana tidak tahan dibelasah dan dipersalahan atas perbuatan itu akhirnya Hishamuddin memohon maaf kepada orang-orang Cina. Hanya lelaki yang dayus saja sedia memohon maaf atas yang dilakukan itu diterima benar dan betul oleh umum.

Perbuatan itu menjelaskan sejauh manakah kekuatan jiwanya. Sejauh manakah sifat-sifatnya sebagai seorang pemimpin yang ada bertenggek di dalam dirinya. Justeru telatah itu menjelaskan kepada umum sejauh manakah pula peranan dan kebertanggungjawaban beliau berhubung PPSMI yang sedang dikecam dan diserang kini.

Sebagai seorang pemimpin dan bergelar menteri Hishamudin tidak ada apa-apa perasaan pun terhadap apa yang dikehendak orang Melayu kini. Nafsunya terhadap bahasa Melayu sudah impotent. Sebab itu beliau tidak peduli kepada tuntutan dan bantahan rakyat kepada PPSMI. Di sinilah lemah dan rendahnya mutu dan kualiti Hishamuddin selaku seorang pemimpin.

Ini menyebabkan beliau tidak layak pun menjadi pemimpin, apa lagi hendak mewakili generasi Melayu sebagai Ketua Pemuda Umno. Beliau tidak mampu bercakap menggunakan lidah Melayu. Saya yakin Hishamuddin juga tidak tahu langsung apa itu akal budi Melayu, apa itu tradisi Melayu, apa itu adat istiadat Melayu dan apa itu maruah Melayu. Jiwanya juga kosong dan tidak ada setitik pun rasa bangga dengan Melayu.

Kalau benih-benih itu ada tersemai pasti dia akan terasa bersalah dengan apa yang berlaku kini. Pasti dia akan memberi respon baik terhadap bantahan ke atas PPSMI. Namun disebabkan beliau tidak memiliki jiwa Melayu, maka terjadilah apa yang sedang bergelora dan menimbulkan masalah kini.

Mengenangkan Hishamudin, saya teringat kepada luahan Ainon Mohd, salah seorang ahlijawatankuasa GMP, katanya anak-anak bangsawan tidak layak menjadi Menteri Pelajaran sebab mereka tidak tahu apa-apa mengenai bahsa Melayu. Mereka juga tidak pernah belajar di tanah air tetapi membesar dan belajar di barat. "Jadi bagaimana mereka boleh jadi menteri Pelajaran,?" soal Ainon ketika GMP ke Parlimen untuk menyerahakan bantahan kepada menteri, ahli Parlimen. Katanya, MSO boleh quote kata-kata saya ini.

Lama sebelum ini pun saya sudah menyebut dan menulis, anak-anak bangsawan tidak layak dan sesuai untuk diangkat menjadi pemimpin. Alasan saya ringkas saja bagaimana mereka hendak memperjuangkan keperihan dan penderitaan rakyat sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa itu keperihan, kepedihan dan kemiskinan.

Macam mana mereka hendak memperjuangkan nasib rakyat marhaen sedangkan mereka tidak pernah merasai dan mengecapi penderitaan dan kemiskinan itu. Anak-anak bangasawan seperti Hishamuddin, Najib Razak dan lain-lain membesar dalam istana yang kaki mereka tidak pernah tersepak tahi lembu, tubuh mereka tidak pernah dihinggap lalat dan digigit nyamuk. Mereka tidak pernah berkubang dalam selut. Bahkan tapak kasut merekas juga tidak aus kerena ke mana mereka pergi mereka akan dibawa dengan tandu oleh rakyat.

Jadi macam mana mereka akan arif erti kemiskinan, kesusahan rakyat. Kalau setakat membaca dan mendengar cerita-cerita mengenai penderitaan rakyat, membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan dan lain-lain pengetahuan mereka mengenai kesusahan dan kemiskinan rakyat belum cukup. Seseorang yang tidak merasai sesuatu itu bagaimana mereka hendak bercakap mengenainya?

Benarlah, misalnya isu PPSMI, murid yang menghadapi masalah dengan polisi ini ialah rakyat di luar bandar. Yang tercecer keputusan pelajaran ialah murid miskin. Yang rendah peratus kelulusannya dalam dua mata pelajaran ini rakyat di pedalaman. Ia tidak menjadi masalah kepada murid di bandar, atau golongan bagsawan seperti Hishamuddin Hussein atau anak-anak yang tinggal dibanglow atau istana.

PPSMI bukan saja memberi masalah dalam aspek itu tetapi aspek-aspek lain. Pendeknya ia banyak merugikan daripada menguntungkan.

Justeru para perwakilan Umno hendaklah ingat dan mengerti soal ini. Pilihlah pemimpin yang boleh dipercayai dan tahu akan denyut nadi rakyat. Jangan dipilih berladaskan siapa pandai bercakap, siapa dapat memberi projek tetapi pilihlah yang ada kualiti sebagai pemimpin dan juga beriman. Waktu dan masa anak-anak bangsawan untuk terus mengutip hasil bakul sudah cukup. Mereka sudah kaya raya dan boleh hidup untuk 100 keturunan.

Dan jangan lupa kalangan pemuda kalau nak pilih pemimpin pilihlah anak muda yang berani, berfikiran terbuka dan yang sedia menghadapi apa saja cabaran. Yang tidak takut untuk berhadapan dengan sesiapa saja atas prinsip kebenaran. Mereka yang cuba mencari jalan selamat dengan menutup mulut untuk tidak dilihat buat kesilapan baik dilupakan saja. Pemuda seperti itu pastikan akan mempusakai kelesuan Hishamuddin.

Berbalik kepada persoaalan asal, Hishamuddin tidak perlu dimarahi dalam soal ini. Dia hanya mengikut saja apa yang disuruh olehnya. Dengan kapastiti dirinya sebegitu kita tahu dia hanyalah boy kepada Perdana Menteri sahaja. Apa yang PM suruh dia akan buat tanpa bantahan apa-apa. Di sinilah bahaya kalau orang tidak berapa cerdik, lemah pemikiran, gelap dalam segala-galanya diambil menjadi menteri atas alasan dia adalah anak kepada bekas PM cucu kepada bekas pengasas Umno.

Bagi saya, yang salah di sinilah ialah PM ketika itu yang membuat dasar ini. Mahathir, Mahathirlah yang bersalah dan perlu kena bertanggungjawab. Walaupun beliau telah melepaskan jawatan PM lebih lima tahun beliau kena bertanggungjawab. Kalau Mahathir seorang insan dia harus merasa bersalah atas apa yang berlaku.

Perarakan semalam yang membawa sekeping kertas berupa memorandum untuk diserahkan kepada Yang di-Pertua Agong seharusnya dilihat dengan rasa pilu dan sedih oleh Mahathir. Kalau beliau seorang negarawan beliau perlu merasa bersalah dan harus melakukan sesuatu. Mahathir tidak boleh melepas tangannya begitu saja selepas menembak mati Bahasa Melayu.

Orang yang memunggut jenazah Bahasa Melayu, iaitu Hishamuddin tidak boleh dipersalahnkan. Dia hanya budak suruhan yang martabatnya atas sikit daripada sang 'behuud'!

Apa yang kita nanti kini suara dan komen Mahathir mengenai PPSMI dalam blognya. [wm.kl. 10:30 am 08/03/09]
Baca Seterusnya......

Fenomena tinggal bercampur serumah di UK

Oleh Muhaimin Sulam

Fenomena pelajar Malaysia di UK duduk satu rumah bercampur antara lelaki perempuan adalah perkara biasa. Ada yang campur serumah sesama orang Malaysia dan ada juga campur serumah dengan pelajar internasional.

Satu rumah bersama lelaki Afrika dan Sepanyol, campur perempuan Jerman dan ada gadis Melayu. Tiada siapa yang hendak sibuk membuat laporan kepada ibu bapa mereka di tanahair. Di sini tiada pasukan pencegah maksiat ataupun ustaz yang sukarela memberikan pemantauan terhadap hal ini.

Alasan yang paling mudah ialah 'darurat'. Entah ustaz atau ulama mana yang buat hukum sedemikian. Namun, rata-rata menjadikan alasan 'darurat' itu sebagai satu jalan mudah duduk satu rumah bercampur lelaki dan perempuan. Latar belakang pendidikan agama seperti sekolah agama atau dari keluarga orang yang dihormati seperti anak haji atau ustaz bukanlah satu jaminan untuk menghalang fenomena ini berlaku.

Memang mereka bukan berniat untuk tinggal bercampur tetapi kebanyakan mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak hal itu berlaku.

Darurat

Penggunaan istilah 'darurat' sering digunakan bagi mengesahkan semua tindakan. Seperti buka tudung bagi pelajar perempuan kerana khuatir keselamatannya diancam kerana konon wujudnya sentimen anti-Islam di sini. Makan daging yang tidak disembelih oleh orang Islam. Tidak sembahyang Jumaat kerana ada kelas. Cuma satu sahaja yang mungkin tidak dibuat: makan babi! Itupun barangkali kerana orang Melayu sudah dididik membenci babi sejak kecil lagi.

Alasan lain adalah kerana untuk menjimatkan duit perbelanjaan. Meskipun pihak kerajaan memberikan elaun yang mencukupi tetapi sering dijadikan alasan untuk menyatakan sebaliknya. Sesetengahnya mengatakan duduk bercampur satu rumah samalah seperti tinggal dalam satu hotel. Macam-macam alasan yang diberikan. Semuanya untuk mengesahkan tindakan mereka tinggal bercampur lelaki perempuan dalam satu rumah sebagai tidak salah.

Aku percaya, mereka tidak akan buat perkara itu jika berada di Malaysia. Mungkin kerana cara itu tidak diterima dalam budaya tanahair. Ia seperti lebih kepada faktor budaya dari faktor agama. Jika faktor agama, mereka tidak akan berbuat demikian. Seolah-olah agama Islam hanya sesuai diamalkan di sesetengah tempat.

Jika berkesempatan menonton rancangan televisyen 'Friends', itulah gambaran kehidupan remaja dan anak-anak muda di Barat. Mereka yang berumur melebihi 17 tahun ke atas bebas daripada kawalan ibu bapa mereka. Mereka boleh tinggal serumah dengan teman lelaki atau perempuan mereka. Itu adalah jaminan dalam undang-undang mereka.

Mereka boleh berkeluarga dan mempunyai anak tanpa nikah. Yang perlu mereka mendaftarkan nama kepada Majlis Perbandaran (City County) sebagai pasangan untuk mendapatkan beberapa faedah (benefit) kebajikan daripada kerajaan seperti elaun anak, elaun susu dan sebagainya.

Selain itu, ada faktor lain yang menyebabkan fenomena itu berlaku. Antaranya nasihat dan pandangan daripada beberapa pelajar senior yang memesongkan pemikiran mereka. Memang yang datang belajar ke UK ini kebanyakannya bijak, IQ tinggi dan pintar belaka. Namun, itu tidak memadai untuk menjadi pendinding kepada budaya baru yang memuja kebebasan.

Bijak mereka bukan pada memahami hakikat kehidupan beragama tetapi kepada mata pelajaran sahaja. Mereka kalah dengan 'hujah bodoh' sesetengah pelajar senior. Oleh kerana mereka orang baru, kebanyakan 'nasihat bodoh' akan ditelan tanpa soal jawab. Kejutan budaya menyebabkan sesetengah pelajar muda terperangkap kepada kekeliruan yang merosakkan diri mereka.

Asrama Campur

Sesetengah universiti, tidak ada konsep asrama yang berasingan antara lelaki dan perempuan. Bagi mereka, tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan. Ini mungkin hasil daripada perjuangan hak sama rata tanpa mengenal gender. Satu rumah yang berkongsi bilik air, ruang tamu dan dapur biasanya untuk lima atau enam orang.

Setiap orang mempunyai bilik yang berasingan. Hampir semua rumah di UK terdapat hanya satu bilik air sahaja meskipun rumah tersebut mempunyai tiga atau empat bilik. Ada yang menyebut macam filem P. Ramlee, ?Pendekar Bujang Lapuk?. Mereka tinggal satu rumah tetapi diasing-asingkan dengan bilik. Paling tidak dalam filem itu, si Bujang Lapuk tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya kerana ada Pendekar Mustar yang mengawal rumah tersebut.

Tiada larangan untuk pelajar lelaki masuk ke bilik pelajar perempuan begitu juga sebaliknya. Mereka melayan lelaki dan perempuan sama. Oleh itu, mereka bebas untuk datang ke bilik kawan meskipun pada malam hari. Tiada siapa yang melarang. Semua sudah besar panjang dan bijak pandai.

Tidak ada yang sibuk menjaga tepi kain orang. Yang penting kawan serumah itu tidak mengganggu ketenteraman dan keselesaan dirinya untuk belajar di bilik mereka. Jika tidak, mereka boleh lapor kepada pihak universiti. Biasanya tindakan akan dibuat oleh pihak universiti atas alasan mengganggu orang lain.

Kadangkala mereka berasa susah hati kerana terpaksa berkongsi satu peti ais dengan penghuni lain yang menyimpan babi dalam peti tersebut. Bayangkan ayam halal bercampur dengan daging babi dalam satu peti ais.

Walau bagaimanapun, setiap pelajar mempunyai hak untuk memohon rumah yang tidak bercampur antara lelaki dan perempuan. Itu bergantung kepada kekosongan ataupun budi bicara pihak pengurusan penginapan universiti.

Ramai ibu bapa di tanah air tidak mengetahui keadaan kehidupan anak mereka di sini. Bahkan, jika mereka mengetahui anak mereka duduk bercampur, mereka mungkin diberikan pandangan yang mengelirukan oleh anak-anak mereka di sini. Akhirnya, ibu bapa di tanah air seperti terpaksa ?merestui? keadaan anak mereka. Ibubapa diyakinkan bahawa keadaan mereka benar-benar darurat, terpaksa dan tiada pilihan.

Kadang kala akupun pelik juga, ada juga ibu bapa yang membenarkan anak mereka tinggal bercampur. Mungkin kerana jiran mereka tidak tahu atau kawan-kawan satu kampung tidak tahu. Jika tahu, tentu mereka akan malu. Maknanya, mereka hanya malu pada jiran atau rakan-rakan sekampung, satu pejabat atau setaman mereka.

Satu perkara yang menarik di UK adalah masyarakat mereka amat menghormati cara hidup dan kepercayaan termasuklah agama seseorang, termasuklah Islam. Malangnya, terdapat juga sebilangan orang Islam yang malu untuk berfikiran dan bertindak sebagai seorang Muslim. - tajdid_



Baca Seterusnya......

Khamis, 5 Mac 2009

Pemuda Kebanggaan Rasul saw.

Oleh Ustaz Nasaruddin Tantawi

Nabi saw pernah bersabda :

حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang - orang tua .

Ungkapan Baginda saw jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda saw.

Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman , bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt . Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya di daulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya .

Pemuda yang berjiwa besar , mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah . Pemuda yang memiliki aqidah yang benar , fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah .

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah .

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri .

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah saw yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata - mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama ianya tercalar angkara kejahilan dan kebejadan .

Ringkasnya , pemuda seperti inilah yang diperlukan oleh PAS untuk memacu perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak dan cahaya keadilannya kembali menerangi ummah setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah .

Pemuda PAS sewajarnya menjadi duta penyelamat dan kasih sayang , membebaskan insan yang derita di sangkar jahiliyah . Biarpun diri terkorban justeru itulah sunnatullah bagi mujahid yang mendokong cita - cita besar perjuangan Islam .

Pemuda yang tidak mengenal istilah kalah melainkan menang atau syahid . Menang mendaulatkan syariat Allah swt atau menang mengatasi desahan nafsu yang memujuk agar meninggalkan perjuangan . Jika tidak , syahid di medan jihad fi sabilillah menjadi impian yang ingin dicapai .

Pemuda PAS sekali lagi ditegaskan , mestilah mempunyai keupayaan malah kesungguhan untuk mendalami urusan agama agar tahu dan faham berkait dengan "produk" [ Islam ] yang ingin di"pasar" [ dakwah ] kepada masyarakat .

Semangat semata - mata , jelas tidak memadai untuk memimpin perubahan dan membimbing kesedaran masyarakat hari ini yang rata - ratanya inginkan perubahan kepada keadaan yang lebih baik setelah lama terperangkap dalam kebodohan sistem yang mengasingkan dunia dan akhirat .

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah swt . Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat .

Kesimpulannya , pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga . Bersedia bila diperlukan , hadhir bila dipanggil , bertindak bila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan parti [ jamaah ] dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak .




Baca Seterusnya......

Rabu, 4 Mac 2009

Himpunan Pemuda PAS Kubang Pasu

Himpunan Pemuda PAS Kubang Pasu
Dan Pelancaran Skim Perlindungan Pemuda
Oleh

Ustaz Ahmad Izzat,ADUN Bukit Lada


Pada : 04hb Mac 2009
Hari : Rabu
Jam : 9.00 Mlm
Tempat: Markas PAS Kawasan Kubang Pasu,
Tok Kesop

Seluruh Pemuda Pemuda Kubang Pasu Di Jemput Hadir!



PASTIKAN PEMUDA PEMUDA PAS KUBANG PASU HADIR BAGI MENDENGAR TAKLIMAT PENTING DARI PADA USTAZ AHMAD IZZAT SHAUKI,DUN BUKIT LADA ,MERANGKAP EXCO DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH,HEBAHKAN

Baca Seterusnya......

Menunggu guru bersama budayawan bantah PPSMI

Oleh Dinsman

Hari Khamis malam Jumaat 26 Februari yang lepas, Prof Dato' Dr Nik Safiah Karim terpaksa bersengkang mata bersama kami. Kira-kira pukul 2.30 pagi, profesor bahasa Melayu ini masih duduk minum dan berbual di RnR Nilai. Biasanya waktu itu dia sudah nyenyak tidur di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Tetapi mengapa malam itu dia masih di lebuh raya?

Betul seperti kata Mohammad Sabu ketika berucap di Dataran Hamas, Jasin, Melaka, beberapa jam sebelum itu. Orang seperti Prof Nik Safiah Karim dan orang seperti Sasterawan Negara A Samad Said yang sedang berada di hujung hayat mereka, sepatutnya tidak perlu lagi bersusah payah merempuh perjalanan jauh seperti yang sedang mereka lakukan sekarang. Apa sebenarnya yang mereka mahu lagi?

"Prof Nik Safiah bukannya hendak melawan Sharizat Jalil untuk jadi Ketua Wanita Umno. Sasterawan Negara A Samad Said pun bukannya hendak berkempen untuk menjadi menteri. Mereka tak perlu lagi kepada itu semua? Tetapi mereka terpaksa melakukan ini semata-mata kerana hendak memelihara bahasa Melayu, disebabkan oleh adanya pemimpin Melayu sendiri yang cuba hendak membunuh bahasa Melayu."

Naib Presiden PAS itu menyatakan dia berasa sangat sedih melihat tokoh-tokoh bahasa dan sastera kita terpaksa menghadapi masalah yang tidak menyenangkan itu, disebabkan oleh sikapmasyarakat kita yang semakin tidak mempedulikan nilai budayanya sendiri.

Malam itu Mat Sabu, pimpinan PAS yang dikenali sebagai tokoh penceramah paling diminati ramai itu, sedang dalam siri jelajah negara untuk meraih sokongan rakyat terhadap perjuangan memansuhkan PPSMI. Dia sememangnya hampir setiap malam berceramah untuk PAS. Danceramahnya dalam sebulan ini semuanya dijadikan kempen untuk menyokong perjuangan memansuhkan PPSMI.

Selepas Dato' Dr Hassan Ahmad bersetuju memimpin gerakan memperjuangkan semula kedaulatan bahasa Melayu ini, diikuti oleh Profesor Shaharil Mohd Zain, Profesor Abdullah Hassan, danSasterawan Negara A Samad Said yang dengan beraninya berdiri di atas pentas PAS dan keADILan, bagi menyatakan perjuangan mereka membantah PPSMI, pada 24 Februari pentasKeADILan Kelana Jaya menyaksikan pula Prof Dr Ir Wan Abu Bakar menceritakan pengalamannyaberpuluh tahun mengajar kejuruteraan di universiti, dalam bahasa Melayu, tanpa menghadapimasalah.

Pada 26 Februari tampil pula Prof Nik Safiah, berdiri di sebuah pentas PAS, menjelaskan kepada orang-orang Melaka yang berkumpul di Jasin, mengapa PPSMI perlu dimansuhkan, dan mengapa sebahagian masyarakat kita (khasnya orang-orang Umno) telah hilang kecintaan terhadap bahasa mereka sendiri.

Sebenarnya ramai lagi tokoh-tokoh akademik yang tidak setuju dengan pelaksanaan PPSMI. Nik Safiah sendiri menghadiri perbincangan apa yang selalu disebut Menteri Pelajaran sebagai perbincangan meja bulat' bagi mendapatkan pandangan para ahli akademik terhadap pelaksanaan PPSMI. Kata menteri itu, perbincangan tersebut menyokong PPSMI. Tetapi kata Nik Safiah lebih ramai yang membantah daripada yang menyokong. Hanya pihak menteri itu yang menyelewengkan fakta yang sebenar.

Saya sendiri menerima banyak SMS daripada pembaca yang mengaku sebagai guru, yang menyokong perjuangan GMP (Gerakan Mansuh PPSMI), dan berjanji akan turun beramai-ramai ke hadapan Istana Negara pada jam 2.00 petang 7 Mac ini.

Peristiwa penyertaan kalangan budayawan dan ahli akademik dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh GMP sejak beberapa minggu ini, bagi saya adalah peristiwa yang sangat menarik. Ia adalah satu gelombang baru kebangkitan rakyat Malaysia, sebagai kesinambungan daripada gerakan Reformasi 1998.

Seperti yang pernah saya bincangkan di ruangan ini tidak lama selepas pilihan raya umum ke-12, perubahan di kalangan para budayawan dan cendekiawan kita berlaku terlambat. Tidak mengapalah. Dulu kita mungkin kecewa melihat tidak ada perubahan di kalangan mereka. Tetapi kini melihat gelombang kebangkitan yang berlaku, hilanglah semua rasa kecewa dulu itu.

Menariknya kebangkitan baru ini kerana ia bukan digerakkan oleh motif politik mahupun ekonomi, tetapi oleh kesedaran ilmu dan budaya. Kita perhatikan pihak penguasa dan parti Umno-BN yang sombong dan angkuh itu pun jadi seolah-olah 'kebengongan' dan serba salah untuk bertindak balas. Mereka kurang mahir dalam membaca riak dan angin yang baru ini.

Perkembangan ini memang sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan. Ia baru saja bermula. Barangkali himpunan yang disebut sebagai 'Himpunan 100 ribu' pada Sabtu 7 Mac ini akan memberikan banyak petunjuk untuk kita membaca ke mana arah yang akan dituju oleh gelombang baru ini.

Para budayawan dan cendekiawan sudahpun bangkit menunjukkan jiwa amarah mereka terhadap kepandiran dan kezaliman yang berlaku. Yang kita tunggu-tunggu sekarang ialah golongan guru. Persoalan PPSMI ini pun sebenarnya adalah persoalan yang membabitkan guru secara khusus dan langsung. Apakah mereka akan terus menikus dan menunjukkan peribadi yang takut,ataupun mereka juga akan bangkit?

Sama-samalah kita tunggu perkembangan menarik itu. Dan sementara itu saya ingin mengingatkan sekali lagi akan satu peristiwa yang agak menarik juga, terutamanya bagiorang-orang utara, iaitu majlis forum GMP yang akan diadakan disebuah masjid di Permatang Pauh, menjelang hari bersejarah yang ditunggu-tunggu, iaitu pada 5 Mac, lepas solat Isya'. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Batu.

Samad Said akan hadir, Cikgu Azmi (Teras) akan hadir, Azizi Hj Abdullah akan hadir, Hasni Abas akan hadir, dan saya juga insya-Allah hadir. Oleh sebab majlis ini dianjur bersama oleh sebuah badan penulis yang menjadi kerabat Gapena, khabarnya beberapa orang pimpinanGapena dari Kuala Lumpur juga akan hadir.

Ya, marilah kita bertemu di Masjid Batu itu!

---- Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau SMS 0136362408 _
Baca Seterusnya......

Selasa, 3 Mac 2009

Ke Mana Jawi, Dan Bahasa Melayu ?

Oleh Huzaifah

Zaman saya kecik-kecik, kami masih belajar menggunakan huruf jawi. Di sekolah kebangsaan, kami ada mata pelajaran jawi. Di sekolah agama rakyat pula, semua subjek diajar dalam jawi. Maka, semasa itu pengaruh jawi masih kuat. Kami diasuh agar mahir berjawi dan tidaklah sekadar bersedia untuk dimasukkan ‘jawi’ pada cuti penggal sekolah sahaja.

Jawi begitu berpengaruh dan berperanan dalam masyarakat. Orang-orang tua kami, termasuklah tok, opah, emak dan abah saya, lebih mahir membaca dan menulis jawi berbanding tulisan rumi. Membaca jawi bagi mereka adalah satu kepuasan batini. Rumi pula menyebabkan mereka merangkak-rangkak dan kuranglah sudah nikmatnya. Tulisan jawi pula terlalu klasik, bukanlah seperti hari ini. Saya masih menyimpan kitab-kitab kuning di rumah dan sesekali membukanya. Bila opah datang berkunjung ke rumah saya, maka saya belikan beberapa kita baharu tetapi bertulisan jawi, untuk opah membaca dan mengisi masa lapangnya.

Jika kami ke pekan (Kuala Kangsar, Sauk, Gerik, Lenggong hatta ke Taiping dan Ipoh) pula, papan-papan tanda kedai cina yang bermata sepet itu pun menggunakan tulisan berhuruf jawi, kedai basikal, kedai kopi, kedai buku hatta bank pun menggunakan tulisan jawi…walaupun para apek dan nyonya itu sendiri pun tak pernah ‘masuk jawi’ dan tak merasa ‘dijawikan’ dirinya…hmmm…begitulah besarnya impak jawi kepada rakyat.

Masa itu juga, ada surat habo jawi iaitu Utusan Zaman, ada majalah jawi iaitu Kiblat. Majalah Bujal yang emak suka belikan itu pun ada kartun jawi. Buku-buku jawi pun senang dicari.

Bila dah besar, semua itu dah hilang sedikit demi sedikit. Jangan kata budak-budak kerja kilang je dah tak mandang semua tulisan jawi ni, budak-budak yang lepas sekolah agama dan keroje di jabatan agama pun dah kurang minat dengan jawi. Bahkan, ada yang baca khutbah Jumaat pun lebih suka guna tulisan rumi walaupun deme tu asalnya berpendidikan arab!

Inilah padahnya bila pihak yang berwajib memandang enteng sesuatu perkara. Dalam hal ini, takkan nak salahkan kerajaan pimpinan Robert Mugabe di Zimbabwe atau mantan PM Britain Margaret Tatcher? Tak kan nak belasah mantan pemerintahan Iraq Kerajaan Parti Ba’ath Saddam Hussein atau Parti Nazi pimpinan Adolf Hitler di German? Atau nak salahkan Lee Kuan Yiew di Singapura! Habis…salah siapa?

Yang inilah…pemuda-pemuda Umno tak sedarkan diri. Mengaku Melayu tapi lupa asal-usul dan lupa jati diri. Tak sedar darah yang dok mengalir itu adalah darah Melayu yang makan petai, genuak, jering, belacan, budu dan pekasam. Biar pun mereka sembur parfum berbotol-botol, emak atau tok nenek mereka dulu lumur bedak sejuk juga ke muka. Maknanya, mereka kena kenai asal-usul diri mereka sendiri.

Sungguh pun mereka le ni berbahasa orang putih lebih dahsyat daripada orang putih, tapi depa jangan lupa yang tok nenek depa la dulu kena belasah dengan orang putih. Memang la kita tak musuh bahasanya, tapi jangan la dok bangga sangat. Sedar la diri sikit, darah Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Maharajalela yang tumpah ke bumi adalah kerana menghalau penjajah orang putih itulah.

Apabila orang Melayu sendiri sudah melupai asal-usul diri mereka, maka mereka akan jadi penyangak bangsa. Mereka senang-senang sahaja melabelkan orang yang tak sealiran dengan mereka sebagai musuh kemajuan dan anti-pambangunan. Ni ha…dalam isu bahasa, siapa yang tak setuju dengan idea mereka, senang-senang sahaja dianggap tidak tahu menghargai pembangunan negara…alah, setakat pandai bahasa Inggeris tapi dok berbohong menipu sana-sini nak buat hapa!

Kita ni umat Melayu sepatutnya banggalah dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah lingua franca di alam ini suatu masa dahulu. Bahkan bahasa ini dianggap antara bahasa paling berpengaruh di dunia. Dari nusantara membawa ke Afrika ada orang yang berbahasa Melayu. Maknanya, dari sudut penutur, ramai tak terkira.

Apa yang penting, ialah kesungguhan menuntut ilmu. Cuba tengak Jepun, German, Peranchis hatta Iran dan Korea Selatan, mereka amat teruja dan patriotic dengan bahasa ibunda mereka dan mereka berjaya membawa arus kemajuan dengannya. Jurutera Jepun di Perodua tidak akan bertutur dalam bahasa Inggeris bahkan kita yang kena bercakap Jepun dengan mereka, demikianlah pengalaman kawan-kawan saya yang pernah berkerja di Perodua.

Jadi, pejuang-pejuang tulen Umno kena muhasabah diri. Jangan terlalu taksub dengan pimpinan atasan yang ‘bodo-sombong’ itu hingga lupa asas perjuangan anda. Jangan hanya kerana projek dan tender, anda sanggup melihat anak-anak anda sendiri bodo matematik dan sains. Akhirnya, anda juga yang rugi. Tapi, bila dikenang-kenang balik, Umno sanggup rugi masa depan, asalkan hari ini depa untung sekupang!

Catatan: Kata Tan Sri Ismail Hussein, PPMSI bukanlah cara yang ‘adil’ untuk memajukan anak-anak Melayu, khususnya di luar Bandar. Harus ada cara lain untuk membantu.

Tapi kata Hishamudin Hussin apabila diajak Salahudin Ayub berdebat: “Apa debat-debat. PPMSI berjalan dengan lancar. Tidak ada masalah!” Moralnya...siapa yang bermasalah di sini? Ha...jawaplah!


Baca Seterusnya......

Isnin, 2 Mac 2009

Pembangkang tidak perlu ‘beli’ pejuang bahasa

Oleh Mat Zain Mat Isa

Para pemimpin Barisan Nasional, khususnya Umno, terbukti tidak dapat menolak takdir apabila terpaksa ‘menjilat ludahnya’ sendiri yang sebelum ini ditujukan kepada parti lawannya.

Baru minggu lalu mereka beriya-iya melabelkan PAS sebagai parti yang tidak terbuka dan sukar menerima pihak yang berbeza pandangan dengan parti itu. Ia ekoran kenyataan tegas beberapa pemimpin PAS yang mendesak Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, secara bermaruah melepaskan jawatannya.


Ibrahim yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PAS, Mac 2008, kini dilihat lebih banyak bercakap dan bertindak sealiran dengan perjuangan Umno, parti yang telah menggantung keahliannya seumur hidup.

Dia malah dianggap melakukan sesuatu yang agak melampau apabila sanggup bertikam lidah dan menseranah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, termasuk dari PAS sendiri, dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Ketegasan parti itu menegur sikap Ibrahim yang tidak menguntungkan Pakatan itu bagaimana pun dituduh para pemimpin Umno sebagai tidak rasional. Mereka bahkan menganggap PAS sangat kolot, berfikiran sempit dan sukar menerima pendirian yang bercanggah dengan parti itu.

Malang bagi Umno, sikap yang kononnya ‘terbuka’ itu gagal dipertahankan lebih lama. Hanya selang beberapa hari selepas itu, para pemimpin Umno tak semena-mena membuktikan bahawa mereka lah sebenarnya parti yang sangat tidak terbuka.

Kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap beberapa tokoh sasterawan dan pejuang bahasa yang berkongsi pentas dengan para pemimpin pembangkang menyerlahkan bahawa mereka lah yang lebih tidak tahu bertolak ansur atau menerima pihak yang berbeza pandangan dengan parti itu.

“Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai Bahasa Melayu yang saya perjuangkan tidak kira di pentas politik mana sekali pun,” ujar Sasterawan Negara, A. Samad Said, sepertimana disiarkan akhbar, Khamis (26 Februari) lalu.

Beliau dipercayai mengulas tanggapan dilontarkan para pemimpin BN kononnya tokoh pejuang bahasa, termasuk beliau, kini dibeli dan diperalatkan pembangkang untuk membantah program dilaksanakan kerajaan. Ia ekoran penglibatan aktif mereka dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang turut didokong para pemimpin Pakatan, terutamanya dari PAS.

Gerakan itu bertujuan mendesak kerajaan agar menghentikan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, dan mengembalikan pengajarannya dalam bahasa ibunda.

Selain Samad, turut terlibat aktif dalam gerakan itu ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hassan Ahmad, Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Ismail Hussein, beberapa tokoh budaya dan akademik terkemuka.

Isu PPSMI sudah lama diperbahaskan segenap lapisan masyarakat, terutama oleh ilmuan, cendikiawan dan pejuang bahasa Melayu. Di atas beberapa pertimbangan, mereka mendesak program yang dimulakan pada 2003 itu ditamatkan.

Kerajaan bagaimana pun kekal dengan sikapnya terus mencari justifikasi meneruskan program tersebut, meski pun dibantah dan diberikan pelbagai pandangan kedua. Ia sekali gus membuktikan segala suara bantahan oleh ilmuan, cendikiawan, khalayak akademik, pejuang dan pencinta bahasa Melayu hanya sia-sia.

Inilah sebenarnya punca mereka hilang kepercayaan terhadap BN, khususnya Umno. Pekikan mereka yang hampir memecahkan anak tekak bagaikan hinggap di telinga badak. Serahan memo dan resolusi umpama mencurah air ke daun keladi.

Sebab itu bukan salah mereka apabila berpaling untuk menumpang perjuangan di pentas pembangkang. Secara terbuka bermula 15 Januari lalu, para penggerak utama GMP menyerahkan memorandum mengenai PPSMI kepada para pemimpin utama tiga parti komponen Pakatan yang ketika itu sedang berkampung di Kuala Terengganu. Gimik serupa mereka ulangi minggu lalu di lobi Parlimen.

Mesej penting dari penyerahan itu ialah tanda kepercayaan dan pengharapan tinggi para pejuang bahasa itu terhadap pemimpin Pakatan bagi membantu mereka mencapai perjuangan.

Itulah hakikat yang merimaskan Umno. Bagi menutup nasib celaka dicemuh pejuang bahasa sendiri, parti itu cuba menuduh pembangkang ‘membeli’ para pejuang bahasa untuk kepentingan politik.

Perbuatan Umno menuduh mereka dibeli pembangkang hanya semata-mata kerana bercanggah pendirian dengan BN sebenarnya mengesahkan bahawa parti itulah yang tidak terbuka. Ibarat kata pepatah, ‘mengata dulang paku serpih’.


Baca Seterusnya......

Bersama Menjayakan Himpunan Aman 100 Ribu Mansuhkan PPSMI

Oleh Setiausaha GMP

Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan Himpunan Aman 100 Ribu di Istana Negara pada 7hb Mac 2009 jam 2 petang. GMP telah menetapkan tiga lokasi tempat berhimpun sebelum berarak ke Istana Negara seperti berikut :
a. Pusat Perniagaan SOGO
b. Centrel Market
c. Masjid Negara

Bagi memudahkan perjalanan himpunan ini maka semua peserta digalakkan menggunakan kenderaan awam untuk hadir dalam himpunan ini. Peserta dikehendaki berada dilokasi yang telah ditetapkan pada jam 2 petang. Kawalan keselamatan akan dibantu oleh pihak polis dan Unit Amal seluruh negara. Permit himpunan telah dipohon kepada Y.Bhg Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara. Peserta adalah dilarang samasekali membawa barang-barang yang berbahaya seperti senjata, peralatan tajam dan lain-lain lagi. Sebarang simbol parti juga tidak dibenarkan.

Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Dato’ A.Samad Said, Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof Emeritus Abdullah Hasaan, Prof Emeritus Dato’ Nik Safiah Karim, Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Y.B Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Y.B Lim Kit Siang dan ramai lagi

Warna tema GMP adalah ’putih’. Peserta digalakkan menggunakan baju putih yang melambangkan pembersihan terhadap PPSMI. GMP telah mendapat sokongan terbaharu daripada Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa & Guru Nasional (PIBGN) yang mempunyai 8000 persatuan PIBG di seluruh negara. Pihak Suara Rakyat Malaysia(SUARAM) yang mempunyai 25 buah persatuan gabungan juga telah turut sama menyokong GMP. Sehubungan itu pihak GMP telah selesai mengadakan siri jelajah seluruh negara dan mendapat sambutan yang begitu mengalakkan. GMP penuh berkeyakinan bahawa 100 ribu rakyat Malaysia akan berkumpul dihadapan Istana Negara seperti yang telah dirancang.

SDR HASNI ABAS
Setiausaha
Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP)
Baca Seterusnya......

Pengikut